Sememangnya sukar untuk kita menerima sesuatu yang menyakitkan. Atau sesuatu dalam keadaan kekalahan. Atau juga sesuatu yang bukan memenuhi kemahuan kita. Itu lumrah sebagai manusia biasa. Sudah sifatnya. Jelas, bukannya semua sanggup menerima hal-hal yang “tidak baik” ini dengan fikiran terbuka. Kalau ada pun, masih juga terasa rungut resah dalam hati. Setidak-tidaknya meracau-racau dalam benak pemikiran. Mengapa ya?
Apakah kita masih berpijak di atas asas yang masih kabur. Penuh sangsi. Belum lagi padat dengan kepercayaan yang mutlak. Ataupun kita masih mahu mencari sesuatu yang telah terang dan terpapar jelas di depan kita. Atau juga sengaja menyembunyikan kebenaran kerana khuatir dengan penghalang serta hambatan yang berterusan. Atau juga sengaja menduga-duga tafsiran lain?
Persoalan demi persoalan akan sentiasa muncul dengan seribu jawapan. Jawapan demi jawapan pasti diketengahkan. Tetapi tidak semuanya membawa kita ke arah satu arah yang telus dan benar. Sudah acap kali kita diingatkan dengan pelbagai bentuk ancaman. Sama ada di dalam diri kita. Atau pun bersebelahan kita. Atau sama ada dalam luaran rasa kita ataupun juga dalaman rasa kita. Mengapa ya?
Mungkinkah kita tidak pernah menilai tentang usia kita? Atau, kita sudah tidak lagi mahu memahami setiap detik yang kita lalui itu adalah detik yang menghitung hari-hari kita, menghampiri perhentian yang abadi? Atau, adakah kita sememangnya terlupa dengan tarik hembus nafas kita adalah satu nikmat yang dalam sekelip mata mampu diberhentikan dengan kehendak-Nya?
Hal-hal begini, bukan semudahnya untuk kita perkatakan dengan langsung. Mungkin akan ada pertimbangan-pertimbangan lain yang lebih wajar kita perbincangan. Tetapi soal asas tentang diri kita wajar juga diberi pemberat untuk diperkatakan dengan penuh rasa kesedaran. Kalau tidak, kita akan sentiasa dibawa hanyut dalam kehidupan yang serba indah ini.
Dalam hal ini, sengaja diperkatakan tentang prinsip diri kita yang tidak pernah puas. Dalam segala aspek, tanpa kita sedar atau tidak, ya berlaku. Cuma dalam situasi dan keadaan yang berbeza. Mungkin ada yang sukar memahaminya, kerana soal diri, kadang-kadang kita sukar menilainya. Bukan kerana tidak mahu, tetapi “prinsip” yang dipertahankan, telah menunaskan sifat bangga diri. Begitu juga dengan sifat tuduh menuduh, menyatakan orang lain yang bersalah dan mendabik dada tentang diri yang benar menjadi begitu biasa menular dalam diri kita. Mengapa ya?
Begitu juga soalnya untuk memperkatakan sesuatu yang berkaitan dengan diri dan persekitaran. Bukan semudah yang mampu kita ungkap hanya dengan bahasa yang biasa. Salah tafsir, mengundang seribu persoalan lain. Justeru, untuk memperkatakan hal-hal yang barangkali mampu menyakiti hati seseorang, kita memerlukan ungkapan yang seadanya serta berkias, yang barangkali lebih memaparkan hal-hal tersirat, tanpa menyembunyikan hal-hal yang tersurat agar tidak menimbulkan kemungkinan-kemungkinan lain.
Walaupun sedemikian usaha kita, tidak mustahil perbezaan dalam mentafsir sesuatu tetap juga berlaku. Pertamanya, disebabkan latar belakang pengalaman. Keduanya disebabkan latar pendidikan dan ketiganya disebabkan latar persekitaran. Ketiga-tiga faktor ini mempengaruhi corak berfikir, bentuk tindakan dan hasrat kita. Kalau sesuatu yang kita lihat positif dengan tafsiran negatif, maka negatiflah jadinya. Begitu juga sebaliknya, kalau hal-hal negatif kita tafsirkan menjadi positif, maka positiflah jadinya. Mengapa ya?
Justeru, terpulang kepada diri kita untuk menentukan pilihan kita. Kebijaksanaan itu terletak dalam diri kita. Kearifan itu ada dalam diri kita. Oleh yang demikian, kita harus menyedari di mana kita wajar menimbulkan persoalan dan bagaimana pula untuk kita memberi jawapan. Ini semuanya saling kait mengait. Saling hubung menghubung. Saling paut memaut. Apatah lagi dalam aspek kehidupan kita ini. Perlu memerlukan antara satu sama lain amat diberatkan pelaksanaannya. Namun, dalam arus yang serba moden kini, kita lebih suka memilih jalan yang mampu mencerna diri kita sendiri, tanpa mempedulikan orang lain.
Walauapun demikian, dalam soal hukum, jelas kita tidak harus melakukan manupulasi keadaan. Yang benar tetap benar. Yang salah tetap salah. Yang haram tetap haram. Yang halal tetap halal. Tidak ada pun dalam hal hukum ini mampu diubahsuai dengan zaman. Pentafsiran yang sedemikian, seharusnya melalui penelitian yang cukup rinci dengan penglibatan pakar yang benar-benar boleh dipercayai. Sekiranya ada yang sengaja merungkai persoalan hukum dengan pentafsiran logik semata-mata, maka hal yang sedemikian mengundang kehancuran yang maha ngeri.
Bukan kerana nilai dan harga diri sahaja telah dicemarkan dengan keperluan semasa tetapi juga soal akidah, soal kepercayaan dan soal pengabdian terhadap yang hak. Apakah kita sanggup memisahkan yang benar, semata-mata memenuhi tuntutan kehidupan yang sementara ini? Atau, haruskah kita menerima yang salah, kerana mengisi ruang kita yang sentiasa tidak pernah mengenal erti cukup? Soalnya mengapa ya? Wallahualam.
Sunday, October 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment