Wednesday, July 9, 2008

SAJAK

PADANG LALANG


Padang permainan ini
adalah janji pada angin
yang menerpa tanpa arah nyata
dan selalu mungkir soal makna kebenaran

Begitu pun permainannya
ada saja yang tersungkur
andai tidak mengerti
bisa runcing lalang menikam di kaki bakti

Inilah kehidupannya
disaluti rasa bahang kasih
pada dakap matahari
demi detik siang mengundang malam walang

Akhirnya, permainan ini
menjelma rindu palsu
kerana lalang tidak lagi berdiri setia
tetapi sentiasa bercerita
tentang kanan dan kirinya
yang diusapi angin kecewa.

Padang lalang
sepi tanpa cinta!

ja’afar hamdan
Hotel Midah, Kuala Lumpur

SANTAI FIKIR

Apabila kita membincangkan tentang pembentukan personaliti kita, tidak dapat tidak kita akan berdepan halangan atau hambatan untuk menjana pertumbuhan personaliti kita. Halangan atau hambatan ini berpunca daripada diri kita sebagai manusia yang dianugerahkan dengan pelbagai perasaan. Namun, sekiranya kita menyedari potensi diri kita maka persoalan bagi menentukan corak berfikir dan bertindak dapat diurus sebaiknya. Ada tiga halangan utama dalam proses perkembangan personaliti kita iaitu;
(i) Kelupaan
Setiap manusia mengalami masalah lupa. Manusia tidak dapat memberi tumpuan ataupun tidak dapat mengingati sesuatu yang sudah atau pernah diketahui. Masalah lupa adalah asas yang boleh menyumbang kepada kelemahan-kelemahan dan psiko-patologi manusia. Malah ia tidak dapat dipisahkan dalam konstitusi kita yang membolehkan kita lupa asal ketuhanan. Kita menjadi cukup terdorong melihat apa yang ada di sekeliling tetapi sekejap sahaja kita melupakannya.
Memang sukar untuk menggalakkan “manusia” memberi tumpuan yang lama atau berpanjangan bagi mengembangkan kapasiti supaya terjaga. Ini disebabkan oleh nilai kita sebagai manusia yang mudah terbuai dalam suasana kita sendiri. Kita menjadi senang dengan kenangan manis. Kita menjadi gundah mengingat kenangan pedih. Kita ingat apabila kita menyedari bahawa kita berada di mana. Kita lupa apabila kita meletakkan diri kita dalam kepompong “dunia” kita sendiri.
Langkah utama mengatasi masalah kelupaan adalah belajar mengenal kelupaan. Kalau kita mengerti mengapa kita dijadikan di muka bumi ini, pasti kita dapat membuat penilaian yang bijak. Secara tidak langsung akan menyerlahkan daya potensi diri kita untuk kebaikan. Kita akan menjadi lebih ikhlas bertindak. Lebih jujur berfikir. Semuanya kita lakukan demi kebaikan diri kita dan juga orang lain. Akhirnya apa sahaja yang kita lakukan demi sebuah keabadian yang sejati.
Justeru, sesiapa yang dipengaruhi oleh tuntutan potensi diri ini wajar memahami tugasnya adalah untuk menyedarkan diri berkenaan sesuatu kesukaan. Kesukaan yang membawa kebaikan. Bukan kesukaan yang berbentuk hiburan. Kesukaan yang mementingkan nilai diri dan orang lain. Sentiasa ingat bahawa dirinya mempunyai kelebihan dan orang lain juga mempunyai kelebihan.
(ii) Ketidaksanggupan
Tidak semua orang sanggup merubah dirinya daripada seorang yang biasa menjadi seorang yang luar biasa. Tidak semestinya untuk menjadi orang luar biasa perlu merubah gaya pakaiannya, stail rambutnya atau mengayakan sesuatu yang hebat. Menjadi orang luar biasa cukup mudah seandainya kita sanggup menerima kritikan, sanggup meminta maaf atas kesilapan atau menerima pandangan bersama. Orang luar biasa adalah orang yang mempunyai kesanggupan berubah daripada kurang baik kepada yang lebih baik.
Sebagai seorang manusia, tuntutan rasa kemanusiaan sering terhambat oleh ketidaksanggupan kita merubah diri kita. Acap kali kita beranggapan kita benar dan betul. Walaupun kita menyedari kita bersalah, kita masih mempertahankannya dengan hujah atau tindakan yang lain. Kita sedaya upaya memanipulasi keadaan agar kesalahan kita tenggelam dalam hujah dan tindakan kita. Kita mahu kelihatan benar dan betul. Kita tidak sanggup menerima “kesilapan” yang telah kita lakukan.
(iii) Nafsu
Nafsu ialah gerakan hati supaya memuaskan keinginan. Nafsu dapat mempengaruhi pengadilan dan merupakan daya rendah yang ada pada setiap manusia. Justeru, ia perlu dikawal. Terdapat teori menekankan supaya nafsu dikawal ataupun dikurangkan tanpa mengambil kira kesan luaran. Tujuannya adalah menyeimbangkan peribadi dan keinginan antara terlalu dipengaruhi dengan pengasingan estetik. Semua nafsu berpunca daripada egoisme.
Menurut pakar psikologi terdapat beberapa jenis nafsu yang secara lahiriahnya mendominasi corak dan pola kehidupan manusia, iaitu
Penguasaan Nafsu – yang mana ia berkaitan dengan keinginan yang kuat dan penyerangan seperti kemarahan, tamak, nafsu selera, keghairahan, cemburu dan sebagainya. Kehadiran nafsu seperti ini tidak dapat dielak tetapi ia dapat diseimbangkan.
Penuduhan nafsu – yang sama dengan super ego. Terdapat bukti bagi mempertahankan diri, memperkecilkan diri dan menyalahkan diri. Ini menyebabkan individu yang merasakannya akan melampaui keangkuhan. Secara khususnya manifestasi ini termasuk ketidakpuasan bagi mendapat pujian, mengharapkan penghargaan ataupun ingin mengawal orang lain. Pada peringkat ini, kemungkinan motif individu diputar belitkan sehingga membezakan antara fantasi dan realiti. Orang sebegini menjadi terlalu mengharapkan penilaian diri daripada orang lain dan tidak dapat menerima kritikan apabila dia dikuasai oleh nafsu ini.
Semangat Jiwa – yang dibangkitkan daripada peringkat lebih tinggi iaitu kesedaran peribadi. Masalah disebabkan oleh kesan terhad pada diri dan bukan disebabkan oleh kerosakan. Antara kelakuan dalam nafsu ini termasuklah lemah lembut, belas kasihan, kreatif dan bermoral. Kesimpulannya individu yang didorong oleh nafsu ini lebih matang daripada segi emosi dan dihormati
Ketenangan Nafsu – nafsu jenis ini lebih mudah menjadikan seseorang itu pemurah, bersyukur, berkeyakinan dan penyayang. Kesukaran akan mendatangkan faedah sekiranya dia dapat menerima kesukaran itu dengan hati terbuka. Hanya selepas penerimaan, barulah dia boleh dikatakan dikuasai nafsu ini. Dalam tempoh perkembangan personaliti, nafsu ini menandakan peralihan.
Pemenuhan nafsu – nafsu ini merupakan halangan yang mengganggu jiwa. Setiap peringkat perkembangan mempunyai nafsu berlawanan dengan nilai yang ada pada peringkat itu. Konflik akan menuju ke arah perkembangan apabila tekanan nafsu dikurangkan dan dapat diatasi.
Justeru, sebagai manusia biasa kita tidak dapat lari dari keadaan sebenar. Kita mempunyai kelemahan dan kekuatan. Juga kekurangan dan kelebihan. Ada kalanya kita dapat mengenali diri kita apabila kita mahu bertindak dengan sebijaknya. Ada kalanya kita menjadi seorang yang “sesat” dalam diri setelah pertimbangan dan penilaian diri kita terpesong dan samar-samar dalam setiap tindak tanduk kita. Apakah kita rugi kalau kita mahu bertindak secara tolak ansur? Ingatlah, bahawa mengalah bukan bermakna kita kalah. Wallahualam.

Saturday, June 21, 2008

SETELAH MEMBACA NOVEL "TUHAN MANUSIA" FAIZAL TEHRANI

TUHAN MANUSIA” NOVEL PENUH NILAI PEMIKIRAN



Membaca novel “Tuhan Manusia” hasil karya Faisal Tehrani, terbitan Al-Ameen Serve Holdings, mengungkap seribu persoalan baharu. Bukan kerana novel ini dihasilkan penulis muda yang cukup berpotensi di Malaysia, tetapi novel “Tuhan Manusia” seakan menerobosi satu kontinum pemikiran masyarakat yang selama ini terlalu lupa dengan makna kehidupan sebenarnya.
Faisal Tehrani telah melakukan satu anjakan kepenulisan yang mempunyai semangat kerohanian sebagai roh karyanya. Semangat yang mengembalikan kebermaknaan sebagai seorang penulis berjiwa Islam yang mendukungi Al-Quran dan hadis sebagai pegangan. “Tuhan Manusia” amat berjaya dari segi pengutaraan nilai kehidupan, dengan membuat perbandingan yang cukup mantap dan bermakna.
Ini jelas ditekankan oleh Shahnon Ahmad dalam bukunya Kesusasteraan dan Etika Islam bahawa kita perla kembali kepada dasar status kita yang hak dan abadi dalam hubungan cita sebenar antara makhluk dengan Khaliknya, cita sebenar dalam erti kata mengetahui, mengenali, mengamali dan menghayati cara hidup yang baik.
Begitu juga tegas Fadlullah Wilmot dalam bukunya Keindahan Islam bahawa para penulis atau sasterawan yang menganut agama Islam mempunyai peranan yang penting dalam usa membangkitkan kembali keagungan umat Islam. Mereka harus menjadi pemikir dan penggerak agar umat Islam bangun kembali untuk meneguhkan keimanannya.

Melalui novel ini, Faisal Tehrani membuat perbandingan yang benar dan yang salah, dengan memberi pertimbangan yang sewajarnya. Justeru, sebagai pembaca, “Tuhan Manusia” membawa penilaian pembaca ke tahap pemahaman dan penelitian yang cukup intelektual tentang masalah, pegangan dan kebenaran dalam pengertian agama. Isu murtad menjadi konflik penceritaan, namun, sebab dan akibat murtad itu menjadi isu perbincangan yang paling utama dalam novel ini. Kekuatan tersebut, meletakkan “Tuhan Manusia” menyelusuri teori barat dalam arus globalisasi.
”Tuhan Manusia” mengisahkan Talha, abang kepada Ali Taqi telah murtad apabila salah penerimaan terhadap kebebasan dan makna globalisasi. Keputusan yang dibuat oleh Talha telah membuka mata fikir dan mata hati Ali Taqi mencari di mana silapnya sehingga abangnya sanggup murtad. Pertikaian tentang makna kebebasan dan globalisasi ini tercerna juga dalam prinsip hidup moden Zehra. Prinsip yang berbeza antara Zehra dan Ali Taqi menimbulkan pertelagahan ilmu yang mampu memberi pertimbangan yang lain bagi pembaca memperoleh ilmu pemodenan dan tuntutan agama.
Paling menarik, novel ”Tuhan Manusia” menjadi karya rujukan yang mampu menambah pengetahuan secara cukup tuntas tentang pemodenan, globalisasi, permasalahan dalam menilai kemajuan, kebenaran dalam tuntutan agama, kesesuaian semasa dan kejelekan barat yang sentiasa cuba hendak meruntuhkan pegangan dan kesejatian peribadi, khususnya seorang muslim.
Cogan kata ”Andai kota itu peradapan, rumah kami adalah budaya dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama” menjadi inti atau kata kunci pengisahan dalam novel ini. Melalui kata kunci ini, Faisai Tehrani amat berjaya menghimpunkan penyataan yang kukuh, tepu dan jelas.
Bahkan, setiap penjelasannya itu menjadi fakta jitu dengan sokongan pendapat dan rujukan yang benar lagi sahih. Konsep khutbah yang diadun dengan cukup murni menjadikan ”Tuhan Manusia” sebagai karya kreatif yang tulen, bukan omongan kerana tuntutan fakta semata-mata.
Sebagai contoh, Faisal Tehrani memurnikan permasalahan ”idealisme kemajmukan” yang disadur dalam pluralisme sebagai masalah yang cukup besar kerana golongan muda tidak diberi ruang dan peluang memahaminya. Ini jelas ketika Faisal Tehrani mengemukakan hujah melalui watak Ali Taqi berdialog dengan Ustaz Mujtaba dalam halaman 17,
”Apa yang berlaku hari ini ustaz ialah kami remaja dianggap tidak bersedia untuk mengetahui atau mendalami persoalan orang dewasa, akibatnya apabila tiba masa yang penting itu, kami tidak bersedia sama sekali. Malah kami terkejut dan kalah. Cukuplah abang saya menjadi mangsa”.

Faisal Tehrani sengaja mengemukakan persoalan tentang pengertian dalam penerimaan sebuah kebebasan beragama sebagai isu yang wajar diperbincangan dengan lebih telus, khususnya tentang pluralisme. Ini terungkap dalam dialog Ustaz Mujtaba dan Ali Taqi dalam halaman 18 dan 19;
”Fahaman ini mengatakan semua agama itu memiliki hakikat kebenaran”

”Masakan semuanya benar? Islam yang monotheis itu benar, Kristian yang politheis itu pun benar, takkanlah ada akal sihat boleh menerima dua hal yang bertentangan ini”

Soal puralisme yang dianggap sebagai punca utama watak Talha murtad, menjadi soal yang utama diperkatakan oleh Faisal Tehrani. Penjelasan dilakukan dengan cukup telita dan mantap melalui dialog yang berkesan. Ini jelas pada halaman 25, halaman 26 dan halaman 27.
”Plural itu ertinya banyak. Bukan tunggal, ada jumlah tertentu. Dahulunya perkataan plural ini berkembang di Barat sebagai istilah untuk merujuk paderi Kristian yang dalam masa yang sama juga seorang pedagang. Jadi paderi itu seorang pluralis, kerana dia ada lebih dari satu kerjaya”

”Wacana pluralisme itu pula merebak dalam semua lapangan. Hari ini orang bercakap tentang pluralisme secara politik, falsafahnya, budaya dan bermacam-macam lagi. Wacana ini menarik minat orang ramai kerana orang ramai beranggapan perbezaan agama dan budaya adalah penyebab kepada bermacam-macam konflik. Jadi, kerana ada tanggapan begitu, untuk menyelesaikan masalah, orang mencadangkan semacam satu penyelesaian iaitu menerima satu keyakinan bahawa kebenaran itu bukan hak mutlak agama tertentu sahaja. Kononnya dengan keyakinan ini sahajalah konflik berdasarkan agama dapat dihindari”


”Baik, pertama adalah pluralisme itu satu toleransi. Kedua, pluralisme menegaskan wujudnya hakikat yang satu. Ketiga, pluralisme melihat hakikat yang satu itu boleh ditanggapi dengan cara yang berbeza. Dan keempat, pluralisme membawa erti hakikat itu terdiri daripada pelbagai unsur dan masing-masing terdapat dalam pelbagai agama”

Faisal Tehrani menjadikan keempat-empat elemen dalam pluralisme sebagai cambahan pengisahan dan hujahnya. Walaupun penghujahanya itu cukup teknikal sifatnya tetapi begitu bermakna untuk pembaca mendalami pemahaman tentang sebab dan akibatnya. Faisal Tehrani melakukan perbandingan yang wajar untuk memperlihatkan kesan terhadap nilai benar dan salah anggap ini. Ini terungkap dalam halaman 35 hingga 41.
”Betul tu. Islam malah menyanjung tinggi tolak ansur. Islam tidak menerima pemaksaan terhadap satu-satu pendapat. Itu bukan gaya Islam. Tambah-tambah kalau ada kekerasan fizikal. Islam menengaskan setiap manusia berhak memilih agamanya sendiri dan mazhabnya sendiri tetapi dalam masa yang sama perlu menghormati orang lain yang memilih anutan yang berlainan”

”Faham golongan pluralis ini absurd. Disinilah mereka merepek dan merapu menyatakan bahawa Al-Quran yang berada di tangan kita sekarang bukannya wahyu Tuhan, melainkan tafsiran-tafsiran agamawan zaman lampau...di sinilah mereka memasukkan jarun kesesatan dengan mengatakan bahawa manusia telah berkembang...maka mereka menuntut Al-Quran disesuaikan dan dikaji semula sepanjang zaman”

”...bagaimana kita nak huraikan dan terima hujah tuhan itu satu dalam masa yang sama Tuhan itu tiga? Atau lebih keliru, bagaimana kita nak menjelaskan atheisme itu benar dan dalam masa yang sama, kita mengatakan theisme juga benar?”

”...menurut mereka semua agama adalah satu komponen hakikat. Ertinya, hakikat benar dan utuh itu sedikit terpecah ke dalam agama Islam, sedikit terpecah ke dalam agama Kristian dan yang lain pula terdapat dalam agama Hindu. Jadi tidak ada agama yang sempurna..”


Faisal Tehrani berterusan menjadikan isu pluralisme sebagai punca pengisahan yang cukup dominan sebagai satu persoalan besar dan wajar difahami sedalam-dalamnya. Justeru, penjelasan demi penjelasan tentang prinsip pluralisme disadurkan dalam karyanya ini. Ada enam prinsip pluralisme pada Faisal Tehrani yang cukup mengerunkannya. Hal ini terungkap pada halaman 51 hingga halaman 58.
”Pluralisme adalah satu fahaman sesat yang berasaskan materialisme dan sekularisme”

”Kita turut menolak golongan pluralis ini kerana mereka memandang bahawa semua agama itu benar”

”Idea pluralisme ini ialah satu pemaksaan sebetulnya terhadap umat manusia melalui satu penyatuan agama dengan format ciptaan mereka sendiri”

”Kaum yang mencipta idea pluralisme ini percaya bila tak ada sesiapa yang berhak menyatakan itu benar dan ini salah, maka manusia takkan ada perbezaan lagi dan boleh bersatu di bawah penghayatan yang seragam”

”Kerja golongan pluralis ini ialah untuk mengaburkan identiti manusia”

”Sebenarnya gerakan pluralisme ini ialah gerakan ideologi Barat yang mahu mendominasikan budaya dan kehidupan manusia”

Bagi memantap lagi pemahaman tentang pluralisme ini, Faisal Tehrani memurnikan karyanya dengan mengaitkan tokoh atau antara pelopor pluralisme. Tentu sahaja, fakta ini merupakan satu ilmu yang barangkali tidak mampu kita peroleh melalui bacaan karya kreatif. Kalau sengaja untuk membaca buku yang khusus, kemungkinan maklumat atau ilmu tentang hal ini tidak kita ketahui. Faisal Tehrani seakan memudahkan lagi pemahaman kita tentang persoalan ini. Penjelasannya ini terungkap pada halaman 63 hingga halaman 65.
”John Hick inilah yang memperkenalkan semula idea pluralisme ini di dunia Barat. Baiklah, begini, menurut John Hick, keyakinan manusia terhadap agama ada tiga jenis. Yang pertama dia namakan eksklusivisme, iaitu keyakinan yang hanya satu agama sahaja memiliki muatan kebenaran”


”Kedua menurut Hick terdapat keyakinan manusia terhadap agama yang berbentuk inklusivisme”

”Hick menyarankan supaya diperakukan kebenran dalam semua agama dengan menggabungkannya bagaikan satu agama baru yang dinamakan pluralisme”

”Pluralisme ini pula terbahagi dua iaitu pluralisme eksternal agama, iaitu kepercayaan bahawa semua agama yang ada itu benar dan pluralisme internal agama iaitu perakuan atau keyakinan bahawa semua mazhab dalam sesebuah agama itu benar dengan alasan yang ada hanyalah perbezaan penafsiran”

Soal Islam liberal juga disentuh oleh Faisal Tehrani sebagai satu masalah yang memungkinkan kejadian murtad. Agama dianggap urusan peribadi atau soal personal. Idea sesat makin berleluasa. Bahkan, institusi keluarga Melayu telah runtuh, nilai tradisionalnya diganti dengan nilai sekular. Rempuhan globalisasi dianggap mengancam kepupusan Melayu Islam. Hal ini terungkap pada halaman 24;
”Mereka rasa lebih moden, lebih progresif. Islam pula selama ini pun telah dimomokkan sebagai agama konservatif, ortodok, mengekang hak asasi, anti kemajuan dan pembangunan dan tak kurang pula yang mengaitkan Islam dengan terorisme”

Begitu juga dalam soal murtad. Faisal Tehrani membuat penjelasan yang cukup rinci tentang persoalan dan penyebab murtad. Ini terungkap cukup nyata pada halaman 128. Setiap penyataan atau hujahnya dihuraikan dengan penuh tanggungjawab bermula halaman 129 hingga halaman 133.
”Ada empat perkara asas yang menyebabkan murtad. Pertamanya ahila kerana kepercayaan, murtad iktiqadi namanya. Kedua murtad qawli iaitu dilakukan dengan perkataan. Seterusnya ada murtad fi’il yang kita katakan murtad disebabkan perbuatan. Sementara yang terakhir ialah murtad kerana meninggalkan sesuatu”




Paling menarik Faisal Tehrani membuat kesimpulan bahawa kelemahan itu terjadi kerana disebabkan orang Islam sendiri. Walaupun penghujahan dan persoalannya berligar tentang agama, pluralisme dan globalisasi, Faisal Tehrani meletakkan punca utama masih bersandarkan kepada nilai diri manusia yang mengakui Islam sebagai pegangannya. Hal ini Faisal Tehrani ungkapkan melalui halaman 304 hingga halaman 305 dengan menyenaraikan bahawa ada tiga penyebabnya iaitu;
Pertamanya, orang Islam lemah dalam urusan ilmu, kerana mereka meninggalkan sumber-sumber ilmu itu sendiri. Aibatnya sesetengah ibadat yang punya falsafah esoterik yang emndalam seperti Umrah dan Haji ini tidak dapat dihayati sebagai penjana muhasabah, motivasi dan kekuatan dalam kalangan umat Islam. Keduanya, kemunduran umat Islam ini diburukkan oleh gerakan dari dalam Islam sendiri (yang mungkin ditaja musuh Islam) dengan menjadikan Islam sebuah agama yang sempit dan tidak lagi berkilau seperti pual ultra puritan. Ini dengan sendirinya menyuburkan kelompok liberalis.
Ketiganya dilihat dari luar. Islam hanyalah agama upacara yang tidak kemilau. Pada hal Islan adalah sebuah agama yang melibatkan semua ahli masyarakat. Sedangkan Islam penuh dengan prinsip seperti amal makruf nahi mungkar yang membolehkan Islam berdepan dengan apa juga rintangan, khususnya globalisasi. Sesungguhnya, membaca ”Tuhan Manusia” bukan sahaja menikmati sebuah karya sastera yang cukup murni tetapi juga penuh nilai ilmu yang membuka mata fikir dengan penuh kesedaran dan keinsafan.

GETUS FIKIR 2

Kehidupan yang kita lalui ini sebenarnya terlalu banyak ceritanya. Berlainan orang berbeza juga pemahamannya tentang hidup. Ada kehidupan yang ditunjangi kehendak hidup itu semata-mata. Ada juga kehidupan yang terlalu menjauhkan makna kehidupan tanpa menilai untuk apa hidup atau hidup untuk apa. Sesetengah orang melihat kehidupan sebagai satu perkebunan yang nanti akan memberi hasil di perjalanan yang lain. Tidak kurang juga menjadikan kehidupan ini jalan pintas mencari dan membina kemasyhuran. Akhirnya, persoalan ini akan berlegar-legar dalam skop “kehidupan” yang seadanya.
Dalam keluaran yang lalu banyak sudah kita bincangkan mengapa kita perlu berfikir dengan setiap situasi yang berlaku kepada diri kita dan juga kesannya kepada orang lain. Ini semua salah satu elemen yang utama mencorakkan pemaknaan kehidupan kita. Elemen ini berkaitan dan menjadi rangkaian yang akan saling ikat mengikat antara satu sama lain. Ini semua berlaku tanpa kita sedari. Kalau pun sedar, kita langsung tidak mempedulikannya kerana proses ini berterusan dari semasa ke semasa.
Keberterusan inilah yang harus kita hargai dan kita murnikan dengan segala kudrat kita sama ada dari segi daya fikir atau sosial kita. Menghargainya bukan hanya dengan memberi sokongan tetapi juga pengorbanan. Kita menjadi sedih apabila kita melihat orang dalam kesusahan. Itu daya fikir kita. Tapi apa tindakan yang boleh kita lakukan demi membantu orang dalam kesusahan tersebut? Sekurang-kurangnya membantu kita meredakan kesedihan kita.
Begitu juga dengan memurnikan keadaan yang sedemikian. Apakah sekadar dengan melontarkan senyuman semata-mata? Sedangkan kita sesama kita sewajarnya mendorong dan memberi inspirasi yang tidak berbelah bagi, selagi sesuatu yang kita kerjakan adalah demi kebaikan bersama. Bahkan, telah kita bincang banyak kali bahawa, seintim mungkin kita mencari persamaan dan sedaya mungkin kita meminggirkan perbezaan.
Kita tidak mampu menghurai mengapa kita mampu dan mahu membuat perkara tersebut tetapi tidak bagi seseorang yang lain. Begitu juga sebaliknya, kita hairan dan kadang-kadang menjadi prejudis apabila seseorang yang lain mampu dan mahu membuat sesuatu sedangkan kita tidak. Hal-hal seperti ini ada kalanya menjadi kita melihat hanya dalam lingkaran sama ada daya fikir atau daya tindak kita sahaja. Bagi kita apa yang orang lain lakukan adalah tidak betul.
Justeru timbul “pemikiran” kita yang tidak berfokus dan cuba mencari sesuatu yang lebih mementingkan nilai kita berbanding nilai bersama. Memang kita perlu akui ada kalanya tidak mudah menerima sesuatu yang baru serta perubahan yang mendadak. Tetapi, jalan lain ke arah memurnikan keadaan ini dapat dicapai seandainya kita mengutamakan “pemikiran” yang mampu mendorong ke arah tersebut. Apa pun tindak tanduk kita, pemulanya adalah cara kita berfikir.
Kalau kita berfikir untuk kebaikan pasti hasilnya begitu juga. Hal ini pun sudah kita sentuh dalam keluaran yang lepas-lepas. Namun sekadar memugar kembali ingatan tentang betapa pentingnya kita berfikir dalam konteks yang harmoni agar kesan pemikiran kita mampu mencetus daya tindak yang mendorong orang lain juga mahu berfikir dan bertindak dengan sebaiknya. Konflik dan pertelagahan sebagai elemen kehidupan sebenarnya baik kalau di nilai dari segi positifnya. Cuma sejauh mana kita mahu menjadikan konflik dan pertelagahan sebagai pembuka jalan baru kita mencapai kehendak serta tuntutan bersama, itu yang perlu difikirkan sebaik mungkin.
Keadaan seperti itulah yang mematangkan kita dengan menjadikan kita berfikir dengan lebih baik, bertindak pun lebih baik dan tujuan yang kita hendak capai pun bertujuan baik. Mari kita sama-sama menghayati ungkapan ini iaitu “Insan yang berfikiran tinggi, gemar berkata tentang ilmu, insan yang berfikiran sederhana gemar berkata tentang peristiwa dan insan berfikiran rendah gemar berkata tentang insan lain. Jadi, kita harus berada di tahap mana? Terpulang kepada diri kita sendiri.

CERPEN

MEIOSIS

Perjalanan pulang petang itu penuh desir bisik angin yang mengiring kuntum bunga daun yang berjatuhan. Satu persatu membaringkan diri bagai menjamah janji pada dasar ulit bumi. Bukan secara mendadak. Tetapi cukup teratur. Di alun-alun dengan belai yang manja. Sesekali terdengar desus resah menerpa kerana asyik yang memuncak. Tetapi bukan paksaan, bukan. Semuanya berdasarkan kerelaan dan kesungguhan untuk mengecapi dengan penuh murni agar kenikmatan yang dikurniakan oleh-Nya wajar disyukuri.
Perhitungan yang bermain di dalam kepalanya semakin menemui nekad. Mahu atau tidak, bukan lagi persoalan. Jawapan harus dicari. Bukan untuk menentang tetapi untuk membuktikan bahawa apa yang dilakukannya adalah untuk kebaikan semua. Bukan untuk kepentingan diri. Semuanya demi kebaikan bersama. Baginya, sudah acap kali jalan-jalan ini dilaluinya dengan seribu suka dan duka. Semuanya mengajar pengertian alam. Antara kemahuan dan kehendak. Juga tuntutan dan kemampuan. Sesekali, tersadung oleh hambatan kepercayaan. Sesekali tergelincir oleh kelekaan. Semuanya dihargai. Semuanya di mengertikannya dengan hasrat dan cita-cita.
Bahkan kesediaannya mengecapi rezeki dan merelakan pertemuan yang menjalinkan nilai sebuah persahabatan di antara mereka, seakan menjadikannya lebih memahami, bahawa ruang kehidupan ini perlu dipenuhi dengan segala kemahuan bersama. Bukan hanya kepentingan diri. Baginya, tidak rugi mempunyai kehidupan sekalipun terisi liku yang melukakan seandainya kehidupan itu dimeriahkan dengan perkongsian yang harmoni berbanding dengan usaha menggadaikan kehidupan semata-mata kerana mengisi sesuatu yang tidak mampu kita lakukan. Itu prinsip yang dipertahankan olehnya.
“Sudahlah, mungkin cubaan untuk kita. Percayalah, semua kejadian ini hanya Dia yang mengetahui”
Hanya ungkapan itu yang termampu diluahkannya, dalam desak yang semakin menghimpit keputusannya. Walaupun belum diputuskan apakah jalan yang terbaik untuknya, tetapi kesan dan impaknya sudah cukup terasa. Baginya, kalah atau menang bukan soalnya tetapi baginya ini soal prinsip. Soal perjuangan yang murni lagi suci. Sesiapa pun, baginya berhak menyatakan hasrat, tetapi pegangan kepada yang Hak harus didahulukan. Baginya tidak ada penyesuaian yang boleh memusnahkan yang hak. Apatah lagi yang melibatkan hukum.
“Kamu kena bijak mentafsir. Bukan dibuai dengan tanggapan semata-mata. Kamu perlu meneliti, bukan mengikut secara membuta tuli”

KALAU LAH

Kalau lah...
Ada sejuta ringgit akan kita adakan seminar besar tentang pujangga
Kalau lah...
Ada seribu ringgit akan kita adakan pertemuan mesra mengisi masa
Kalau lah...
Ada seratus ringgit akan kita duduk semeja bercerita rasa
Kalau lah...
Ada seringgit cuma akan kita pandang ke luar jendela mengutip mimpi
Kalau tidak punya apa apakah kita termenaung saja?
Kalau lah...

Monday, June 16, 2008

SUARA

SASTERA SARAWAK PERLU PERUBAHAN ?

oleh: Jaafar Haji Hamdan

Perkembangan sastera masa kini amat dipengaruhi oleh keadaan dunia yang berorentasikan teknologi maklumat. Sastera perlu meletakkan dirinya dalam kelompok arus komunikasi yang didominasikan oleh teknologi maklumat. Sekiranya sastera masih selesa bertunjangkan pada akar dirinya maka sastera akan mengalami satu proses peralihan yang amat perlahan dan mungkin tidak lagi dipedulikan serta tertinggal mencari arah tujunya.
Aspek ini bukan sahaja perlu dilihat dari segi kegiatan sastera semata-mata tetapi juga dari segi penghasilan karya sastera. Dalam konteks negeri Sarawak, kegiatan sastera begitu terserlah akhir-akhir ini dengan kejayaan bengkel penulisan yang diadakan mampu melahirkan penulis muda yang cukup berbakat dalam pelbagai genre serta pelbagai kegiatan yang telah dijalankan secara menyeluruh dan terancang. Bahkan tahun 2002 juga menjadi sejarah yang cukup bermakna buat negeri Sarawak apabila penulis Sarawak memenangi Hadiah Sastera Perdana.
Namun demikian, sastera Sarawak memerlukan pembinaan serta perancangan yang berterusan agar mampu mengiringi tuntutan semasa. Kejayaan yang telah diperolehi hendaklah dijadikan satu cabaran yang akan mengundang lebih daya fikir setiap warga sastera di Sarawak untuk lebih berani ke depan dengan idea-idea baru. Ini bermaksud setiap karyawan sama ada yang sedia mapan atau karyawan muda perlu bersatu dan saling bantu membantu menyusun atur satu usaha bersama memperkembangkan sastera di Sarawak.
Justeru, sastera Sarawak perlu melakukan perubahan, selaras dengan perkembangan semasa. Perubahan ini juga perlu mengiringi hasrat kerajaan yang menginginkan sebuah negara yang masyarakatnya maju dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, politik, sosial, pendidikan, budaya dan seterusnya sains dan teknologi. Untuk mencapai aspirasi muluk ini, salah satu pra-syaratnya ialah perlu mewujudkan budaya fikir di kalangan masyarakat.
Dalam sejarah tamadun bangsa-bangsa yang pernah mencapai zaman kegemilangan mereka, jelas terbukti mereka mengamalkan penghayatan budaya fikir yang tinggi. Contohnya tamadun Yunani yang unggul kerana ketinggian daya intelek dan ketulenan pemikiran mereka yang mengkagumkan. Nama-nama besar seperti Aristotle, Socrates, Pluto dan Pythagoras tetap harum sehingga ke hari ini.
Begitu juga dengan tamadun Islam yang menghasilkan gagasan-gagagsan ilmu yang asli dalam pelbagai bidang daripada agama, politik, sosial, undang-undang, perubatan dan sains. Para pemikir besar islam seperti Al-Ghazali, Al-Kindi, Al-Farabi dan beberapa lagi nama besar telah memberi sinar yang amat berguna kepada dunia hari ini.
Mungkin agak keterlaluan sekiranya mengharapkan di Sarawak akan lahir pemikir besar khususnya dalam sastera seperti Dato A. Samad Said, tetapi tidak juga mustahil ia boleh berlaku. Di Sarawak nama-nama seperti Dr. Adi Badiozaman, Awangku Merali, Jong Chan Lai, Saie Dris, Jais Sahok, Jeniri Amir, Awang Azman Awang Pawi, Hazami Jahari, Abang Patdeli Abang Muhi ( sekadar menyebut beberapa nama ) bukan lagi asing dalam dunia kepenulisan sama ada di peringkat negeri mahu pun kebangsaan.
Mereka mempunyai bukan sahaja kehebatan berkarya, berhujah dan menyuarakan pendapat tetapi juga berpotensi memikirkan rentak yang paling sesuai untuk menarikan sastera Sarawak dalam arus kepesatan sains dan teknologi ini. Hakikatnya, penulis baru/muda akan mencontohi penulis yang sedia mapan. Sekiranya penulis sedia mapan masih bertakuk di lingkaran yang biasa maka penulis baru/muda juga akan terkepung dalam lingkaran yang sama.
Ini penting bagi menyediakan golongan karyawan pelapis dengan irama yang sesuai agar tarian mereka tidak akan canggung sewaktu melahirkan karya yang tahapnya memenuhi kehendak semasa, kerana sastera Sarawak juga menjanjikan satu persaingan yang cukup hebat dengan kemunculan penulis pertengahan dan baru yang mempunyai daya kepenulisan yang amat berpotensi menerobosi kehebatan penulis mapan yang sedia ada.
Nama-nama seperti Abizai Abi, Jaya Ramba, Dahiri Saini, Rosani Hiplee, Abdul Malek Bedu, Khatem Ariffin, Buang Haji Omar, Radzemah Bolhassan, Sriwati Labot ( sekaadar menyebut beberapa nama ) begitu terserlah dan mula meletakkan diri serta mengisi ruangan sastera kebangsaan. Karya-karya mereka menampakkan kematangan, menyerlah kewibawaan dan telah membina kejatian diri mereka dalam penulisan
Tidak dinafikan kewujudan “Wadah Bahasa dan Sastera” serta “Yang Indah Itu Bahasa” dan juga ‘Jendela Sarawak” telah membuka horizon sastera Sarawak dengan lebih luas, lebih menyeluruh dan lebih tersebar bagi masyarakat mengenali sastera Sarawak. Di samping menjadi taruhan bagi penulis Sarawak memgembang bakat dan mengetengahkan diri dalam dunia penulisan sastera di Sarawak.

Perubahan yang dituntut dalam konteks sastera Sarawak perlu dilakukan kerana proses perubahan adalah sesuatu yang tidak boleh dielak. Ini bukan sahaja melibatkan proses pengubahsuaian tetapi juga proses pembinaan yang berterusan terhadap nilai sastera itu sendiri. Perubahan juga perlu dilakukan bagi mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan karyawan agar persaingan itu nanti mampu melahirkan karya yang besar sifatnya.
Perlu diingatkan bahawa perubahan ini bukan sahaja perlu dilakukan oleh individu penulis semata-mata tetapi juga oleh kumpulan dan khalayak sastera. Sesebuah kumpulan yang dibentuk khususnya dalam kelompok penggiat sastera perlu menyemai rasa tanggungjawab membantu sesama mereka bagi mempertingkatkan paradigma pemikiran secara lebih telus dan terbuka. Khalayak sastera juga perlu bijak memilih bahan yang sesuai, bermanfaat dan berguna unuk dibaca, dirujuk dan dihayati.
Perubahan bukanlah seseuatu yang semula jadi. Ia perlu dihadapi. Ia tidak berlaku dengan sendiri. Ia harus diterima dan dijadikan sebagai satu keperluan. Perubahan tidak dapat ditentang. Menyedari hakikat ini, perubahan terhadap sastera Sarawak perlu ditangani oleh setiap karyawan sekiranya mahu melihat sastera Sarawak berkembang dengan baik.
Tidak dinafikan sesuatu perubahan akan mengundang pelbagai tafsiran dan andaian. Perubahan adalah relatif. Terpulang kepada setiap individu karyawan, peminat dan kumpulan sastera menentukan corak sasteranya, asalkan tidak terkeluar daripada norma-norma kesusasteraan yang menjadi santapan sahsiah dan minda masyarakat. Ini bermakna setiap karyawan perlu menjadi sesuatu perubahan itu sebagai asas membina nilai dirinya dalam penulisannya.

Seseorang karyawan perlu melakukan perubahan kognitif bagi membina daya fikir yang lebih teransang untuk menerima pelbagai maklumat yang kemudiannya disaring untuk dijadikan ilham dan seterusnya bahan karya bagi tatapan khalayak sastera. Kemudian seseorang karyawan perlu juga melakukan perubahan afektif dengan membina rangkaian kerjasama dengan karyawan lain bagi berbincang, beertukar-tukar pendapat dan berkongsi idea sama ada dalam konteks penghasilan karya atau pun menjalankan kegiatan sastera.
Yang paling penting seseorang karyawan perlu melakukan perubahan konatif dengan mengambil kira ilham yang dicerna dan karya yang dihasilkan adalah untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang manusia untuk manusia bagi menyatakan sesuatu yang baik tetap baik dan sesuatu yang tidak baik perlu diperbetulkan. Penekanan ini juga perlu disalurkan dalam hubungan sesama karyawan agar mencapai kata sepakat yang pasti mengeratkan ikatan kepenulisan sesama mereka.
Sebagai seorang karyawan yang merupakan seorang pemikir, perlu percaya bahawa perubahan yang dilakukan adalah selaras dengan perkembangan semasa, yakin bahawa perubahan sebagai satu proses revolusi diri untuk lebih ke depan dari segi pemikiran serta mahir untuk bertindak atau mengambil langkah--langkah untuk berubah agar karya yang dilahirkan sesuai dengan kehendak masyarakat masa kini.
Kemahiran dan keyakinan untuk melakukan perubahan terhadap karya atau menjalankan sesuatu kegiatan sastera boleh dipelajari dari semasa ke semasa dengan menilai setiap yang dihasilkan, bahkan mampu dikongsikan bersama orang lain bagi menetukan kaedah dan pendekatan ang paling sesuai.
Sebagai contoh hasil karya yang dihasilkan perlu menitik beratkan isu semasa yang dianggap remeh, tetapi diwarni dengan nilai estetika yang tinggi, pasti akan menarik minat pembaca termasuk menggunakan istilah atau diksi yang segar (baru) Apa pun, yang diharap daripada setiap perubahan yang dilakukan mampu membawa perubahan persekitaran sastera itu sendiri khususnya sastera di Sarawak .
Mungkin masyarakat tidak lagi memperlecehkan sastera sekiranya perubahan yang dilakukan menampakkan tautan yang cukup erat dengan keciciran sosial masa kini. Di samping itu perubahan yang dilakukan terhadap sastera akan memberi nafas baru kepada sastera dengan bertambahnya khalayak sastera daripada mereka yang menguasai pelbagai bidang kemahiran lain.
Mungkin juga tanggapan awal ini mampu menjadi asas untuk dihayati dan direnungkan bersama demi mempertingkatkan kesusasteraan Sarawak dan dalam kesempatan lain, amat dituntut agar ada di kalangan mereka yang lebih berpengaruhi dalam sastera Sarawak untuk tampil bersama melihat dan mengutarakan idea bagi menangani perubahan sastera Sarawak dengan lebih terperinci dan kajian yang rapi perlu dijalankan.