Sunday, December 28, 2008

DOA


SAJAK



BICARA KITA
(buat teman dalam dunia sastera)

Dengan kata-kata
engkau tikam;
kerisnya racun rindu
menusuk dalam-dalam
pedih dan ngilu,
aku jadi sendu

Dengan helah kata
engkau rejam;
lembingnya cabang makna
menembusi santun susila
perih dan perit
aku jadi sakit

Dengan muslihat kata
engkau bidik;
pistolnya berpeluru dusta
menembusi jantung rasa
parah berdarah
aku jadi resah

Dengan dalih kata
engkau ragut;
tangannya pura-pura
meranapkan sumpah setia
hancur berkecai
aku jadi kesal

Lalu, dari indah kata-kata
engkau bunuh segalanya
dengan pelbagai cara
menilai sebuah bicara;
lalu aku menjadi amat kecewa !

Kuching.

DIALOG TELUK

DIALOG TELUK KE-6, PEMANGKIN PERSAUDARAAN SERANTAU


Peradaban manusia lahir daripada suatu proses perubahan sosial dan kebudayaan dalam suatu tempoh waktu yang panjang. Kompleks atau tidaknya tergantung pada kebijaksanaan kelompok manusia itu menangani dan memajukannya. Sama ada untuk menjadi masyarakat yang menguasai ilmu pengetahuan dan bersedia menerima desakan pembangunan semasa dari semua segi dan sudut secara positif tanpa mengabaikan nilai diri.
Sesebuah bangsa mempunyai kebudayaan tersendiri sebagai ketamadunannya. Citranya ditentukan oleh kesedaran terhadap tahap pendidikan dan kekuatan mereka mengamalkan kehidupan berbudaya tinggi. Elemen politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan menjadi daya tujah dalam usaha membina ketamadunan sesuatu bangsa. Ini selaras dengan tuntutan dan proses perkembangan dunia memasuki alaf baharu ini. Pengaruh globalisasi dan liberalisasi turut menyerap dalam nilai “diri” sesuatu bangsa.
Menyedari hakikat ini, negara seperti Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik memerlukan komitmen mereka untuk bersama-sama menjiwai kenegaraannya. Khususnya, negeri seperti Sabah dan Sarawak yang sememangnya mempunyai kepelbagaian kaum dan etnik. Kepelbagaian ini menjadi inti utama menjalinkan kesefahaman yang padu, telus dan murni. Negara seperti Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan konsep majmuk, namun kemajmukan itu wajar dan harus dipelihara dari semasa ke semasa sesuai dengan hasrat dan cita-cita menjadi negara maju pada 2020.
Hal ini cukup penting kerana bangsa Malaysia sedang berhadapan dengan krisis budaya dan konflik nilai sosial ketika usaha ke arah menjadi negara maju semakin hampir. Justeru, konsep budaya bangsa Malaysia dalam acuan sendiri sebagai sebuah negara yang maju sewajarnya diperbincangkan dengan melihat sejarah, proses perkembangan pembangunan fizikal, mental serta spiritual, senario semasa dan tanggapan masa akan datang diperhalusi, sesuai dengan nilai dan terma bangsa Malaysia secara mutlak dan tuntas.
Kebermaknaan budaya bangsa Malaysia sebagai asas mengembalikan nilai bangsa dalam arus semasa menjadikan usaha yang berlipat ganda serta berterusan dilakukan. Walaupun demikian, penglibatan seluruh peringkat masyarakat begitu penting bagi menjamin kekalnya penghayatan dan amalannya. Untuk itu, perancangan kebudayaan dan kesenian perlu mempertimbangkan usaha memperbanyak dan mempromosikan keilmuan secara lebih langsung dan terancang melalui pertemuan, dialog, perbincangan, diskusi dan sebagainya.
Ini termasuklah melalui kaedah eksperimentasi dan penyesuaian terhadap sesuatu yang baharu bagi tujuan pendidikan dan perkembangan; mewujudkan komunikasi dan penyebaran maklumat yang berkesan serta melibatkan peranan sebaran am dan mempopularkan keperluan khidmat sosiobudaya secara lebih menyeluruh dan berfokus.
Ini memerlukan peranan penulis yang dianggap karyawan, budayawan dan sasterawan agar sama-sama menjadikan ruang dan peluang yang ada sebagai jalan ke arah tersebut. Ia harus menjadi prinsip dan pegangan mereka. Persoalan ini menjadi cukup penting kerana, keadaan semasa telah mendesak agar generasi dan masyarakat kini lebih mengutamakan budaya asal ada dan hiburan semata-mata.
Kalau kita perhatikan di sekeliling kita, maka jelas sekali pembudayaan itu telah sedikit demi sedikit menjadi amalan dan kita khuatir ia akan menjadi tradisi bangsa kita. Ini semua tercorak melalui pemikiran. Pemikiran akan menentukan rangka perancangan dan langkah tindakan.
Menurut Datuk Hassan Ahmad tradisi pemikiran merupakan pengalaman sesuatu bangsa yang berfikir merenungi dan memahami alamnya, baik alam kosmos mahu pun alam terdekat di sekeliling kehidupan sehariannya, sehingga daripada pengalaman itu terhasil beberapa banyak teks yang dapat dikaji sebagai penanda pandangan atau falsafah hidup bangsa itu secara kolektifnya.
Teks-teks itu memberi petunjuk kepada kita tentang konsep ilmu bangsa itu, tentang kaedah berfikir bangsa itu dan tentang proses penciptaan makna yang dilakukan oleh bangsa itu melalui bahasanya sendiri. Tradisi pemikiran kita tidak pernah mengajar kita kurang ajar. Tradisi pemikiran kita cukup analogis sifatnya, kerana pemikiran disampaikan melalui kaedah perumpamaan, kiasan, tamsil ibarat dan juga melalui teknik ironi yang dilihat sebagai menyerlahkan sifat kegeniusan, kegeligaan dan kebijaksanaan minda kita.
Barangkali ini selaras dengan kenyataan Datuk Hassan Ahmad bahawa kita mempunyai tradisi pemikiran yang luar biasa kreatifnya hasil perekayasaan budaya atau cultural production dan repduction sepanjang zaman melalui pertembungan pelbagai tamadun luar- dari India, Islam, Barat dan lebih lagi dari alamnya sendiri dalam membina tradisi pemikiran.
Kini kita menghadapi pelbagai cabaran pembudayaan di dalam serta di luar sama ada peringkat negeri atau negara. Di dalamnya kita semakin terhimpit oleh sindrom lupa sejarah dan pengertian "kesusahan untuk memenangi kesenangan" bagi generasi baru. Di luar kita semakin terdesak oleh dunia menjadi sebuah kampung kabilah (a tribal village) dengan berkonsepkan dunia tanpa sempadan (borderless world) hingga ke dasar langit terbuka (open-sky policy) dan ledakan teknologi maklumat (information technology explosion).
Justeru, peranan karyawan, budayawan dan sasterawan harus dan wajar melihat fenomena ini sebagai satu cabaran yang maha dahsyat. Cabaran yang harus didepani dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran. Barangkali wajar kita sama-sama menghayati pendapat Tun Mahathir Mohamad tentang penggiat bahasa dan sastera. Katanya
“Pada zaman moden, sistem komunikasi telah menjadi alat pembentukan masyarakat yang penting dan para intelek dan penulis menjadi golongan penting bagi menggerakkan dan mempengaruhi sistem ini. Dengan kata lain, pemikiran dan masa depan sesuatu masyarakat secara langsung atau tidak langsung dikuasai oleh para intelek dan penulis”
Begitu juga dengan penegasan novelis terkenal Peru, Mario Vargas yang pernah berkata bahawa “Penulis boleh menyumbang ke arah ini, seperti apa yang terjadi pada waktu lalu apabila mereka masih yakin bahawa kesusasteraan bukanlah menghibur semata-mata, tetapi adalah untuk membangkitkan keprihatinan, untuk memberi amaran tentang bahaya dan untuk mengilhamkan tindakan terhadap cita-cita yang unggul”
Menyedari hakikat ini, Dialog Teluk ke-6 telah diadakan semula setelah hampir tujuh tahun tidak dilaksanakan. Dialog yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan ini telah dilaksanakan pada 14 hingga 16 November 2008. Tema dialog kali ini ialah “Teluk Pemangkin Persaudaraan Serantau”. Sekitar hampir 100 orang peserta telah berkampung di Hotel Sara, Wilayah Persekutuan Labuan bagi merealisasikan kegiatan ini.
Berdasarkan sejarah, program Dialog Teluk (DITEL) pada awalnya diberi nama Dialog Penulis Teluk dan dirintis oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) pada 24 hingga 26 Disember 1987 sebagai Dialog Teluk yang pertama. Program ini mendapat sokongan dan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Maka, program ini kemudiannya dilanjutkan pula oleh Angkatan Sasterawan Brunei (ASTERAWANI) pada 24 hingga 26 Disember 1988 di Bandar Seri Begawan. Nama program ini kemudiannya ditukar kepada Dialog Teluk Brunei dan dianggap sebagai Dialog Teluk kedua.
Selepas itu, program ini diteruskan oleh Badan Seni Budaya Limbang pada 29 hingga 31 Mei 1990. Sewaktu program ini diadakan di Limbang, program ini dinamakan semula sebagai Dialog Teluk yang ketiga. Program Dialog Teluk keempat sepatutnya diadakan di Sabah pada tahun berikutnya, tetapi kerana kekangan dana maka Dialog Teluk tidak dapat diadakan. Setelah hampir tujuh tahun, pada 10 hingga 14 Julai 1997, Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) telah mengadakan semula Dialog Teluk di Kota Kinabalu. Ini dianggap Dialog Teluk yang keempat.
Dialog Teluk kelima diadakan di Sipitang pada 10 hingga 12 November 2001 oleh Majlis Bahasa dan Sastera Negeri Sabah. Objektif asal program ini diadakan ialah sebagai wadah kepada bahan-bahan kebahasaan dan kesusasteraan di kawasan wilayah pesisir Teluk Brunei. Program Dialog Teluk ini seperti juga Dialog Utara, Dialog Pantai dan Dialog Selatan di Semenanjung Malaysia.
Justeru, matlamat program ini khusus menghimpunkan penulis, karyawan dan budayawan dalam usaha menjalinkan kerjasama dan mengeratkan silaturahim. Di samping itu juga, melalui pertemuan ini dapat dijadikan medan memperkenalkan adat budaya masyarakat setempat. Maka, Dialog Teluk kali keenam ini, menjadi titik mula untuk mengimarahkan kembali peranan Dialog Teluk.
Melalui temanya “Teluk Pemangkin Persaudaraan Serantau” , Dialog Teluk keenam ini terisi dengan satu ucap utama dan sejumlah 11 buah kertas kerja. Ucap utama telah disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Zainal Kling. Inti ucap utama berkisar tentang tema dan kaitannya dengan keadaan semasa. Di samping peranan karyawan dalam usaha menjadikan dialog sebagai landasan memulakan semangat baharu memartabatkan Bahasa Melayu.
Di samping itu, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling juga membuat penegasan bahawa, konsep Melayu berlandaskan Melayu serantau yang meliputi Nusantara. Justeru, tambahnya, tidak timbul istilah “pelbagai kaum” bagi membezakan kelompok ini. Adapun pembahagian itu berlaku kerana konsep etnik yang melalui pembahagian masyarakat berdasarkan penempatan dan adat resam yang diwarisi.
Pembentangan 11 buah kertas kerja memberi pelbagai dimensi perbincangan. Namun, masih menjadikan tema dialog sebagai inti pati utama perbincangan. Negara Brunei diwakili oleh Haji Jawawi Haji Ahmad dengan kertas kerjanya berjudul “Bahasa Beradat” Disanjung Kepuitisan Kata-Kata Merantang Ilmu Disambut” dan Tuan Haji Ariff dengan kertas kerja berjudul “Semiotik Budaya Dalam Pantun Maritim”.
Kertas kerja Tuan Haji Jawawi meneliti bahasa sapaan dan ganti diri dalam darjat percakapan. Di samping mengetengahkan keindahan bahasa dalam jampi serapah yang kaya dengan adunan ritma dan diksi setara. Keindahan yang terpapar dalam “bahasa beradat” dan jampi serapah ini memberi nilai tentang keutamaan “adat” dalam berbahasa menurut keperluan, suasana majlis dan situasi komunikasi.
Kertas kerja Tuan Haji Ariff, lebih tertumpu pada pantun yang menggunakan lambang yang ada hubungannya dengan kegiatan maritim. Penelitiannya menjurus kepada tanda-tanda melalui pemilihan diksi dengan pendekatan “semiotik budaya”. Cukup menarik apabila pembentang mampu mengaitkan tanda-tanda ini dengan kegiatan ekonomi, budaya dan sosial masyarakat yang mencipta pantun tersebut.
GAPENA sebagai penaung PERWILA turut menyertakan dua orang pembentang iaitu Tuan Haji Hamzah Hamdani dengan kertas kerjanya berjudul “Menelusuri Sejarah, Memaknakan Masa Depan” dan Tuan Haji A.Rahim Abdullah dengan kertas kerjanya berjudul “Menjana Perkembangan Sastera Di Peringkat Wilayah Teluk Borneo”.
Kertas kerja Tuan Haji Hamzah berfokus terhadap perkembangan pertemuan di kalangan karyawan. Perkembangan ini ditekuni berdasarkan sejarah. Tafsiran terhadap sejarah tersebut memberi hasil tentang gambaran, harapan dan tanggapan masa depan, khususnya kegiatan yang ditangani oleh karyawan, budayawan dan sasterawan. Melalui kertas kerjanya ini, tuan Haji hamzah mencadangkan agar PERWILA menjadi sekretariat tetap Dialog Teluk.
Kertas kerja Tuan Haji A. Rahim pula menyentuh soal perlunya kegiatan kritikan terhadap karya penulis di wilayah teluk sebagai penjanaan ilmu sastera. Tegasnya, melalui kegiatan kritikan yang serius dan padu, mampu memberi makna dalam usaha mempertingkatkan mutu dan kesan karya secara lebih menyeluruh. Maka, cadangnya, agar Dialog Teluk akan datang turut membincangkan teori sastera.
Negeri Sabah juga menghantar dua orang pembentang mereka iaitu Encik Ramli Jusoh dengan judul kertas kerjanya “Unsur Perpaduan Dalam Puisi Penyair-Penyair Sabah” dan Encik Mabulmaddin Shaiddin dengan kertas kerja berjudul “Kepelbagaian Citra Tentang Perpaduan Dalam Lima Cerpen”. Kedua-dua kertas kerja ini membuat penelitian terhadap nilai perpaduan dalam karya penulis terpilih negeri Sabah.
Negeri Sarawak turut menghantar tiga orang pembentang, iaitu Encik Jaya Ramba dengan kertas kerjanya berjudul “Landas Gerak dan Langkah Ke Hadapan Penulis Bukan Melayu; Poul Nanggang”, Encik Benyamin Matussin dengan kertas kerja berjudul “Sastera Tradisi; Gambar Bangsa Yang Belum Di Bingkai” dan Encik Ja’afar Haji Hamdan dengan kertas kerjanya berjudul “Pengucapan Puisi Hari Wilayah Dan Bandar Raya; Misi Reformasi Minda”.
Kertas kerja Jaya Ramba jelas meneliti secara langsung sumbangan saudara Poul Nanggang, penulis berbangsa Bisaya melalui cerpen-cerpen yang dihasilkannya. Kertas kerja Benyamin Matussin pula meneliti tentang sastera tradisi, khususnya lagu rakyat yang terdapat di Bahagian Limbang semakin pupus dan perlu dipulihara. Kertas kerja Ja’afar Hamdan pula meneliti tentang kegiatan pengucapan puisi yang disempenakan dengan Hari Wilayah dan Bandar Raya yang pernah diadakan tetapi terhenti sudah hampir tiga tahun.
Tuan rumah, Wilayah Persekutuan Labuan mengetengahkan dua orang pembentang iaitu Encik Mohd. Azri bin Ibrahim dengan kertas kerjanya yang berjudul “Permuafakatan Serantau; Suatu Pengenalan Terhadap Pendekatan Harmoni” dan Puan Aida Nadzlina Abdullah dengan kertas kerjanya berjudul “Teluk Pemangkin Persaudaraan Serantau”. Kedua-dua kertas kerja tuan rumah ini membincangkan persoalan persefahaman serantau dalam usaha mempergiatkan lagi kegiatan mampu dimanfaatkan, khususnya oleh karyawan di lingkaran teluk ini.
Selain daripada pembentangan kertas kerja dan ucap utama, forum teluk juga diadakan dan dipengerusikan oleh Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan. Panelnya terdiri daripada Encik Jasni Matali mewakili Sabah, Tuan Haji Mohd. Taufek Mohd. Saed dan Encik Jaya Ramba mewakili Sarawak dan Tuan Haji Suib dari negara Brunei. Forum ini membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan tema dan juga suasana sastera di tempat masing-masing. Walaupun demikian, hal-hal yang meliputi kesamaan dan perbezaan juga dibincangkan dengan cukup harmoni.
Melalui forum ini juga, beberapa resolusi dihasilkan. Apa pun Dialog Teluk keenam ini benar-benar menyegarkan kembali ikatan dan jalinan antara karyawan kawasan teluk yang semakin lesu dan layu. Sesungguhnya, PERWILA telah berjaya menyemarakkan api persaudaraan yang hampir-hampir terpadam oleh keadaan. Justeru, Dialog Teluk keenam mencatat sejarahnya tersendiri. Syabas dan tahniah buat PERWILA.