Tuesday, September 23, 2008

SEBUAH PERTANYAAN...

MENEKA CINTA

Berbisik bicara
di malam yang lena
bagaikan tiada yang seindahnya

Bertentangan mata
memancarkan rasa
lalu terpendam makna kita jatuh cinta

Mungkinkah ini imbauan mimpi
yang akan pasti
mungkinkah cuma tafsiran sunyi
yang menggamit sepi

Tak mungkinkan bersatu
cintaku dan cintamu
kerana kita cuma menjangka kita bercinta

Tak mungkinkan berpadu
rinduku dan rindumu
kerana kita cuma meneka kita berkasih

Menghitung ketika
berlalu menyapa
akhirnya terpaksa
kita terima kehendak-Nya

Ja’afar Haji Hamdan
Kuching, Sarawak

Monday, September 22, 2008

RAMADAN


Novel Ruma' Kadang- Mohd. Faizal Jamil

BACAAN STUDI BUDAYA DALAM ANAK RUMA’ KADANG
oleh: Ja’afar Haji Hamdan


Pertembungan budaya sudah menjadi isu yang cukup dominan dalam fenomena globalisasi era kini. Seakan tidak ada yang mampu menghalang berlakunya proses pengubahsuaian situasi ini. Perubahan akan berlaku dan terus berlaku dalam apa juga keadaan. Mahu atau tidak, keadaan yang menuntut perubahan akan sentiasa mendahului hal-hal lain.
Proses pembudayaan kehidupan sama ada golongan yang disifatkan sebagai membangun atau golongan yang dianggap minoriti dalam pemodenan tersebut, masih juga meletakkan nilai budaya sebagai inti utama kehidupan. Ini jelas dengan penegasan oleh E.B. Tylor dalam sebuah bukunya Primitive Culture yang menyatakan bahawa, kebudayaan adalah keseluruhan aktiviti manusia, termasuk pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, hukum, adat-istiadat dan kebiasaan-kebiasaan lain.
Marvin Harris dalam bukunya Theories Of Culture In Postmodern Times yang terbit tahun 1999 turut menegaskan bahawa kebudayaan adalah aspek kehidupan manusia dalam masyarakat, yang diperoleh dengan cara belajar, termasuk berfikir dan tingkah laku. Justeru, kebudayaan sering menjadi bahan bandingan dalam proses perubahan dan peralihan yang berlaku melalui pembelajaran dan pengalaman.
Soalnya, perubahan itu bukan hanya melingkari sempadan dunia timur atau barat tetapi juga menerobos nilai tradisi dan moden dalam nilai tempatan. Jalinan antara tanggapan moden dengan keutuhan tradisi seakan sukar menemui kesatuan, sedangkan kedua-dua hal tersebut selaras dengan tuntutan semasa. Maka, tuntutan semasa itu memerlukan sastera sebagai perakam, pencatat dan penilai kepada kebermaknaan kebudayaan itu sendiri dalam konsep sejarah.
Menurut Hutcheon melalui bukunya A Poetics Of Postmodernism: History, Theory Fiction jelas menyatakan bahawa konsep seperti ini sudah dikenal pasti pada abad ke-19 yang mana, sastera dan sejarah sebagai cabang ilmu dalam menginterpretasikan pengalaman. Bahkan sastera dianggap unggul untuk menceritakan masa yang akan datang secara falsafah.
Budaya adalah salah satu kekuatan sejarah, justeru tidak harus meminggirkan analisis dan penelitian terhadap budaya. Lantaran itu, Peter L. Berger dalam bukunya Invitation to Sociology menegaskan bahawa realiti itu sebenarnya terletak dalam pendefinisian. Maksudnya, realiti itu bergantung kepada siapa dan bagaimana merumuskannya.
Demikian halnya dengan realiti budaya. Realiti yang menentukan apa itu budaya dan apakah ciri-ciri budaya, kerana khususnya teori budaya melihat tumpuan tentang world view atau pandangan hidup dan kepentingan pendefinisiannya. Maka, ranah budaya hanya dilihat dalam konteks budaya tinggi-budaya rendah dan budaya nasional- budaya asing.
Sedangkan dalam konsep teori studi budaya yang bersifat multi disiplin itu, harus juga berdiri sebagai tuntutan rakaman terhadap peristiwa dan cerita kebudayaan. Ini jelas ditegaskan oleh Prof. Dr. Nyoman Kutha Ratna dalam bukunya Sastra dan Cultural Studies. Umumnya, tambah beliau, kebudayaan menganalisis manusia secara langsung dalam masyarakatnya serta di tempat kejadian peristiwanya. Apabila ternyata bahawa objek studi budaya merupakan teks, maka teks itu pun dianggap sebagai representasi sesuatu kejadian budaya.
Studi budaya juga memahami teks sebagai karya sastera dalam kaitan alamiah kebudayaan tersebut. Bermula secara tradisi sehingga mendepani perubahan dunia moden. Apa yang penting, studi budaya melihat hubungan manusia dengan budayanya melalui paradigma dan metodologi budayanya yang permulaan sehingga akhirnya. Walaupun secara praktiknya, studi budaya tidak memberi titik akhir dalam perjalanan budaya, namun perubahan yang memberi gambaran baru dalam budayanya juga menjadi unsur penelitian budaya.
Tradisi menjadi pendulu atau pemula yang mencipta proses ke arah pembaharuan yang kemudiannya dianggap satu elemen kemodenan. Namun, pemodenan yang berlaku tidak semestinya mengabaikan nilai tradisi. Nilai tradisi dilihat sebagai satu pegangan yang cukup dominan dalam makna kehidupan. Jalinan inilah yang cuba dirungkaikan oleh Mohd. Faizal Jamil menerusi novelnya yang berjudul “Anak Ruma’ Kadang”
Novel ini merupakan salah satu karya yang telah memenangi hadiah, Sayembara Mengarang sempena perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Novel ini terbahagi kepada 11 bab dan mempunyai 338 halaman. “Anak Ruma’ Kadang” ini mengisahkan pertembungan pendapat antara ayah dan anak tentang masa depan masyarakatnya. Sehingga si anak dihalau daripada Ruma’ Kadang kerana dianggap melanggar pantang larang.
Pertembungan pendapat ini hanya sebagai penyebab cerita. Seperti mana kita temui dalam novel “Kelingkang” Douglas Jaga, atau cerpen “Kumang” Abang Patdeli Abang Muhi. Idea tradisional yang berpijak dengan adat dan idea moden yang berciri logik menjadi satu pemerian yang jelas dalam apa-apa budaya pun. Namun, dalam novel Anak Ruma’ Kadang, mencirikan bahawa akar budaya itu masih terjulang namun, pembangunan yang diterajui oleh kemodenan harus diterima dengan penyesuaian.
Episod cerita novel ini banyak memberi kitaran adat resam mendahului keperluan yang lain. Lantaran itu, setelah berlaku pertelagahan pendapat Galih dan Ganang, Galih, selaku Ketua Kaum cuba membuktikan bahawa kewibawaannya masih utuh walaupun tercalar oleh prinsip anaknya, Ganang. Galih meneruskan peranannya di samping memikul tanggungjawab terhadap kaumnya dalam mendepani masalah meneruskan kemajuan hidup mereka melalui kaedah tradisi dan adatnya.
Sedangkan, Ganang, si anak membawa diri ke bandar raya Kuching dan bertugas dengan kerajaan sebagai pegawai penguasa hutan bagi membina hidupnya semula. Kesan penghijrahannya itu telah menjadikan Ganang seorang penganut Islam dan hidup dalam kelompok masyarakat Melayu. Watak ibu, iaitu Dayung, menjadi mangsa “akibat” pertelagahan antara anak dan ayah itu.
Dayunglah menjadi punca cerita untuk Galih mengalah dan mencari semula Ganang. Setelah berjaya bertemu dengan Ganang, Galih melalui satu lagi episod hidup yang menentukannya untuk menegakkan wibawa seorang Ketua Kaum. Walaupun demikian, si ayah akhirnya menerima perubahan demi menjadikan masyarakatnya maju dan tidak ketinggalan. Galih, si ayah merupakan ketua kaum dan Ganang, si anak seorang pegawai perhutanan berdamai dalam erti kesamaan budaya.
Secara umumnya, novel ini berlatarkan masyarakat Lun Bawang di kawasan Limbang dan beberapa bab berlatarkan Bandar Raya Kuching. Apa yang menarik tentang novel ini adalah, keupayaan pengarang, melukis panorama alam Lun Bawang di samping kejituannya membuat penyataan tentang masyarakat Lun Bawang ini. Keunikan masyarakat Lun Bawang yang kita temui dalam novel ini mencetus nilai pengetahuan yang cukup bermakna. Seakan, pengarangnya orang masyarakat Lun Bawang!
Justeru, novel Anak Ruma’ Kadang ini diteliti melalui pendekatan studi budaya atau cultural studies. Sebagai perbincangan awal, aspek penelitian hanya berpijak kepada nilai sastera karya novel tersebut dengan kaitan tuntutan studi budaya. Nilai sastera yang dimaksudkan adalah pemikiran budayanya namun diteliti melalui etimologi studi budaya.
Apabila membaca studi budaya dalam hubungan bagi memperlihatkan sastera dan budaya terhadap novel Anak Ruma’ Kadang, perkara pokoknya adalah ciri-ciri budaya tradisinya. Tradisinya menjadi susur galur budaya kehidupan mereka. Setiap yang dilakukan memerlukan upaya adat tradisinya. Setiap keputusan memerlukan pertimbangan adat tradisi. Bahkan soal-soal benar dan salah itu pun terungkap dalam adat tradisinya.
Pegangan tradisi memberi kekuatan budaya sebagai pedoman kehidupan. Tanpa tradisi yang merangkumi budaya mereka, maka kehidupan mereka tidak memenuhi tuntutan turun temurun budaya masyarakatnya. Hal ini cukup menarik diteliti dan ditekuni melalui studi budaya. Kerana secara tidak langsung, soal-soal tersirat akan ditemui bagi memberi nilai hal-hal yang tersurat.
Perbincangan serta penelitian ini mungkin akan dipaparkan secara kronologi bab. Walaupun demikian, akan ada lompatan bab seandainya tidak ada ciri-ciri budaya yang boleh diteliti dan ditekuni. Setiap penyataan hasil penelitian hanya berdasarkan asas konsep studi budaya dan bukan secara mendalam dalam memberi interpretasi. Justeru, perbincangan ini menjadi cukup mudah dan senang untuk kita memahaminya. Penggunaan pelin yang berupa penyepit rambut dalam masyarakat Lun Bawang cukup bermakna. Ia bukan sekadar satu pemakaian biasa tetapi terungkap nilai yang tersirat. Ini jelas dalam penyataan pengarang dalam bab pertama iaitu;
Diikatnya dengan kemas dan kemudian diapitnya dengan penyepit rambut yang dipanggil pelin pada hujung rambut. Kalau pada zaman dahulu, semasa bertempur dengan musuh, rambut itu dibiarkan menutupi tengkuk supaya bahagian leher tidak mudah dipenggal atau dipotong. Sebab itulah kaum lelaki Lun Bawang tidak memotong rambutnya.

(Anak Ruma’ Kadang; halaman 21)

Pantang larang juga cukup menjadi persoalan yang amat berat dalam tradisi Lun Bawang. Namun apa yang menarik, pantang larang yang dilanggar akan mengakibatkan satu malapetaka atau bencana terjadi. Hal ini disentuh dengan teliti oleh pengarang dalam novelnya. Walaupun hal sebegini turut menjadi pegangan beberapa etnik lain di Sarawak, namun dalam masyarakat Lun Bawang, si pelanggar pantang larang harus dihukum. Tetapi, dalam tangan Mohd. Faizal, hukuman itu menjadi ringan melalui watak timbang raya ketua kaum, Galih.
Patutlah hasil tanaman padi yang mereka usahakan selama ini tidak begitu menjadi. Rupa-rupanya, ada seseorang yang telah melanggar pantang larang nenek moyang mereka ketika berhuma.

“Galih, sudah jelaslah semua ini berpunca daripada Labo. Dia harus dihukum1” desak salah seorang daripada golongan tua yang berada di situ.

(Anak Ruma’ Kadang; halaman 39)

Persoalan tentang konflik hukuman terhadap Labo terungkap pada halaman 40 hingga halaman 43. Namun, apa yang menarik Mohd. Faizal memberi catatan mitos Lun Bawang tentang beras. Menurut mitos itu, beras adalah manusia, lantaran itu perlu dijaga dan dihormati. Kepercayaan masyarakat Lun Bawang ini jelas terungkap dalam halaman 44 hingga 46. Apa yang menarik, mitos ini dirujuk oleh pengarang melalui buku kajian Meechang Tuie, yang berjudul Masyarakat Lun Bawang. Beliau merupakan anak jati Lun Bawang.
Melalui novel ini juga, Mohd. Faizal turut menurunkan jampi tawar mengei bagi memanggil burung mengei. Upacara memanggil burung berkenaan penting bagi memberi petanda baik. Sekiranya burung berkenaan tidak muncul, maka mereka terpaksa membatalkan niat mereka untuk membuak kawasan baru. Lirik jampi tersebut terungkap pada halaman 60 hingga halaman 61. Di tangan pengarang ini juga, tradisi ini dianggap benar dan bukan mitos semata-mata.
Selang beberapa minit kemudian, entah bagaimana tiba-tiba saja kelihatan sekawan burung hitam terbang lalu di situ. Masing-masing mendongakkan kepala ke langit untuk melihat burung mengei yang amat ditakuti suatu masa dahulu. Sekarang barulah mereka percaya burung itu benar-benar wujud. Bukan mitos semata-mata.

(Anak Ruma’ Kadang; halaman 61)

Dalam novel ini juga, Mohd.Faizal memaparkan pantang larang mentertawakan benda pelik atau kecil. Hal ini turut terdapat dalam masyarakat lain khususnya Melayu. Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu, mentertawakan benda pelik dan kecil akan menyebabkan “kudik” atau “buak” yang berupa angin taufan dan akhirnya disumpah menjadi batu. Hal ini turut ada dalam masyarakat Lun Bawang.

“Itulah kamu. Lain kali jangan buat macam itu lagi. Mengikut pantang larang nenek moyang kita, sesiapa yang mentertawakan atau merendah-rendahkan makhluk halus seperti beneng dan makhluk kecil yang lain, nescaya ia akan mendatangkan malapetaka. Ruma’ kadang yang kita diami boleh didatangi hujan batu, air bah ataupun ribut taufan. Yang lebih menakutkan lagi, penghuni-penghuni ruma’ kadang kita boleh bertukar menjadi batu” kata Tubeh menjelaskan akibat perbuatan mereka itu tadi

(Anak Ruma’ Kadang; halaman 84)

Kepercayaan tentang pantang larang di hutan dan di sungai turut terdapat dalam novel ini. Cukup menarik diketahui sebagai mengenali kepercayaan masyarakat orang lain. Pengisahan ini terdapat dalam halaman 93 hingga halaman 96. Pantang larang menunjuk pelangi dengan menggunakan jari telunjuk juga diceritakan pada halaman 97. Kepercayaan tersebut menjadi sebagai pengikat budaya mendisiplinkan masyarakatnya.
Mohd. Faizal juga membuat perbandingan tentang persamaan dan kelainan masyarakat Melayu dan masyarakat Lun Bawang. Perbandingan ini dibuat bagi memberi tafsiran rumpun yang sama dan dibezakan oleh sedikit pengaruh mitos dan anutan. Namun dari segi konsep sambutan dan perayaan, khususnya majlis perkahwinan, Mohd. Faizal memperjelaskannya secara langsung tanpa membuat secara rinci.
Uniknya, majlis kenduri yang diadakan masyarakat Melayu mempunyai sedikit persamaan dengan majlis irau aweh yang diadakan di ruma’ kadang. Cuma upacara akad nikahnya saja yang berbeza.

(Anak Ruma’ Kadang; halaman 207)

Pesta Lun Bawang yang merupakan pesta tradisi masyarakat Lun Bawang diadakan sempena Hari Gawai Dayak. Pesta ini diadakan di Lawas, kawasan utara Sarawak. Dalam novel ini, Mohd. Faizal memberi gambaran umum tentang pesta ini, Walaupun demikian, pengarang ini juga mengemukakan legenda Lun Bawang yang memungkinkan pesta ini diadakan.

Menurut legenda Lun Bawang, Diri Ulung didirikan selepas seorang pahlawan mencatat kemenangan dalam peperangan. Setelah semuanya didirikan, sekumpul orang akan berarak mengelilinginya sambil menyanyi ukui yang bertujuan merayakan serta memuji pahlawan berkenaan.

(Anak Ruma’ Kadang; halaman 329)



Anak Ruma’ Kadang secara umumnya merupakan sebuah novel penuh citra budaya masyarakat Lun Bawang. Novel ini menjadi cukup bermakna dalam arus sastera Sarawak kerana, novel inilah yang pertama mengemukakan masyarakat Lun Bawang, selaku masyarakat minoriti. Walaupun sudut pandangan dalam novel ini daripada seorang pengarang berbangsa Melayu, namun pegangan Mohd. Faizal iaitu buku Masyarakat Lun Bawang telah mampu memberi nilai makna yang sebenar tentang budaya masyarakat Lun Bawang.
Penelitian ini sekadar melihat asas budaya yang mampu mengisi tuntutan teori studi budaya. Namun, novel ini mempunyai dimensi yang berbeza sekiranya diteliti melalui sudut teori yang lain. Sememangnya, pembicaraan buku ini hanya mengambil kira beberapa hal tentang budaya masyarakat Lun Bawang. Sedangkan 70 peratus novel ini amat berjaya memaparkan panorama serta keunikan masyarakat dari kaca mata sastera.
Sesungguhnya novel Anak Ruma’ Kadang, karya Mohd. Faizal Jamil mengisi khazanah sastera Sarawak dengan cukup makna. Kerana, kemunculan novel ini akan memperkayakan “novel budaya” selain, novel Kelingang, Ngoncong, Pindah, Melati Sarawak, Ngesap dan sebagainya. Barangkali selepas ini ada kajian yang akan memaktubkan bahawa novel budaya telah bertapak murni di bumi Kenyalang ini.

Thursday, September 18, 2008

RESENSI RASA

CINTA PELAKAR KATA


Bagaimana dapat aku nyatakan
keresahan yang panjang
merantai dengan keluh yang ampuh
hingga menjerut aku tanpa nafas,

Aku jadi kelu mentafsir
tawamu yang hilang
dalam derai hujan semalam
lalu aku kedinginan
menghitung detik kenangan
yang semakin kaku.

Aku sedar,
rasa ini
hanya dari
seorang pelakar kata
dalam kecintaan
yang telah padam!

ja'afar hamdan

Thursday, September 11, 2008

SANTAPAN RASA

MEMBACA ANTOLOGI PUISI
“PENANGKAP RAMA-RAMA DAN KELAWAR”
DARI NAZRAH TEORI ESTIM

PENDAHULUAN

Kejayaan apa pun bergantung pada dua jenis faktor, yakni faktor dalaman dan juga faktor luaran. Antara kedua-duanya, faktor dalaman memainkan peranan lebih besar menentukan kejayaan. Kita sebagai manusia mempunyai kedua-dua faktor ini. Cuma sejauh mana kita memahami nilai diri kita yang membezakan kita dengan orang lain. Pakar psikologi menjelaskan bahawa nilai diri kita sebagai konsep diri yang akan menentukan siapa kita dan bagaimana jadinya kita.
Sebagai contoh, bagaimana seseorang itu melihat realiti menentukan sikap dan tingkah lakunya, langsung juga nasibnya. Pada realitinya setiap orang itu diberi peluang berjaya oleh Tuhan tetapi bagi sesetengah individu dia melihat dirinya tidak mungkin berjaya maka itulah yang bakal dialaminya. Justeru apa yang difikirkan dan dirasakan oleh seseorang itu berkenaan dirinya amat menentukan nasib dirinya. Fikiran dan perasaannya pada hari ini dapat meramalkan apa yang dia berani lakukan ataupun tidak berani dilakukan pada masa depan.
Individu yang menganggap dirinya orang yang berjaya cenderung memilih aktiviti yang membawa kejayaan kepada dirinya. Sebaliknya juga berlaku, di mana individu yang tidak menghormati dirinya sendiri cenderung melibatkan diri dengan aktiviti yang merugikannya sendiri.



TEORI ESTIM

Menurut Ainon Mohd. (2003) konsep “estim” di Barat banyak persamaan dengan konsep “maruah” dalam psikologi orang Melayu. Maka, teori estim dikaitkan dengan ciri-ciri tingkah laku yang menjadi sebahagian daripadanya iaitu;
a. Menghargai diri sendiri
b. Menganggap diri sendiri sesuatu yang penting
c. Sanggup bertanggungjawab atas tingkah laku dan perbuatan sendiri
d. Menganggap orang lain mulia dan berinteraksi dengan mereka itu dengan cara-cara yang memuliakan mereka.
Estim ialah perasaan yang dirasai berkenaan nilai diri sendiri. Sisi yang lain estim menjawab pertanyaan. Adakah anda seronok dengan keadaan diri anda sekarang? Maka tidak hairanlah apabila individu-individu yang berjaya berasa seronok dengan keadaan diri mereka. Estim ialah sebahagian daripada unsur dalam konsep diri, di mana estim adalah bahagian yang menilai diri sendiri. Estim mempunyai kaitan yang amat kuat dengan keyakinan diri dan kejayaan..
Di pandang sudut yang lain, estim ialah sejauh mana seseorang itu menyukai dirinya sendiri. Estim dikatakan rendah apabila dia tidak berapa suka pada dirinya manakala estim tinggi apabila dia seronok menjadi dirinya. Estim ialah penilaian yang menyeluruh ke atas diri sendiri. Ia adalah gabungan antara konsep diri seseorang dengan semua dirinya yang mungkin. Ada pakar-pakar psikologi yang mengatakan estim ialah sejauh mana seseorang itu menerima diri kita sendiri sebagaimana yang sebenarnya (Ainon;31)
Maksudnya dapatkah seseorang itu menerima bahawa dia mempunyai ciri-ciri yang istimewa pada dirinya dan juga ciri-ciri yang tidak istimewa? Dia juga menerima bahawa dia bukan hanya sudah banyak melakukan perkara baik dan bijaksana tetapi juga pernah melakukan perkara-perkara yang bodoh dan tidak bijaksana. Dia dapat mengakui ada masanya dia berjaya, tetapi ada masanya dia gagal kerana tersilap.
Menurut Edward (1999) estim mempunyai kaitan dengan sejauh mana seseorang itu menghargai dirinya sendiri. Estim juga memberitahu sejauh mana seseorang itu berasa dirinya seorang yang baik dan berguna tanpa mengira apa yang sudah berlaku pada dirinya selama ini.
ANTOLOGI “PENANGKAP RAMA-RAMA DAN KELAWAR”

Sekadar untuk renungan bersama, mari kita sama-sama perhatikan puisi Abizai bertajuk Penangkap Rama-Rama dan Kelawar yang menjadi judul antologi puisi sempena Ulang Tahun ke- 25 PUTERA.
Engkau menangkap rama-rama
dan masukkannya ke dalam botol
di alam botol
rama-rama terus bernyawa
membina taman dengan warna
menumbuhkan ceria di kelopak bunga
aku melihatnya
tiba-tiba dihembus angin ria
yang menggetarkan daun rasa

engkau menangkap kelawar
dan memasukkannya ke dalam sangkar
di negeri sangkar
kelawar tetap bernafas
mempamerkan isi gua
yang pekat dengan kegelapan
aku yang menyaksikan
mendadak ditawan dinding sepi
yang tidak bertepi

Abizai ternyata berjaya menimbulkan kesan estim dalam pengutaraan lambang puisinya. Perhatikan lambang rama-rama sebagai manusia yang terus mampu bernyawa membina taman dalam sekitarnya dengan warna yang menumbuhkan ceria di setiap kelopak bunga walaupun hanya dalam sebuah botol. Kalau di tafsir secara selapis ternyata lambang botol sebagai satu konsep di mana sebuah ruang yang kosong bagi seseorang yang mengalaminya. Tetapi tidak bagi seekor “rama-rama” yang mempunyai daya estim yang tinggi, kekosongan itu mampu ditanganinya dengan nilai diri.
Rama-rama yang kita kenali sebagai serangga yang sentiasa bebas mencari kilauan warna dan bunga mampu “menghidupkan” dirinya dalam sebuah botol yang kosong tanpa ada apa-apa. Ini tentu memerlukan kekuatan dalaman. Walaupun puisi ini meletakkan perlambangan sebagai hujah ideanya, tetapi Abizai secara tidak langsung mengutarakan satu konsep diri dalam lambang puisinya dan realiti kehidupan.
Bagi konsep lambang kelawar yang terpaksa menemui dunia baru dalam sebuah sangkar yang pasti bukan dunia kebiasaannya kerana dunia kelawar adalah dalam kegelapan. Kelawar telah diberi peluang menyaksikan sekitar yang cerah dan terbuka walaupun di dalam sangkar namun kelawar menjadikan sangkar sebagai isi gua, maka Abizai memungkinkan bahawa kebiasaan yang menjadi kehidupan kelawar tidak mampu mengiringi perubahan sehingga Abizai mengungkapkan;
mendadak ditawan dinding sepi
yang tidak bertepi

Membaca antologi ini, saya cuba meneliti beberapa buah puisi yang saya kira dapat diangkat bagi memperlihatkan kaitan teori estim dengan luahan pemikiran dan perasaan penyair dalam puisi mereka. Hayati puisi Abizai berjudul Selamat Berangkat Sahabat pada rangkap berikut;

terima kasih
kerana rela bersama bersusah
menjaga halaman dan isi rumah
sehingga rapi dan indah

terima kasih
kerana sudi menjadi ranting dan daun
yang merimbunkan akrab persahabatan
yang terlalu mahal untuk dijual
yang terlalu suci untuk dibeli

Kesan kerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain mampu menjadi jejak kejayaan terhadap sesuatu yang kita lakukan. Kerjasama ini bukan hanya terbentuk dalam suasana yang nyaman tetapi ada kalanya amat memeritkan. Ini penting bagi kita menilai diri kita untuk menjadi seorang yang berani dengan keadaan. Hayati puisi Adi Badiozaman Tuah dalam puisinya yang bertajuk Lagu Musim Gugur dalam rangkap ketiga;
keberanian untuk merelakan satu perjalanan
dan kesediaan untuk mengizinkan satu perpisahan
atau kesanggupan untuk melepaskan satu pemergiaan
adalah satu ujian kekuatan diri dan kemanusiaan
menerima hakikat dan lumrah hidup
erti sebuah pasrah dan penyerahan

Sesungguhnya untuk berjaya bukan semudah yang kita sasarkan. Perlu banyak perjalanan yang kita lakukan demi mematangkan pengalaman. Kita wajar bersedia dengan segala ujian. Kita harus bertindak dengan akal kebenaran. Sekiranya kita gagal atau terjerumus dalam kancah yang mengundang gagal, maka kita wajar bertindak dengan kesedaran yang utuh. Ini disentuh oleh Basri Abdillah dalam puisi Secangkir Dosa. Antara penegasan yang mampu membina estim dirinya ialah

kucari Kau di padang ibadat
kucari Kau di gurun ilmu
mabuklah aku dengan asyik
Kau dalam cangkir dosa

Memang tidak dinafikan bahawa kita mudah tertipu dengan keadaan. Kita terpesona oleh sesuatu yang menarik walhal kita sebenarnya tidak menilai diri kita dengan keadaan. Justeru kita menjadi agak negatif dalam menerima perubahan. Sehingga kita sanggup merombak habis-habisan yang cukup baik dalam diri kita. Cuba kita hayati rangkap akhir puisi David Bululok yang berjudul Pusaka Yang Hilang.
esok anak cucu kita
akan cuma menghitung manik busana
hiasan pusaka yang hilang
kerana kita taksub
dengan perubahan
yang melenyapkan segala-galanya

Sebagai seorang insan kita perlu melihat dalam diri kita bahawa kita mempunyai kekuatan diri. Kekuatan yang mendorong kita berfikir. Kekuatan yang mendorong kita bertindak. Sekiranya kita mengabaikan kekuatan yang ada dalam diri kita, ia akan menjadi sesuatu yang mengundang masalah dalam diri. Maka, estim menunjangi kekuatan diri kita agar menghargai siapa kita. Jaya Ramba dalam puisinya berjudul DI Dalam Diri mengungkap “kedalaman” dirinya hingga menemui kesan yang menjadi hambatan dalam dirinya. Hayati rangkap pertamanya;
Di dalam diri
ada palitan pedih
calar, luka
satu gedung resah

Estim yang menjadi nadi dalam diri kita untuk mencorakkan siapa kita. Kita perlu mengenali diri kita. Persoalan diri tentang apa yang mampu kita sumbang dan apakah yang mampu kita beri, harus kita jelmakan dengan akal dan tindak yang kita cetuskan dari nilai diri kita. Sebagai renungan serta kita hayati bersama, cuba perhatikan puisi Morsaline Wasli yang cukup ringkas tetapi meletakkan estim diri dalam kehidupan ini berjudul Pencarian.
Telah kutemui
lorong benar kehidupan
dalam ruang diri
dari makna fikir dan yakin diri

PENUTUP

Salah satu sifat semula jadi manusia adalah, manusia suka menyangka dirinya lebih hebat daripada hal yang sebenarnya. Lazimnya seseorang itu percaya dia lebih baik daripada orang, lebih pandai daripada orang lain, dia lebih teruk bekerja daripada orang lain. Lebih banyak berusaha, lebih banyak berkorban dan bermacam-macam-macam lagi dibandingkan dengan orang lain.
Sebagai contoh, ahli-ahli persatuan selalu mendakwa masing-masing memberi lebih banyak sumbangan dan pengorbanan daripada apa yang sebenarnya sumbangkan d ataupun korbankan. Si Pengerusi mendakwa dia membuat lebih banyak kerja, manakala si setiausaha pun mendakwa perkara yang sama.
Hal ini terjadi disebabkan oleh cara bagaimana kita merekodkan perkara yang kita lakukan. Kita lebih mengingati apa yang kita lakukan dan kita tidak ingat apa yang orang lakukan. Justeru sebagai penulis kita perlu mempunyai nilai estim yang tinggi agar segala bentuk cernaan atau garapan pemikiran serta perasaan kita terserlah nilai yang mampu menggambarkan diri kita dan juga perjuangan kita. Mungkin kita wajar menjadi rama-rama yang tetap mewarnakan kehidupan kita walaupun tertindas atau menjadikan teladan tentang kelawar yang masih merindukan kegelapan sekalipun mempunyai ruang yang cerah kerana terperangkap dalam sangkar yang mewah. Wallahualam