Sunday, April 27, 2008

Sastera Kita

SASTERA TULEN DAN SASTERA SOSIAL?
oleh: Ja’afar Haji Hamdan


Barangkali, isu yang hendak diperkatakan ini sudah pun dibincangkan pada masa lalu. Atau mungkin juga sudah menjadi bahan omong-omongan di mana-mana, khususnya di kalangan karyawan, seniman dan budayawan. Memang diakui, sukar untuk menjelaskan secara rinci apakah rasionalnya atau kewajarannya, dibangkitkan terma pemikiran melalui isu sebegini. Apatah lagi, sastera ditanggapi, seakan bukan satu disiplin yang mampu menyumbang dalam pembangunan negara.
Berlainan dengan sains, yang dianggap sebagai nadi pembangunan, yang mencetus revolusi teknologi, mewujudkan sistem kecanggihan dan membina tata kecekapan. Justeru, sains tulen mengemukakan teori keperkasaan dari segi pembuatan, pembangunan fizikal dan kehebatan prasarana bagi urusan perjalanan kehidupan. Sains sosial pula, mencari jalinan logik di sebalik kelakuan, kejadian dan alun persekitaran yang mendominasi kehidupan. Maka, di mana peranan sastera sebagai disiplin memanusiakan manusia itu dapat dirasionalkan kewujudannya pada era kini?
Barangkali juga, isu ini dianggap satu bebelan yang sengaja mengemukakan ruang sinis atau mungkin dianggap sengaja mengada-gada polimek bagi sesetengah insan yang bergelar karyawan. Tetapi kalau didalami kehendak dan tujuan, pasti isu ini memberi satu korpus baru dalam penilaian kita bersama terhadap perkembangan sastera. Namun, hal pertama yang harus kita lakukan adalah untuk bersama-sama mencari permulaan isu ini untuk diperbincangkan dalam korpus yang jelas dan teratur.
Sastera tulen dalam konteks yang sedia kita maklum adalah sastera yang dasar. Sastera dalam falsafah keindahan. Sebagai lakaran dan kutipan zaman. Mengemukakan nilai kemanusiaan yang hak. Mencorak realiti dalam tenunan imaginasi seperti yang diimpikan atau yang sebenarnya wajar dilakukan. Membangun dengan suasana subjektif yang penuh nilai. Membina ketamadunan pemikiran berdasarkan zaman dan yang ada kalanya mampu menembusi masa depan sehingga menyerlahkan peradapan.
Bagaimana pula sastera sosial? Barangkali kita wajar kembali meneliti isu “seni untuk seni” dan “seni untuk masyarakat” sewaktu dipolimekkan dahulu. Akhirnya, kita memilih “seni untuk masyarakat”. Kenapa? Sudah tentu ada rasionalnya. Bagi yang tidak mengetahuinya, kenalah membaca perihal Asas 50. Sejarah sastera cukup penting untuk kita melihat jalur perkembangannya.
Atau juga, disiplin sastera tidak wajar dipecahkan menjadi tulen dan sosial. Bahkan ada di kalangan sarjana yang menegaskan bahasa sastera ada dalam semua disiplin ilmu lain. Lantaran sastera boleh berdiri sama ada dalam disiplin ilmunya sendiri ataupun dalam disiplin ilmu lain. Hal ini, tentu sekali mampu menjadi satu peluang untuk diperdebatkan!
Barangkali, sastera sosial boleh dilihat dari sudut pembinaan kreativiti. Sisi pemikiran yang memerlukan tanggapan yang tepat dalam kesubjektifan yang wujud. Kalau dalam sains, perlu ada keobjektifan yang benar, maka dalam sastera itu perlu ada keobjektifan yang telus hasil kesubjektifan yang tepat. Sebagai contoh, sains melahirkan bom sebagai alat mempertahankan negara, tetapi sastera melihat bom bukan sahaja mempertahankan negara tetapi juga memusnahkan negara. Lalu, mana yang lebih objektif, kebenaran yang logik atau kebenaran yang murni atau telus?
Menurut Teresa Amabile dalam bukunya Breakthrough Thinking, kreativiti ialah proses yang bersifat asli, baru difikirkan dan dalam sesetengah keadaan ia berguna. Mike Vance dalam bukunya Break Out of The Book, menjelaskan bahawa kreativiti ialah menghasilkan sesuatu yang baru dan menyusun semula sesuatu yang lama. Secara umum, kalau kita rumuskan ketiga-tiga pendapat ini, kreativiti adalah pemikiran yang ditentukan oleh pola pemikiran yang asli, bersifat baru dengan membuat penambahbaikan tentang yang lama melalui pemikiran yang orang lain tidak pernah memikirkannya.
Berdasarkan kenyataan di atas, ada tiga elemen yang wajar menjadi isi perbincangan. Pertama, pemikiran yang asli. Kedua, pemikiran yang baharu dan ketiga, pemikiran ke arah membuat penambahbaikan. Seandainya sastera sosial diteliti melalui pembinaan kreativiti, jelas bahawa pemikiran yang asli harus dibangunkan dengan hak pencipta. Kalau seorang Islam, maka Al-Quran dan hadis menjadi nilai keaslian mereka. Tidak ada tolak ansur dalam hal ini dari segi nilai.
Apa pula kaitannya dengan pemikiran baharu dalam konteks sastera sosial? Paling jelas, kita menerima yang benar dan menolak yang tidak benar selaras dengan pemikiran asli kita. Mana mungkin, kita harus menjadikan yang sememangnya tidak baik sebagai sesuatu yang baik. Contohnya, kekejaman. Kalau sains menyatakan bahawa sebuah negara itu ada pengganas, apakah harus dihapus segala yang ada di negara tersebut?
Begitu juga dengan pemikiran ke arah penambahbaikan. Sastera dalam konteks “sosial” berperanan besar untuk membuat andaian, perbandingan dan penyusunan dalam meneliti corak dan budaya kehidupan. Bukan hanya semata-mata mencatat, merakam dan menyatakan tetapi memberi penilaian, dorongan serta kesedaran. Inilah ruang yang perlu dilakukan penambahbaikan, bukan ruang untuk semakin menyempitkan pentafsiran tentang nilai!
Sememangnya kita tidak dapat lari daripada globalisasi sebagai aspek persekitaran. Tetapi kita juga tidak harus lupa bahawa kita mempunyai tradisi sebagai jalur peradapan kita. Kita memang tidak mungkin dapat menyisihkan globalisasi sebagai elemen kemajuan tetapi kita juga jangan cuba menyisih pegangan dan kepercayaan hidup kita sebagai roh kehidupan kita kerana untuk memungkinkan globalisasi harus berada di hadapan dalam kehidupan kita.
Kita juga tidak mungkin mampu menolak globalisasi sebagai faktor pembangunan tetapi kita jangan menolak kesedaran kita sebagai budaya berfikir hanya kerana tuntutan globalisasi semata-mata. Apa pun kita perlu punya semangat globalisme tetapi dengan corak dan acuan kita sendiri agar kekinian kita terima dengan keaslian yang kita punya.
Kita sebenarnya kini, telah acap kali hilang pertimbangan secara sedar dalam meletakkan hukum. Pertikaian tentang hak dan yang termaktub sebagai satu dasar addin pun menjadi persoalan. Rasional diangkat terlalu tinggi sehingga menenggelamkan sesuatu yang telah jelas dari segi kefarduan serta yang hak. Persoalan yang remeh temeh menjadi perkara besar kerana memberi pulangan atau keuntungan kepada orang lain. Perkara yang wajar ditekankan menjadi hal-hal kecil dan diperlecehkan.
Inilah yang cuba dikaitkan mengapa “seni untuk seni” selaras dengan kehendak “sastera untuk sastera” yang terlalu menulenkan falsafah keindahan, sedangkan penyataan yang luhur bukan hanya memerlukan keindahan tetapi juga kejiwaan keindahan itu sendiri. Justeru, sastera harus ditanggapi sebagai konteks sosial yang merupakan satu kehidupan dan memerlukan matlamat yang jelas.
Pemanfaatan terhadap segala bentuk kejadian yang ada di sekeliling kita wajar memenuhi matlamat kehidupan itu sendiri. Perkembangan dunia serta kepesatan pemodenan merupakan proses yang tiada titik noktah selagi bumi masih berputar. Kefahaman kita terhadap kesusasteraan yang kita rintis, wajar diambil kira keperluan yang mampu memberi kepuasan, kematangan, keilmuan, kesedaran dan keinsafan bagi menjana kehidupan yang bermatlamat sekalipun penuh liku.
Walaupun kehidupan yang kita terokai kini satu persinggahan dalam konteks pemikiran asli kita, namun ia merupakan satu nilai realiti yang masih perlu dilakukan dengan sebaik mungkin, kerana penjanaan makna di akhir kehidupan bukan hanya dipupuk melalui kesan sementara tetapi juga yang melibatkan pengalaman emosi agar sedar dan pengalaman spirituil tentang kewujudan kita serta pencipta yang maha besar.
Pengalaman emosi penting bagi kita merasakan proses kehidupan yang merencah pelbagai bentuk suka duka. Pengalaman ini mematangkan kita apabila berdepan dengan suasana yang sama ada menggembirakan atau mendukacitakan. Inilah peranan sastera sosial melalui karya, bukan hanya direncam dengan lapisan demi lapisan logik sahaja. Harus ada “perasaan” insaf dan kagum.
Pengalaman spirituil amat penting didorong melalui pembelajaran kehidupan dengan proses yang sama. Kesedaran dan keinsafan menjadi tunjang bahawa segala apa yang kita lakukan sewajarnya berpaksi kepada perkara yang benar, memanfaatkan kepada diri dan orang lain serta mengabdikan diri kepada-Nya. Sememangnya itulah tujuan untuk kita hidup dan perjalanan yang telah, sedang dan akan kita lalui adalah perjalanan yang menentukan kita memilih perhentian abadi. Ini juga harus dimanfaatkan dalam sastera sosial tetapi bukan pula menolak sastera tulen.
Kita sebenarnya terlalu mudah untuk melihat sesuatu yang tidak baik sebagai perbandingan. Kita selalu menjadikan kelemahan dan yang tidak baik sebagai asas utama bagi membangkitkan pelbagai andaian dan tanggapan. Justeru, sering kita perhatikan bahawa kehidupan seakan tidak ada kesudahan untuk menemui keindahan, kebahagian dan kesenangan.
Sedangkan hal-hal yang terjadi merupakan “sastera sosial” kita secara mutlak, yang kita lalui sebagai satu “penceritaan” dalam hidup kita. Maka, kalau dalam karya kita mampu menjadikan penceritaan ditamatkan dengan “happy ending”, mengapa tidak kehidupan yang kita jalani ini juga berakhir dengan “happy ending”. Pokoknya, kemahuan!
Fenomena ini wajar di aplikasi dalam kehidupan harian kita. Kita boleh mencari kelemahan agar dapat memberi inspirasi kepada kekuatan lain. Namun bukan membesar-besarkan kelemahan. Kononnya mencari ubat bagi memberi kekuatan. Proses ini menjadi cukup panjang. Ada kalanya tidak mencapai matlamat. Akhirnya, berlaku keberterusan “lemah” yang lebih parah.
Memperbetulkan kelemahan dan membina kekuatan dua proses yang terjalin dari jalur yang berbeza. Kelemahan, yang dianggap negatif akan melalui proses penilaian semula sedangkan membina kekuatan melalui proses perangkaan. Berbezaan ini tentu sahaja akan menimbulkan persepsi lain dalam pengertian menilai dan merangka. Barangkali sudah tiba masanya kita menterbalikkan kaedah ini dengan memberi keutamaan kepada kekuatan diri berbanding melihat kelemahan semata-mata. Mampukah sastera sosial berperanan menterbalikkan tuntutan dalam konteks sastera tulen?
Kita nilai kembali kekuatan kita yang mungkin mampu merangka proses menjana semaksimum mungkin kekuatan bagi menangani kelemahan kita. Kita “besar-besarkan” kekuatan kita dengan hasrat memberi sesuatu yang lebih bermakna untuk diri sendiri dan juga orang lain. Biar ia menular dalam diri sebagai sesuatu yang dibanggakan dan bukan ditunjuk-tunjuk yang akan menyebabkan lupa kepada nilai sebenar kekuatan tersebut. Kita jadikan proses kehidupan berpijak di atas kekuatan kita yang ada di samping merangka kembali penambahbaikan terhadap kelemahan kita.
Perhatikan juga perkembangan semasa, kebanyakan pemikir besar dunia memberi penilaian semula ke atas setiap kejayaan yang telah dicapai oleh tokoh-tokoh besar dari semua segi disiplin kehidupan. Sama ada ekonomi, teknologi, sosial dan sebagainya. Mereka meletakkan kekuatan yang menjadi asas kejayaan telah memberi impak cukup besar dalam pemikiran semula manusia.
Tetapi, kekuatan itu hanya mampu diterjemahkan melalui kesan ketulenan bukan yang mampu digabungkan dengan imaginasi yang juga mampu direalitikan. Ini berlaku, kerana kelemahan hanya dianggap satu proses hambatan yang akan lenyap sekiranya kita mengutamakan kekuatan sebagai dorongan dan rangsangan. Kelemahan juga akan melalui proses perubahan berdasarkan situasi yang dijana oleh kekuatan diri kita.
Apa pula kaitan kelemahan dengan “sastera sosial” yang kita bincangkan? Jelas, bahawa sastera sosial telah sekian lama wujud dalam peradapan kita. Bahkan telah mewarnai nilai-nilai kehidupan kita. Tetapi kita lebih menyakini bahawa sastera tulen, yang terpapar dengan mitos dan lagenda seakan menutup kehebatan jiwa keindahan sebenar ketamadunan kita.
Ini bukan bermaksud kita menjadi hipokrit dalam pengertian mengutamakan sesuatu yang ada di depan kita. Tetapi kita harus berpijak di bumi yang nyata bahawa kelemahan yang ada mampu juga menjadi kekuatan sekiranya ia dibina daripada kekuatan kita yang ada. Kelemahan akan kita usaha untuk dipulihkan namun kekuatan sentiasa kita pelihara dan tingkatkan bagi memberi ruang dan peluang baru dalam diri kita.
Dalam agama pun disarankan agar kita tidak menceritakan keaiban diri dan juga orang lain. Kata pemikir besar, adalah lebih bermakna kita bercerita tentang orang kerana kebaikannya sebagai satu dakwah untuk mengajak ke arah kebaikan juga berbanding bercerita tentang keburukan orang yang akan menimbulkan sengketa dan dosa. Barangkali kenyataan ini memungkinkan jalur sastera sosial dan sastera tulen dapat dijernihkan untuk diberi pengertian yang lebih mendalam.
Semoga sastera kita terbina kerana “hubungan kita dengan tuhan dan hubungan kita sesama manusia” tersemai dalam kesedaran serta penuh tanggungjawab. Sekadar untuk ingatan bersama, sengaja diulangi ungkapan, bahawa sastera bukan hanya falsafah keindahan yang logik tetapi merupakan falsafah keindahan yang berjiwa murni dan suci!
Sesungguhnya, barangkali akan timbul kecelaruan pengertian, kesukaran menjejak kefahaman dan kekalutan membuat pentafsiran pada perbincangan ini. Namun, apa yang diharapkan, selepas ini, ada di kalangan cerdik pandai atau sarjana yang lebih arif mampu memberi ruang kebermaknaan tentang isu ini dengan lebih menyakini, agar sastera bukan lagi satu disiplin sampingan tetapi menjadi disiplin yang utama dalam pembangunan kemanusiaan. Wallahualam.

No comments: