MEMBACA ANTOLOGI PUISI
“PENANGKAP RAMA-RAMA DAN KELAWAR”
DARI NAZRAH TEORI ESTIM
PENDAHULUAN
Kejayaan apa pun bergantung pada dua jenis faktor, yakni faktor dalaman dan juga faktor luaran. Antara kedua-duanya, faktor dalaman memainkan peranan lebih besar menentukan kejayaan. Kita sebagai manusia mempunyai kedua-dua faktor ini. Cuma sejauh mana kita memahami nilai diri kita yang membezakan kita dengan orang lain. Pakar psikologi menjelaskan bahawa nilai diri kita sebagai konsep diri yang akan menentukan siapa kita dan bagaimana jadinya kita.
Sebagai contoh, bagaimana seseorang itu melihat realiti menentukan sikap dan tingkah lakunya, langsung juga nasibnya. Pada realitinya setiap orang itu diberi peluang berjaya oleh Tuhan tetapi bagi sesetengah individu dia melihat dirinya tidak mungkin berjaya maka itulah yang bakal dialaminya. Justeru apa yang difikirkan dan dirasakan oleh seseorang itu berkenaan dirinya amat menentukan nasib dirinya. Fikiran dan perasaannya pada hari ini dapat meramalkan apa yang dia berani lakukan ataupun tidak berani dilakukan pada masa depan.
Individu yang menganggap dirinya orang yang berjaya cenderung memilih aktiviti yang membawa kejayaan kepada dirinya. Sebaliknya juga berlaku, di mana individu yang tidak menghormati dirinya sendiri cenderung melibatkan diri dengan aktiviti yang merugikannya sendiri.
TEORI ESTIM
Menurut Ainon Mohd. (2003) konsep “estim” di Barat banyak persamaan dengan konsep “maruah” dalam psikologi orang Melayu. Maka, teori estim dikaitkan dengan ciri-ciri tingkah laku yang menjadi sebahagian daripadanya iaitu;
a. Menghargai diri sendiri
b. Menganggap diri sendiri sesuatu yang penting
c. Sanggup bertanggungjawab atas tingkah laku dan perbuatan sendiri
d. Menganggap orang lain mulia dan berinteraksi dengan mereka itu dengan cara-cara yang memuliakan mereka.
Estim ialah perasaan yang dirasai berkenaan nilai diri sendiri. Sisi yang lain estim menjawab pertanyaan. Adakah anda seronok dengan keadaan diri anda sekarang? Maka tidak hairanlah apabila individu-individu yang berjaya berasa seronok dengan keadaan diri mereka. Estim ialah sebahagian daripada unsur dalam konsep diri, di mana estim adalah bahagian yang menilai diri sendiri. Estim mempunyai kaitan yang amat kuat dengan keyakinan diri dan kejayaan..
Di pandang sudut yang lain, estim ialah sejauh mana seseorang itu menyukai dirinya sendiri. Estim dikatakan rendah apabila dia tidak berapa suka pada dirinya manakala estim tinggi apabila dia seronok menjadi dirinya. Estim ialah penilaian yang menyeluruh ke atas diri sendiri. Ia adalah gabungan antara konsep diri seseorang dengan semua dirinya yang mungkin. Ada pakar-pakar psikologi yang mengatakan estim ialah sejauh mana seseorang itu menerima diri kita sendiri sebagaimana yang sebenarnya (Ainon;31)
Maksudnya dapatkah seseorang itu menerima bahawa dia mempunyai ciri-ciri yang istimewa pada dirinya dan juga ciri-ciri yang tidak istimewa? Dia juga menerima bahawa dia bukan hanya sudah banyak melakukan perkara baik dan bijaksana tetapi juga pernah melakukan perkara-perkara yang bodoh dan tidak bijaksana. Dia dapat mengakui ada masanya dia berjaya, tetapi ada masanya dia gagal kerana tersilap.
Menurut Edward (1999) estim mempunyai kaitan dengan sejauh mana seseorang itu menghargai dirinya sendiri. Estim juga memberitahu sejauh mana seseorang itu berasa dirinya seorang yang baik dan berguna tanpa mengira apa yang sudah berlaku pada dirinya selama ini.
ANTOLOGI “PENANGKAP RAMA-RAMA DAN KELAWAR”
Sekadar untuk renungan bersama, mari kita sama-sama perhatikan puisi Abizai bertajuk Penangkap Rama-Rama dan Kelawar yang menjadi judul antologi puisi sempena Ulang Tahun ke- 25 PUTERA.
Engkau menangkap rama-rama
dan masukkannya ke dalam botol
di alam botol
rama-rama terus bernyawa
membina taman dengan warna
menumbuhkan ceria di kelopak bunga
aku melihatnya
tiba-tiba dihembus angin ria
yang menggetarkan daun rasa
engkau menangkap kelawar
dan memasukkannya ke dalam sangkar
di negeri sangkar
kelawar tetap bernafas
mempamerkan isi gua
yang pekat dengan kegelapan
aku yang menyaksikan
mendadak ditawan dinding sepi
yang tidak bertepi
Abizai ternyata berjaya menimbulkan kesan estim dalam pengutaraan lambang puisinya. Perhatikan lambang rama-rama sebagai manusia yang terus mampu bernyawa membina taman dalam sekitarnya dengan warna yang menumbuhkan ceria di setiap kelopak bunga walaupun hanya dalam sebuah botol. Kalau di tafsir secara selapis ternyata lambang botol sebagai satu konsep di mana sebuah ruang yang kosong bagi seseorang yang mengalaminya. Tetapi tidak bagi seekor “rama-rama” yang mempunyai daya estim yang tinggi, kekosongan itu mampu ditanganinya dengan nilai diri.
Rama-rama yang kita kenali sebagai serangga yang sentiasa bebas mencari kilauan warna dan bunga mampu “menghidupkan” dirinya dalam sebuah botol yang kosong tanpa ada apa-apa. Ini tentu memerlukan kekuatan dalaman. Walaupun puisi ini meletakkan perlambangan sebagai hujah ideanya, tetapi Abizai secara tidak langsung mengutarakan satu konsep diri dalam lambang puisinya dan realiti kehidupan.
Bagi konsep lambang kelawar yang terpaksa menemui dunia baru dalam sebuah sangkar yang pasti bukan dunia kebiasaannya kerana dunia kelawar adalah dalam kegelapan. Kelawar telah diberi peluang menyaksikan sekitar yang cerah dan terbuka walaupun di dalam sangkar namun kelawar menjadikan sangkar sebagai isi gua, maka Abizai memungkinkan bahawa kebiasaan yang menjadi kehidupan kelawar tidak mampu mengiringi perubahan sehingga Abizai mengungkapkan;
mendadak ditawan dinding sepi
yang tidak bertepi
Membaca antologi ini, saya cuba meneliti beberapa buah puisi yang saya kira dapat diangkat bagi memperlihatkan kaitan teori estim dengan luahan pemikiran dan perasaan penyair dalam puisi mereka. Hayati puisi Abizai berjudul Selamat Berangkat Sahabat pada rangkap berikut;
terima kasih
kerana rela bersama bersusah
menjaga halaman dan isi rumah
sehingga rapi dan indah
terima kasih
kerana sudi menjadi ranting dan daun
yang merimbunkan akrab persahabatan
yang terlalu mahal untuk dijual
yang terlalu suci untuk dibeli
Kesan kerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain mampu menjadi jejak kejayaan terhadap sesuatu yang kita lakukan. Kerjasama ini bukan hanya terbentuk dalam suasana yang nyaman tetapi ada kalanya amat memeritkan. Ini penting bagi kita menilai diri kita untuk menjadi seorang yang berani dengan keadaan. Hayati puisi Adi Badiozaman Tuah dalam puisinya yang bertajuk Lagu Musim Gugur dalam rangkap ketiga;
keberanian untuk merelakan satu perjalanan
dan kesediaan untuk mengizinkan satu perpisahan
atau kesanggupan untuk melepaskan satu pemergiaan
adalah satu ujian kekuatan diri dan kemanusiaan
menerima hakikat dan lumrah hidup
erti sebuah pasrah dan penyerahan
Sesungguhnya untuk berjaya bukan semudah yang kita sasarkan. Perlu banyak perjalanan yang kita lakukan demi mematangkan pengalaman. Kita wajar bersedia dengan segala ujian. Kita harus bertindak dengan akal kebenaran. Sekiranya kita gagal atau terjerumus dalam kancah yang mengundang gagal, maka kita wajar bertindak dengan kesedaran yang utuh. Ini disentuh oleh Basri Abdillah dalam puisi Secangkir Dosa. Antara penegasan yang mampu membina estim dirinya ialah
kucari Kau di padang ibadat
kucari Kau di gurun ilmu
mabuklah aku dengan asyik
Kau dalam cangkir dosa
Memang tidak dinafikan bahawa kita mudah tertipu dengan keadaan. Kita terpesona oleh sesuatu yang menarik walhal kita sebenarnya tidak menilai diri kita dengan keadaan. Justeru kita menjadi agak negatif dalam menerima perubahan. Sehingga kita sanggup merombak habis-habisan yang cukup baik dalam diri kita. Cuba kita hayati rangkap akhir puisi David Bululok yang berjudul Pusaka Yang Hilang.
esok anak cucu kita
akan cuma menghitung manik busana
hiasan pusaka yang hilang
kerana kita taksub
dengan perubahan
yang melenyapkan segala-galanya
Sebagai seorang insan kita perlu melihat dalam diri kita bahawa kita mempunyai kekuatan diri. Kekuatan yang mendorong kita berfikir. Kekuatan yang mendorong kita bertindak. Sekiranya kita mengabaikan kekuatan yang ada dalam diri kita, ia akan menjadi sesuatu yang mengundang masalah dalam diri. Maka, estim menunjangi kekuatan diri kita agar menghargai siapa kita. Jaya Ramba dalam puisinya berjudul DI Dalam Diri mengungkap “kedalaman” dirinya hingga menemui kesan yang menjadi hambatan dalam dirinya. Hayati rangkap pertamanya;
Di dalam diri
ada palitan pedih
calar, luka
satu gedung resah
Estim yang menjadi nadi dalam diri kita untuk mencorakkan siapa kita. Kita perlu mengenali diri kita. Persoalan diri tentang apa yang mampu kita sumbang dan apakah yang mampu kita beri, harus kita jelmakan dengan akal dan tindak yang kita cetuskan dari nilai diri kita. Sebagai renungan serta kita hayati bersama, cuba perhatikan puisi Morsaline Wasli yang cukup ringkas tetapi meletakkan estim diri dalam kehidupan ini berjudul Pencarian.
Telah kutemui
lorong benar kehidupan
dalam ruang diri
dari makna fikir dan yakin diri
PENUTUP
Salah satu sifat semula jadi manusia adalah, manusia suka menyangka dirinya lebih hebat daripada hal yang sebenarnya. Lazimnya seseorang itu percaya dia lebih baik daripada orang, lebih pandai daripada orang lain, dia lebih teruk bekerja daripada orang lain. Lebih banyak berusaha, lebih banyak berkorban dan bermacam-macam-macam lagi dibandingkan dengan orang lain.
Sebagai contoh, ahli-ahli persatuan selalu mendakwa masing-masing memberi lebih banyak sumbangan dan pengorbanan daripada apa yang sebenarnya sumbangkan d ataupun korbankan. Si Pengerusi mendakwa dia membuat lebih banyak kerja, manakala si setiausaha pun mendakwa perkara yang sama.
Hal ini terjadi disebabkan oleh cara bagaimana kita merekodkan perkara yang kita lakukan. Kita lebih mengingati apa yang kita lakukan dan kita tidak ingat apa yang orang lakukan. Justeru sebagai penulis kita perlu mempunyai nilai estim yang tinggi agar segala bentuk cernaan atau garapan pemikiran serta perasaan kita terserlah nilai yang mampu menggambarkan diri kita dan juga perjuangan kita. Mungkin kita wajar menjadi rama-rama yang tetap mewarnakan kehidupan kita walaupun tertindas atau menjadikan teladan tentang kelawar yang masih merindukan kegelapan sekalipun mempunyai ruang yang cerah kerana terperangkap dalam sangkar yang mewah. Wallahualam
Thursday, September 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment