Monday, June 16, 2008

SUARA

SASTERA SARAWAK PERLU PERUBAHAN ?

oleh: Jaafar Haji Hamdan

Perkembangan sastera masa kini amat dipengaruhi oleh keadaan dunia yang berorentasikan teknologi maklumat. Sastera perlu meletakkan dirinya dalam kelompok arus komunikasi yang didominasikan oleh teknologi maklumat. Sekiranya sastera masih selesa bertunjangkan pada akar dirinya maka sastera akan mengalami satu proses peralihan yang amat perlahan dan mungkin tidak lagi dipedulikan serta tertinggal mencari arah tujunya.
Aspek ini bukan sahaja perlu dilihat dari segi kegiatan sastera semata-mata tetapi juga dari segi penghasilan karya sastera. Dalam konteks negeri Sarawak, kegiatan sastera begitu terserlah akhir-akhir ini dengan kejayaan bengkel penulisan yang diadakan mampu melahirkan penulis muda yang cukup berbakat dalam pelbagai genre serta pelbagai kegiatan yang telah dijalankan secara menyeluruh dan terancang. Bahkan tahun 2002 juga menjadi sejarah yang cukup bermakna buat negeri Sarawak apabila penulis Sarawak memenangi Hadiah Sastera Perdana.
Namun demikian, sastera Sarawak memerlukan pembinaan serta perancangan yang berterusan agar mampu mengiringi tuntutan semasa. Kejayaan yang telah diperolehi hendaklah dijadikan satu cabaran yang akan mengundang lebih daya fikir setiap warga sastera di Sarawak untuk lebih berani ke depan dengan idea-idea baru. Ini bermaksud setiap karyawan sama ada yang sedia mapan atau karyawan muda perlu bersatu dan saling bantu membantu menyusun atur satu usaha bersama memperkembangkan sastera di Sarawak.
Justeru, sastera Sarawak perlu melakukan perubahan, selaras dengan perkembangan semasa. Perubahan ini juga perlu mengiringi hasrat kerajaan yang menginginkan sebuah negara yang masyarakatnya maju dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, politik, sosial, pendidikan, budaya dan seterusnya sains dan teknologi. Untuk mencapai aspirasi muluk ini, salah satu pra-syaratnya ialah perlu mewujudkan budaya fikir di kalangan masyarakat.
Dalam sejarah tamadun bangsa-bangsa yang pernah mencapai zaman kegemilangan mereka, jelas terbukti mereka mengamalkan penghayatan budaya fikir yang tinggi. Contohnya tamadun Yunani yang unggul kerana ketinggian daya intelek dan ketulenan pemikiran mereka yang mengkagumkan. Nama-nama besar seperti Aristotle, Socrates, Pluto dan Pythagoras tetap harum sehingga ke hari ini.
Begitu juga dengan tamadun Islam yang menghasilkan gagasan-gagagsan ilmu yang asli dalam pelbagai bidang daripada agama, politik, sosial, undang-undang, perubatan dan sains. Para pemikir besar islam seperti Al-Ghazali, Al-Kindi, Al-Farabi dan beberapa lagi nama besar telah memberi sinar yang amat berguna kepada dunia hari ini.
Mungkin agak keterlaluan sekiranya mengharapkan di Sarawak akan lahir pemikir besar khususnya dalam sastera seperti Dato A. Samad Said, tetapi tidak juga mustahil ia boleh berlaku. Di Sarawak nama-nama seperti Dr. Adi Badiozaman, Awangku Merali, Jong Chan Lai, Saie Dris, Jais Sahok, Jeniri Amir, Awang Azman Awang Pawi, Hazami Jahari, Abang Patdeli Abang Muhi ( sekadar menyebut beberapa nama ) bukan lagi asing dalam dunia kepenulisan sama ada di peringkat negeri mahu pun kebangsaan.
Mereka mempunyai bukan sahaja kehebatan berkarya, berhujah dan menyuarakan pendapat tetapi juga berpotensi memikirkan rentak yang paling sesuai untuk menarikan sastera Sarawak dalam arus kepesatan sains dan teknologi ini. Hakikatnya, penulis baru/muda akan mencontohi penulis yang sedia mapan. Sekiranya penulis sedia mapan masih bertakuk di lingkaran yang biasa maka penulis baru/muda juga akan terkepung dalam lingkaran yang sama.
Ini penting bagi menyediakan golongan karyawan pelapis dengan irama yang sesuai agar tarian mereka tidak akan canggung sewaktu melahirkan karya yang tahapnya memenuhi kehendak semasa, kerana sastera Sarawak juga menjanjikan satu persaingan yang cukup hebat dengan kemunculan penulis pertengahan dan baru yang mempunyai daya kepenulisan yang amat berpotensi menerobosi kehebatan penulis mapan yang sedia ada.
Nama-nama seperti Abizai Abi, Jaya Ramba, Dahiri Saini, Rosani Hiplee, Abdul Malek Bedu, Khatem Ariffin, Buang Haji Omar, Radzemah Bolhassan, Sriwati Labot ( sekaadar menyebut beberapa nama ) begitu terserlah dan mula meletakkan diri serta mengisi ruangan sastera kebangsaan. Karya-karya mereka menampakkan kematangan, menyerlah kewibawaan dan telah membina kejatian diri mereka dalam penulisan
Tidak dinafikan kewujudan “Wadah Bahasa dan Sastera” serta “Yang Indah Itu Bahasa” dan juga ‘Jendela Sarawak” telah membuka horizon sastera Sarawak dengan lebih luas, lebih menyeluruh dan lebih tersebar bagi masyarakat mengenali sastera Sarawak. Di samping menjadi taruhan bagi penulis Sarawak memgembang bakat dan mengetengahkan diri dalam dunia penulisan sastera di Sarawak.

Perubahan yang dituntut dalam konteks sastera Sarawak perlu dilakukan kerana proses perubahan adalah sesuatu yang tidak boleh dielak. Ini bukan sahaja melibatkan proses pengubahsuaian tetapi juga proses pembinaan yang berterusan terhadap nilai sastera itu sendiri. Perubahan juga perlu dilakukan bagi mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan karyawan agar persaingan itu nanti mampu melahirkan karya yang besar sifatnya.
Perlu diingatkan bahawa perubahan ini bukan sahaja perlu dilakukan oleh individu penulis semata-mata tetapi juga oleh kumpulan dan khalayak sastera. Sesebuah kumpulan yang dibentuk khususnya dalam kelompok penggiat sastera perlu menyemai rasa tanggungjawab membantu sesama mereka bagi mempertingkatkan paradigma pemikiran secara lebih telus dan terbuka. Khalayak sastera juga perlu bijak memilih bahan yang sesuai, bermanfaat dan berguna unuk dibaca, dirujuk dan dihayati.
Perubahan bukanlah seseuatu yang semula jadi. Ia perlu dihadapi. Ia tidak berlaku dengan sendiri. Ia harus diterima dan dijadikan sebagai satu keperluan. Perubahan tidak dapat ditentang. Menyedari hakikat ini, perubahan terhadap sastera Sarawak perlu ditangani oleh setiap karyawan sekiranya mahu melihat sastera Sarawak berkembang dengan baik.
Tidak dinafikan sesuatu perubahan akan mengundang pelbagai tafsiran dan andaian. Perubahan adalah relatif. Terpulang kepada setiap individu karyawan, peminat dan kumpulan sastera menentukan corak sasteranya, asalkan tidak terkeluar daripada norma-norma kesusasteraan yang menjadi santapan sahsiah dan minda masyarakat. Ini bermakna setiap karyawan perlu menjadi sesuatu perubahan itu sebagai asas membina nilai dirinya dalam penulisannya.

Seseorang karyawan perlu melakukan perubahan kognitif bagi membina daya fikir yang lebih teransang untuk menerima pelbagai maklumat yang kemudiannya disaring untuk dijadikan ilham dan seterusnya bahan karya bagi tatapan khalayak sastera. Kemudian seseorang karyawan perlu juga melakukan perubahan afektif dengan membina rangkaian kerjasama dengan karyawan lain bagi berbincang, beertukar-tukar pendapat dan berkongsi idea sama ada dalam konteks penghasilan karya atau pun menjalankan kegiatan sastera.
Yang paling penting seseorang karyawan perlu melakukan perubahan konatif dengan mengambil kira ilham yang dicerna dan karya yang dihasilkan adalah untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang manusia untuk manusia bagi menyatakan sesuatu yang baik tetap baik dan sesuatu yang tidak baik perlu diperbetulkan. Penekanan ini juga perlu disalurkan dalam hubungan sesama karyawan agar mencapai kata sepakat yang pasti mengeratkan ikatan kepenulisan sesama mereka.
Sebagai seorang karyawan yang merupakan seorang pemikir, perlu percaya bahawa perubahan yang dilakukan adalah selaras dengan perkembangan semasa, yakin bahawa perubahan sebagai satu proses revolusi diri untuk lebih ke depan dari segi pemikiran serta mahir untuk bertindak atau mengambil langkah--langkah untuk berubah agar karya yang dilahirkan sesuai dengan kehendak masyarakat masa kini.
Kemahiran dan keyakinan untuk melakukan perubahan terhadap karya atau menjalankan sesuatu kegiatan sastera boleh dipelajari dari semasa ke semasa dengan menilai setiap yang dihasilkan, bahkan mampu dikongsikan bersama orang lain bagi menetukan kaedah dan pendekatan ang paling sesuai.
Sebagai contoh hasil karya yang dihasilkan perlu menitik beratkan isu semasa yang dianggap remeh, tetapi diwarni dengan nilai estetika yang tinggi, pasti akan menarik minat pembaca termasuk menggunakan istilah atau diksi yang segar (baru) Apa pun, yang diharap daripada setiap perubahan yang dilakukan mampu membawa perubahan persekitaran sastera itu sendiri khususnya sastera di Sarawak .
Mungkin masyarakat tidak lagi memperlecehkan sastera sekiranya perubahan yang dilakukan menampakkan tautan yang cukup erat dengan keciciran sosial masa kini. Di samping itu perubahan yang dilakukan terhadap sastera akan memberi nafas baru kepada sastera dengan bertambahnya khalayak sastera daripada mereka yang menguasai pelbagai bidang kemahiran lain.
Mungkin juga tanggapan awal ini mampu menjadi asas untuk dihayati dan direnungkan bersama demi mempertingkatkan kesusasteraan Sarawak dan dalam kesempatan lain, amat dituntut agar ada di kalangan mereka yang lebih berpengaruhi dalam sastera Sarawak untuk tampil bersama melihat dan mengutarakan idea bagi menangani perubahan sastera Sarawak dengan lebih terperinci dan kajian yang rapi perlu dijalankan.

Saturday, June 14, 2008

Tafsiran

MEMBINA NILAI POTENSI DIRI
DALAM NOVEL KANAK-KANAK A. SAMAD SAID
oleh: Ja’afar Haji Hamdan

“Perbezaan di antara manusia “biasa” dan manusia “genius” bukannya terletak pada gen, tetapi terletak pada diri manusia. Menurut pakar neurosains, manusia “biasa” dan manusia “genius” berbeza dari segi sejauh mana mereka berjaya menggunakan potensi otak secara berkesan untuk mencapai sesuatu matlamat. Sekiranya kita tahu mengawal kuasa minda, kita bukan sahaja mampu menjadi manusia yang lebih pintar tetapi juga lebih matang dan bijaksana”

Dr. Azlena Zainal dan Dr. Munir Shuib
( dalam buku “Meningkatkan Potensi Minda”)

1.0 PENGENALAN

Kemahiran berfikir pada umunya adalah satu kemahiran memproses minda bagi mencapai sesuatu tujuan. Setiap tindak dan kelakuan memerlukan daya fikir menjanakan peri tindak atau peri lakunya. Sekiranya, fikiran bercelaru, maka tindakan yang diambil pun turut bercelaru sifatnya.
Ini selaras dengan kenyataan Dewey (1933) yang mengaitkan berfikir dengan perilaku. Tegasnya, kemahiran berfikir adalah suatu aktiviti mengawal, menguasai dan menyesuaikan diri pada persekitaran yang sukar. Pelbagai takrifan berkenaan kemahiran berfikir. Setiap takrifan memberi penekanan berbeza.
Sebagai contoh, Mayer (1983) menyifatkan kemahiran berfikir sebagai kemahiran pengolahan operasi mental yang merangkumi pengetahuan, pengamatan dan penghasilan sesuatu. Ia adalah sesuatu aktiviti yang terarah kepada penyelesaian sesuatu masalah. Costa (1985) pula mengaitkan kemahiran berfikir dengan proses penerimaan rangsangan-rangsangan luar oleh minda melalui deria-deria.
Kalau kita meneliti pemikir besar seperti Edward de Bono, mereka mempunyai perspektif yang berbeza tentang definisi berfikir. Bagi Edward de Bono, konsep “masalah” memberi konotasi yang kurang baik. Masalah bermakna kewujudan suatu situasi atau keadaan yang sukar. Hal ini seakan menyempitkan pengertian berfikir dan seolah-olah berfikir hanya untuk menyelesaikan masalah.
Bagi Edward de Bono, berfikir bukan sekadar melibatkan penyelesaian masalah, tetapi juga melibatkan pencarian masalah dan penerokaan peluang-peluang yang baru, kemungkinan-kemungkinan baru serta penjanaan idea-idea baru. Oleh yang demikian, berfikir bagi Edward de Bono merupakan “alat” utama untuk menjana dan membina potensi diri manusia dalam usaha memenuhi persekitarannya.
Bahkan pertelagahan juga memberi dimensi dalam berfikir. Menurut Ainon dan Abdullah (2003) pemikiran kritikal iaitu berfikir secara suka bertelagah dan suka saling sangkal menyangkal yang mana mampu menjana keputusan yang baik seandainya pertelagahan tersebut disusuli dengan nilai intelektual.
Justeru, peranan membina daya fikir bukan sahaja melihat permasalahan sebagai tuntutannya tetapi juga memerlukan pelbagai dimensi yang mampu memberi dan menyumbang kepada kekuatan berfikir itu sendiri. Maka, daya fikir perlu dirangsang, diasah, dipertajam dan di cerdik pandaikan dalam korpus kehidupan untuk menilai tentang baik buruk dan betul salah.
Peranan sastera dilihat amat berkemampuan memberi rangsangan terhadap perkembangan daya fikir. Pertamanya, sastera merakam kehidupan dengan membuat penilaian tentang kehidupan dari sudut kebenaran. Kedua, sastera menjadikan kehidupan itu sebagai bahan garapan tentang makna sebenar yang dicari dalam kehidupan. Ketiga, sastera telah menyebatikan kebenaran itu sebagai yang hak dan perlu diperakukan. Lantaran itu, membaca dua buah novel kanak-kanak hasil karya A. Samad Said yang berjudul Bendera Merah Di Atas Bukit dan Jangan Ikut Jalan Ini, jelas membuka paradigma baharu dalam pengertian menjadikan sastera sebagai pemangkin membina potensi diri kanak-kanak.
Sebagaimana yang kita maklum, pengisian cuti sekolah menjadi satu perkara yang cukup menarik dan dinanti-nantikan oleh kanak-kanak. Itu pun terjadi dalam latar yang berlaku tahun 80-an dalam kedua-dua novel ini. Hal ini mungkin tidak terjadi dalam keadaan masa kini. Kanak-kanak seakan tidak mempunyai “cuti” sebagai pembinaan jati upaya berfikir secara neutral dan kreatif kerana kebanyakan kanak-kanak mengisi musim cuti sekolah mereka dengan menghadiri tuisyen atau “melekat” di depan komputer semata-mata.
Potensi inilah yang menjadi pokok perbincangan terhadap dua buah karya oleh sasterawan yang sememangnya maha dikenali dan diperakui kekuatan idea dan penceritaannya. Justeru, pembinaan nilai dalam potensi diri kanak-kanak menjadi asas untuk merangsang pembaca yang khususnya di kalangan kanak-kanak untuk berani mencuba, bersedia dengan permasalahan dan matang dalam melakukan tindakan.
Sebelum kita menyusuri perbincangan lebih lanjut tentang usaha membina nilai potensi diri yang terpancar dalam kedua-dua buah novel kanak-kanak ini, adalah lebih baik kita memperkatakan serbi sedikit tentang sinopsis kedua-dua buah novel kanak-kanak ini sebagai gambaran awal penceritaan. Walaupun secara lahiriahnya novel ini khusus kepada kanak-kanak, namun secara tersiratnya, banyak pengajaran yang boleh diambil oleh golongan ibu bapa dalam mempertingkatkan daya upaya mendidik kanak-kanak dalam konteks mesra keadaan.

2.0 BENDERA MERAH DI ATAS BUKIT

Novel Bendera Merah Di Atas Bukit merupakan novel kanak-kanak Siri Cerita Pengembara, terbitan Syarikat Buku Mahir Sdn. Bhd. Pada tahun 1986 yang mempunyai 75 halaman. Secara umumnya, konsep penceritaan berupa cerita-cerita pengembaraan yang dilalui oleh kanak-kanak dalam usaha membina upaya dan potensi diri mereka.
Kisah bermula dengan pertelagahan pendapat antara Majid dan Yahaya. Perancangan asal Majid, hendak bersampan di sungai dan Yahaya merancang untuk menyiasat pondok kosong. Masing-masing memberi pendapat tentang nilai dan keseronokan apabila melaksanakan kegiatan tersebut. Walaupun demikian, kedua-dua sekawan ini bersetuju agar Abu, yang mereka akui sebagai ketua untuk memutuskan apa yang perlu dilakukan bagi mengisi cuti musim cuti mereka kali ini.
Apabila kedua-dua sekawan itu mengemukakan cadangan mereka kepada Abu, secara murni Abu menyelesaikan masalah tersebut dengan mencadangkan agar mereka ke Tanjung Karang untuk berziarah ke rumah sahabat Abu yang bernama Rasyid. Alasan Abu, agar mereka boleh belajar tentang cara kehidupan orang di tempat lain.
Namun, perancangan asal mereka untuk berkunjung ke rumah Rasyid di Tanjung Karang tidak menjadi kenyataan setelah Abu mengambil keputusan menyiasat kes kecurian yang berlaku di kampung mereka. Cadangan Abu itu mendapat sokongan daripada kawan-kawannya. Hal tersebut menjadi isi cerita semakin membulat dan membesar dalam usaha mereka menyelesaikannya
Apa yang menarik dalam novel ini adalah, cadangan asal Majid dan Yahaya untuk bersampan di sungai serta menyiasat pondok kosong dilaksanakan. Episod demi episod tersebut membawa penceritaan yang menggugah rasa pembaca mencari penyelesaian. Seakan pembaca turut serta dalam penyiasatan tersebut. Mencari dan meneka. Menilai dan meneliti.
Secara psikologinya, pembaca khususnya kanak-kanak terbawa-bawa dalam alam penyiasatan mereka. Abu dan kawan-kawannya mula mencari punca, perkara yang aneh berlaku di kampung dan kehadiran orang asing di kampung menjadi penilaian dan penelitian mereka. Adegan penyiasatan mereka menjadi cukup menarik dengan penggunaan bahasa yang mudah dan sesuai dengan aras bahasa kanak-kanak.
Unsur suspens, perasaan luar jangka dan penyelesaian penceritaannya menjadikan pembaca agak terbuai dengan konflik diri kerana adanya timbul teka teki siapakah yang melakukan kecurian di kampung Abu. Akhirnya pembaca dibawa menemui jawapan yang tidak dapat dijangkakan oleh pembaca secara langsung. Hal ini menimbulkan kepuasan membaca cerita penyiasatan kanak-kanak.

3.0 JANGAN IKUT JALAN INI

Novel “Jangan Ikut Jalan Ini” seakan kesinambungan kepada cerita “Bendera Merah Di Atas Bukit”. Novel yang juga menjadi salah satu pengisahan dalam Siri Cerita Pengembara, terbitan Syarikat Buku Mahir Sdn. Bhd ini di terbit pada tahun 1987 ini mempunyai 67 halaman. Persamaan watak, bentuk cerita dan fokus pengisahan turut mengisi latar bagi musim cuti sekolah. Justeru, “Jangan Ikut Jalan Ini” merupakan novel kanak-kanak yang turut memaparkan kegiatan dilakukan waktu cuti sekolah.
Namun, dalam novel ini Abu dan kawan-kawannya membuat pengembaraan yang lebih berani dan mencabar. Pertama, tempat yang mereka cuba terokai adalah tempat asing atau bukan tempat mereka sendiri. Kedua, mereka terpaksa berdepan dengan orang dewasa untuk memenuhi kehendak mereka iaitu Wak Salim bagi menyatakan hasrat mereka dan yang ketiga, mereka sanggup mengharungi perjalanan pengembaraan mereka walaupun jelas menerima amaran awal.
Cadangan asal mereka untuk ke Pertak mengikut Wak Salim dengan hasrat melihat pemuda pemudi belajar seni, kerana kononnya di situ ada yang belajar drama, menjahit, menari dan sebagainya bertukar tujuan. Mereka memutuskan untuk mengembara melihat air terjun. Namun, dalam perjalanan mereka untuk ke temapt air terjun, mereka menemui pelbagai halangan. Halangan demi halangan inilah menjadi inti cerita pengembaraan mereka kali ini.
Halangan pertama yang mereka terpaksa tempuhi untuk ke tempat air terjun nanti adalah wujudnya orang gila. Namun, Abu sebagai ketua kumpulan teruja untuk mengetahui tentang orang gila tersebut. Lantas mereka membuat keputusan untuk berdepan dengan keadaan berkenaan. Halangan kedua pula, semasa mereka dalam perjalanan ke tempat air terjun ada dua kejadian yang menyebabkan mereka membatalkan hasrat mereka untuk meneruskan perjalanan ke tempat air terjun tersebut.
Pertama, Esah telah tergelincir ketika melalui batu dan kakinya berdarah. Kedua sewaktu mereka berhenti rehat, muncul bebayang budak yang tidak diketahui datangnya. Ketika mereka asyik mengejar budak berkenaan, bekal mereka pula yang dicuri. Melihat kejadian kaki Esah berdarah dan bekal mereka telah dicuri, mereka mengambil keputusan kembali ke rumah.
Keesokkan harinya, mereka meneruskan usaha untuk ke tempat air terjun. Dalam perjalanan tersebut, mereka menemui kata-kata amaran yang tertulis pada sebuah batu besar. Kata-kata amaran “Jangan Ikut Jalan Ini” membuat Abu dan kawan-kawwannya semakin bersemangat untuk meneroka dan mencari jawapan tentang tempat tersebut.
Dalam usaha mereka meneruskan perjalanan mereka, Abu dan kawan-kawannya menemui sebuah rumah besar yang kosong. Ada pondok kecil bersebelahannya. Keadaan tersebut semakin menaikkan semangat mereka. Akhirnya mereka bersetuju untuk menyiasat tentang rumah besar dan pondok kecil itu. Akhirnya mereka menemui dan menangkap budak yang mencuri bekal mereka tempoh hari.
Penemuan Rosli, budak yang mencuri bekal mereka telah mencetuskan satu pengisahan lain. Rosli yang tiada lagi mempunyai ibu bapa, hanya tinggal dengan datuknya. Kehidupan yang daif Rosli dan datuknya telah menginsafkan Abu dan kawan-kawannya. Pelawaan datuk Rosli kepada mereka untuk makan tengah hari bersama disambut mesra oleh Abu dan kawan-kawannya. Di samping itu datuk Rosli bercerita tentang tempat berkenaan.
Kesan pertemuan itu telah membuka hati Abu dan kawan-kawannya untuk membantu Rosli dan datuknya. Walaupun pengembaraan mereka kali ini untuk melihat air terjun tidak kesampaian, namun Abu dan kawan-kawannya merasakan bahawa pengalaman mengetahui tentang kesusahan dan kepayahan menjadikan mereka lebih matang. Inilah mesej paling besar dalam “Jangan Ikut Jalan Ini”

4.0 MEMBINA NILAI POTENSI DIRI

Dalam usaha membina nilai potensi diri, seseorang memerlukan kekuatan dari segi mental, fizikal, emosi dan spiritual. Kekuatan mental terjana melalui kemahiran berfikir iaitu ilmu. Hal ini paling asas. Kekuatan fizikal pula memerlukan badan dan fikiran yang sihat. Kekuatan emosi terpupuk melalui kematangan menilai dan kekuatan spiritual tersemai dengan nilai kepercayaan.
Keempat-empat elemen yang mendasari atau mendukung nilai potensi diri ini, wujud melalui psikologi sosial, konsep kendiri, pembentukan sikap dan pemikiran positif. Keempat-empat elemen ini melingkari nilai potensi berdasarkan daya upaya individu itu sendiri. Terpulang kepada individu menjadikan dirinya sebagai apa.
Melalui penelitian ini, kita cuba menjadikan karya sastera sebagai satu proses rangsangan minda kepada pembaca bagi menimbulkan kesan positif dan seterusnya membina nilai potensi diri pembaca. Kesan tersebut sudah tentu memberi pulangan berguna sebagai seorang pembaca, selaras dengan peranan sastera yang memanusiakan manusia.

4.1 Psikologi Sosial

Psikologi sosial menumpukan perhatian terhadap tingkah laku sosial manusia. Tumpuan utamanya adalah untuk memahami mengapa dan bagaimana manusia bertingkah laku, berfikir dan merasakan di dalam situasi yang melibatkan kehadiran orang lain sama ada secara nyata ataupun secara simbolik. Menurut Albrecht (1987) psikologi sosial ialah suatu bidang yang cuba memahami dan menerangkan bagaimana fikiran, perasaan dan tingkah laku individu dipengaruhi oleh jangkauan, khayalan ataupun kehadiran orang lain bersamanya..
Kesan ini jelas terpapar dalam dialog antara Rukiah, Yahaya dan Majid dalam halaman dua, novel “Bendera Merah Di Atas Bukit”. Pertikaian tentang jangkauan dan khayalan menimbulkan suatu perbahasan tentang kebiasaan yang mungkin mempunyai keluarbiasaannya. Perhatikan dialog tersebut;

“Buat apa?” Rukiah pernah membantah
“Kita tengok keadaan sungai” jawab Majid
“Macam kita tak pernah tahu tentang sungai pula,” kata Yahaya pula
“Memang kita tahu tapi setakat mana? Kita tak tahu apa sebenarnya ada disekelilingnya. Kita hendak tahu semua itu. Lagi pula kita nak biasakan berjiwa pengembara sedikit,” kata Majid

(Bendera Merah Di Atas Bukit, halaman 2)

4.2 Konsep kendiri

Konsep kendiri ialah gambaran sikap, kepercayaan, nilai, keinginan, tanggapan dan harga diri. Ia penting dalam menentukan personaliti seseorang. Ini penting kerana konsep kendiri yang positif atau negatif tidak terbentuk secara warisan. Menurut Worchel (2000) kepercayaan yang dibentuk sejak kecil adalah manifestasi zahir seseorang individu itu apabila ia dewasa kelak.
Azizi (2005) juga menegaskan bahawa Rogers menjelaskan bahawa konsep kendiri bermaksud definisi diri yang kita berikan kepada diri kita secara sedar apabila menggunakan perkataan saya, iaitu ia adalah suatu gambaran persepsi kendiri yang tersusun serta dapat dibawa ke peringkat sedar. Pembawan ini termasuklah kita berdepan dengan individu lain dalam memutuskan kehendak bersama.
Berdasarkan kedua-dua kenyataan tersebut, jelas bahawa konsep kendiri bukan sahaja melihat upaya dirinya tetapi juga menjadikan persekitarannya sebagai dorongan dan sokongan mempertingkatkan nilai konsep itu sendiri. Ini jelas dipaparkan oleh A. Samad Said dalam novel kanak-kanaknya “Jangan Ikut Jalan Ini”. Perhatikan penceritaan dan dialog tersebut;
“Jadi, kita mesti selidik sendiri,” kata Majid
“Saya setuju. Jangan lengah-lengah lagi. Kalau sesat ada kompas ni,” kata Yahaya.

Seperti biasa Abu tidak akan puas hati dengan mereka berkata setuju sahaja. Dia ingin melihat tangan yang diangkat sendiri. Dia menyuruh mereka mengangkat tangan tanda setuju. Majid dan Yahaya mengangkatnya penuh yakin. Munir, Rukiah dan Esah mengangkat perlahan-lahan, kemudian lurus tangannya. Cuma Zaitun yang masih ragu-ragu, tetapi akhirnya mengaangkat tangan separuh bengkok.

“Kalau gitu kita ikut jalan penuh semak,” kata Abu, mula bangun.

Kawan-kawan lain pun kemudiaannya bangun berpandangan sesama sendiri, ada yang yakin, ada yang ragu-ragu. Munir sendiri lebih ragu-ragu, walaupun dia selalu pergi ke tempat air terjun itu bersama kawan-kawannya. Tetapi di dalam kumpulan Abu ini dia akan jadi pemandunya, dan dia juga yang akan menjadi ketua nombor dua. Sebagai ketua, dia mesti menjadi teladan – dia mesti berani dahulu. Dia pun menegakkan badannya, membesarkan sedikit dadanya.
(Jangan Ikut Jalan Ini, halaman 36-37)

4.3 Pembentukan Sikap

Sikap adalah sesuatu yang dipelajari melalui pengamatan, pendengaran dan pengalaman. Dengan kata lain, sikap adalah tindakan dan tingkah laku diri berlandaskan cara fikir seseorang individu. Dua orang yang mempunyai cara fikir yang berbeza akan bertindak balas secara berbeza juga terhadap sesuatu peistiwa atau persekitaran. Cara fikir merubah tingkah laku seseorang dan mempengaruhi sikap seseorang. Cara fikir sebenarnya dipelajari dan ditiru.
Pada umumnya, para sarjana bersetuju bahawa sikap merupakan faktor penting dalam menentukan kejayaan seseorang dalam kehidupannya. Menurut Brecht (1996) pembentukan sikap berdasarkan kehendak yang wujud dalam minda yang lazimnya berupa angan-angan dan impian. Angan-angan dan impian ini akan bertukar menjadi bentuk aspirasi, cita-cita, niat dan wawasan apabila disertai oleh keazaman mencapai atau memperoleh sesuatu. Keberanian itu perlu kerana ia adalah pendorong kepada perubahan tingkah laku.
Hal ini juga digambarkan oleh A. Samad Said dalam novel kanak-kanaknya “Bendera Merah Di Atas Bukit” dan “Jangan Ikut Jalan Ini”. A. Samad Samad menyedari bahawa pembentukan sikap dalam watak kanak-kanak dalam kedua-dua novel ini, ditekuni melalui nilai angan-angan yang kemudiannya diterjemahkan menjadi cita-cita. Perhatikan dialog dan penceritaan yang mengemukakan nilai pembentukan sifat.
“Kita tak mau seronok,” kata Yahaya
“Kita nak jadi mata-mata gelap, kita nak jadi pengembara sedikit. Itulah semangat yang perlu ada.”
“Bukanlah pula ertinya bersampan di sungai tu tak boleh jadi mata-mata gelap dan pengembara pula,” kata Majid
“Awak tak dengar cerita Robinson Crusoe? Kita nak jadi macam itulah”

(Bendera Merah Di Atas Bukit; halaman 5)

Abu mengharapkan Zaitun tidak akan merasa rugi mengikut mereka, sebab tujuan mereka ialah menyelidik dan mencatat sesuatu yang benar. Kalau ini sudah dapat ditanam di dalam jiwa anak muda, menurut Cikgu Musa, anak muda tidak harus takut, selagi tidak diuji keberaniannya, menurut Cikgu Musa lagi.

(Jangan Ikut Jalan Ini; halaman 38)

“Nampaknya kita semua ni semakin berani pula sekarang,” kata Abu.
“Baguslah kalau gitu. Tapi ingat-ingat. Berani saja pun tak boleh. Kita terpaksa berfikir-fikir juga. Kalau berani membuta-tuli kata orang tua-tua, segala usaha akan sia-sia juga”

(Jangan Ikut Jalan Ini; halaman 46)

4.4 Pemikiran Positif

Pemikiran positif memberi nilai hasil yang juga positif. Positif di sini bukan sahaja menyentuh soal berfikiran secara positif tetapi juga merangkumi emosi yang positif. Dalam konteks berfikir positif, penerimaan dan penilaian selalunya menentukan kesan yang baik. Walaupun yang terpapar agak negatif sifatnya, namun impak positif diambil kira sebagai keutamaan.
Berlainan pula dengan konsep emosi yang positif. Secara umumnya, berfikir dan emosi terjalin dalam dimensi yang sama dalam konteks pemikiran positif. Tetapi bagi memudahkan perkaitan dengan teks yang diperbincangkan, emosi yang positif ada hubung kait dengan soal Emotional Intelligence atau Kebijaksanaan Emosi. Ini penting dalam membuat penyesuaian tentang fikiran dan emosi.
Menurut Lupton (1998) emosi adalah fenomena yang terbentuk, dialami dan diinterpretasikan melalui proses-proses sosial dan budaya. Dalam kata lain, emosi terbentuk melalui pengalaman yang terhasil daripada interaksi kita dengan orang lain dalam konteks sosial yang pelbagai. Sedangkan fikiran yang kita anggap kecerdasan intelek menurut Mohd. Azhar (2003) sebagai kecerdasan otak atau merujuk kepada kemampuan otak berfikri, memahami dan mentafsir.
Menurut Costa dan Lowery (1989) daya fikri itu adalah sesuatu aktiviti yang abstark dengan mengambil kira penilaian emosi. Justeru, tegasnya, beberapa ciri yang membentuk pemikiran positif ialah;
(i) reflektif iaitu individu berfikir tidak terburu-buru,
(ii) fleksibel iaitu individu yang suka menerokai kemungkinan-kemungkinan, alternatif-alternatif dan pilihan-pilihan,
(iii) suka mencari masalah iaitu individu yang suka mengenal pasti masalah
(iv) suka menyelesai masalah iaitu individu yang berminat menyelesaikan masalah secara berdikari tanpa mudah menyerah kalah
(v) membuat pengesanan diri iaitu individu yang berfikir tentang berfikir
(vi) penggunaan bahasa yang tepat iaitu individu yang cekap berfikir tepat dan lengkap
(vii) pemindahan pengetahuan kepada situasi baru iaitu individu yang mampu mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi semasa
(viii) penggunaan pengetahuan lama dan pengalaman iaitu individu yang mampu dan mahir menggunakan pengetahuan dan pengalaman lama dengan mengaitkan dengan pengetahuan dan pengalaman baru.

Pemikiran positif merupakan elemen yang paling banyak terpapar dalam kedua-dua novel kanak-kanak A. Samad Said ini. Selaras dengan tujuan membina nilai potensi diri di kalangan kanak-kanak waktu itu, A. Samad Said berjaya mengemukakan karya yang memenuhi keperluan semasa. Sebagai contoh, akan diperturunkan beberapa bahagian novel kanak-kanak “Bendera Merah Di Atas Bukit” dan “Jangan Ikut Jalan Ini” untuk diteliti. Aspek pemikiran positif bagi membina pengetahuan, pengalaman, kesepakatan, kesatuan dan keharmonian jelas dipaparkan dalam dialog dan penceritaan berkenaan;
“Kita harus tahu bagaimana orang lain hidup. Kita ni asyik banyak menengok motokar dan bas sahaja,” kata Abu

(Bendera Merah Di Atas Bukit; halaman 13)

Saya setuju dengan pelawaan awak untuk ke Tanjung Karang. Saya memang tidak tahu benar hidup orang-orang di situ. Saya ingin belajar. Ingat kata guru Ilmu Alam kita? Katanya, kita semua perlu belajar tentang hidup orang-orang di sekeliling kita.

(Bendera Merah Di Atas Bukit; halaman 17)

“Sekali lagi saya kata, jangan bergaduh. Saya tahu awak bertiga semuanya buat kerja. Saya suka kita semuanya buat kerja. Kalau dengan cara ini, apa yang kita inginkan akan tercapai. Bersatu kita teguh...”

“Bercerai kita runtuh,” sambut Yahaya, Majid dan Rukiah

(Bendera Merah Di Atas Bukit; halaman 18)

“Kalau tidak berunding boleh , Kiah. Tapi kerja tidak teratur. Kita berunding untuk bersatu, untuk cari jalan bersatu,” kata Abu

(Bendera Merah Di Atas Bukit; halaman 19)

Banyak juga buku detektif yang dia baca dan barangkali dia boleh menggunakan pelajaran-pelajaran yang didapat dari buku tersebut.

(Bendera Merah Di Atas Bukit; halaman 22)

“Awak semua begitu percaya akan berjaya. Baguslah. Tapi saya tidak begitu yakin. Biar pun begitu janganlah ini melemahkan hati pula. Kalau kita tidak berjaya, kita tidak akan berhenti. Kita akan terus berusaha. Rajin dan tekun itu, kata orang tua-tua, tangga kejayaan.”

(Bendera Merah Di Atas Bukit; halaman 32)

“Kita tak mahu lambat-lambat. Segala janji mesti ditepati. Kita tak mahu buang masa. Masa itu emas.”

(Jangan Ikut Jalan Ini; halaman 2)

“Berapa kali sudah saya kata; belajar bertanya. Malu bertanya sesat jalan kata orang tua-tua,” kata Majid

(Jangan Ikut Jalan Ini; halaman 3)

“Nampaknya kenalah kita pakai suara terbanyak,” kata Abu.
“Muafakat tu berkat, kan?”

(Jangan Ikut Jalan Ini; halaman 6)

“Jangan khuatir,” kata Yamin, tersenyum.
“Kalau jalan cermat-cermat, kalau jalan ikut peraturan, kita akan selamat.”

(Jangan Ikut Jalan Ini; halaman 25)

“Kita tak boleh buang masa,” kata Abu.
“Ada peluang belajar, kita belajar. Biar sedikit pun, kita belajar.”
“Dalam tidur pun kita mesti cari ilmu,” kata Yahaya ketawa.

(Jangan Ikut Jalan Ini; halaman 26)

5.0 PENUTUP

Membina nilai potensi diri, khususnya di kalangan kanak-kanak menjadi tanggungjawab bersama. Dalam hal ini, kita harus melihat dan menilai kembali peranan sastera sebagai wahana ke arah tersebut. Sastera tidak harus berdiri sebagai satu seni semata-mata tetapi harus berpijak sebagai pemangkin mencetuskan nilai baharu dalam horizon pemikiran.
Sasterawan seperti A. Samad Samad telah melakukannya melalui novel kanak-kanaknya “Bendera Merah Di Atas Bukit” dan “Jangan Ikut Jalan Ini”. Walaupun sasaran jelas kepada kanak-kanak, usaha ini harus diperkembangan ke peringkat remaja dan dewasa. Keperluan ini selaras dengan perkembangan semasa yang cukup mendesak perubahan sama ada sosial mahupun budaya generasi masa kini.
Apapun, usaha memperlihatkan novel kanak-kanak ini melalui nazrah motivasi yang berpaut pada nilai potensi diri sebagai satu permulaan. Sudah tentu banyak berlaku kelompongan serta kelemahan dari segi penerapanya. Namun, kita masih percaya bahawa sastera seperti yang dilahirkan oleh A. Samad Said melalui novel kanak-kanak ini harus dilihat dalam kasus yang besar dan penuh pengertiaan.
Usaha ini penting, agar generasi yang kita bina hari ini mempunyai kekuatan bukan sahaja mental, fizikal, emosi dan spiritual tetapi juga mempunyai kekuatan berdepan dengan nilai dan cabaran semasa. Mungkin apa yang terpapar pada tahun 80-an tidak sehebat apa yang didepani generasi kita pada alaf 21 ini. Justeru, kita makmurkan sastera sebagai perintis membina nilai potensi diri. Walllahualam.

RUJUKAN
A. Samad Said. (1986) Bendera Merah Di Atas Bukit. Kuala Lumpur: ‘K’ Publishing & Distributors Sd. Bhd.

A. Samad Said. (1987) Jangan Ikut Jalan Ini. Kuala Lumpur: ‘K’ Publishing & Distributors Sd. Bhd.

Albrecht, S.L, Chadwick, B. A. & Jacebson, C. K. (1987). Social Psychology. New Jersey: Prentice-Hall Inc.

Ainon Mohd & Abdullah Hassan (2003) Belajar Berfikir. Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Azlena Zainal dan Munir Shuib (2004). Meningkatkan Potensi Minda. Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Azizi Yahaya, Jaafar Sidek Latif, Shahrin Hashim & Yusof Boon. (2005). Psikologi Sosial, Alam Remaja. Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Brecht, G. (1996). Sorting Out Self Esteem. Australia: Prentice Hall

Costa, A. (1985). Assessing growth in thinking abilities, dalam AL Costa (Ed). Developing minds: A Resource Book for Teaching Thinking, Alexandria, Va: Association for Supervision and Curriculum Development.

Costa , A. & Lowery, L. (1989). Techniques for Teaching Thinking, Pacific Grove, California: Midwest Publications.

Dewey, J. (1933). How We Think. New York: Heath

Lupton, D. (1998). The Emotional Self. London: Sage Publications.

Mayer, R.(1983). Thinking, Problem Solving, Cognition. New York: Freeman and Co.

Mohd. Azhar Abdul Hamid. (2003). Meningkatkan Daya Fikir. Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Worchel, S. (2000). Social Psychology. United State of Amerika: Library of Congres Catalog-in-Publications Data.

Sajak

MATINYA TANPA AIRMATA
(Kuala Lumpur Yang Tidak Pernah Mengerti)

Sudah acapkali kukunjungi
suasana rasa yang tidak pernah sunyi
dengan jerit kehidupan satu perlumbaan;
namun dalam jauh waktu yang tepu
tidak juga pernah pula mempeduli
setiap pertanyaanku atau mahu saja
memberitahu hasrat yang bungkam

Ada saja yang mengundang keliru
atau juga menimbulkan sangsi
apabila seorang tua memarahi keringatnya
yang tertumpah dalam kemelut hidup
kerana puas mengira jejak
tetapi masih menuntut usaha bergalas
tanpa tanah dan rumah

Wajahnya berubah dan amat wajar berubah
dahulu pun irasnya adalah gundah
pada setiap detik kesalnya bercambah
yang datang pun mengundang padah
tanpa menimbang resah
bagi yang lama di situ pun menyampah
menguja-guja makna payah

lalu kukunjungi semula kedip hidupnya
dalam ghairah yang lelah
agar mampu kutarik-tarik nafas sedar
yang semakin meminggirkan simpati
untuk lebih rela melihatnya
mati tanpa airmata

Jaafar Haji Hamdan
Kuala Lumpur
31 Mei 2003

Wednesday, May 7, 2008

Sedikit Kegusaran..

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU?
oleh: Ja’afar Haji Hamdan

Apabila tahun 2007 telah dipilih sebagai tahun melawat Malaysia, pelbagai persediaan telah dilakukan bermula pertengahan tahun 2006. Apa yang jelas, kementerian pelancongan merupakan kementerian yang paling sibuk merancang, merangka dan melaksanakan program dan kegiatan yang mampu menyerlahkan keMalaysiaan dimata pelancong yang akan datang.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaun dan bangsa, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang cukup unik dan pasti menyediakan 1001 macam persembahan kebudayaan, makanan, pakaian dan sebagai, agar dapat dinikmati selaras dengan persempenaan tahun melawat Malaysia. Publisiti cukup meluas. Harapan pasti tinggi.
Namun, hal yang cukup menarik perhatian pada tahun 2007 adalah terbinanya roda gergasi yang turut dirasmikan oleh Perdana Menteri sempena majlis perasmian Tahun Melawat Malaysia baru-baru ini. Memang kita sebagai rakyat Malaysia cukup bangga dan merasa megah dengan terbinanya roda gergasi yang kononnya dapat melihat suasana sekitar Kuala Lumpur.
Tetapi kita cukup terkilan dan barangkali keliru apabila roda gergasi yang kita bangga dan megah itu dinamakan dengan “Eyes of Malaysia”. Apakah agak tidak bermakna atau tidak besar ertinya kalau dinamakan dalam Bahasa Melayu? Barangkali inilah masalah kita hadapi bersama. Lantaran sasaran pelancong kita adalah orang luar, maka kita menggunakan bahasa penjajah sebagai pemuka kita di hadapan peta dunia. Mengapa?
Kalau kita kembali kepada isu tahun 2006 tentang bahasa Melayu, sudah tentu kita dapat menerima perubahan “sureheboh” menjadi “jom heboh”. Apakah, program itu menjadi kecil apabila diubah demikian rupa? Tidak bukan, bahkan kemeriahan semakin memuncak! Maka, mengapa hal seperti ini berulang kembali? Kita seakan tidak mampu menerjah kebiasaan itu. Kita pasti berkehendak bahasa Inggeris terlebih dahulu dilakukan, kemudian baru memikirkan, perlu ada perubahan atau tidak.
Begitu juga dengan halnya, dengan isu mata pelajaran matematik dan sains yang diubah bahasa pengantarnya daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris atas alasan ilmu sains dan matematik lebih mudah diperoleh melalui bahasa Inggeris. Lebih ironis, dasar ini akan dinilai pula pada tahun 2008. Maka, pelajar yang menjadi “tikus makmal” ini bersedia dengan kemungkinan beralih semula menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pembelajaran matematik dan sains.
Secara harfiahnya, matematik dan sains sememangnya perlu diajar menggunakan bahasa Melayu. Pertama, agar ilmu tersebut disampaikan secara menyeluruh kepada anak bangsa Malaysia. Bukan hanya mereka yang pandai berbahasa Inggeris semata-mata. Kedua, menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu yang berkembang dalam kepesatan sains dan teknologi, kerana, kalau kita biarkan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar pembelajaran matematik dan sains, maka bahasa Melayu akan kaku dan mati dalam konteks sains dan teknologi.
Ketiga, pembelajaran peringkat awal secara sedikit demi sedikit mematikan kedinamikan bahasa Melayu. Rasionalnya, di peringkat sekolah rendah, tahun 1 hingga tahun 6, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai penilaian awal. Sedangkan subjek teras pada aras pembelajaran tersebut, hanya bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik dan sains. Justeru, kalau matematik dan sains diajar dalam bahasa Inggersi, maka, tiga subjek teras menggunakan bahasa Inggeris dan satu subjek teras sahaja diajar dalam bahasa Melayu, iaitu subjek bahasa Melayu itu sendiri.
Sejarah telah membuktikan bahawa India telah menggunakan bahasa Inggeris selama 300 tahun dan Filipina selama 60 tahun. Begitu juga dengan beberapa buah negara di Afrika seperti Nigeria, Ghana, Kenya, Uganda. Tetapi negara ini tidak pernah maju, bahkan ada sesetengahnya tidak mampu melepasi paras kemiskinan. Negara-negara seperti ini terus diuji dengan perkembangan yang tidak menjanjikan.
Namun, dalam keadaan sekarang, iaitu tahun 2007, persoalan yang wajar kita selesaikan bersama adalah, persoalan keseriusan dan kepertanggungjawaban kita terhadap perlembagaan kita sebagai memenuhi tuntutan rukun negara yang ketiga iaitu keluhuran perlembagaan. Jelas dan penuh sedar bagi kita semua bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang termaktub dalam perlembagaan 152. Justeru di mana kita? Memperlecehkan rukun negara kita tanpa ada rasa apa-apa?
Kuasa politik yang kita pilih melalui pangkahan kita sebagai rakyat seharusnya dimanfaat sebaik mungkin sama ada oleh pemimpin ataupun rakyat. Kesatuan dan persefahaman antara rakyat dan kerajaan perlu dilakukan dengan hasrat dan cita-cita membangunkan negara yang bukan sahaja dilakar melalui kesan fizikal tetapi juga mental dan budaya.
Sebagai satu teladan untuk kita, mari kita sama-sama menghayati perjuangan negarawan Jerman menjadikan negara Jerman maju dalam bahasanya sendiri. Pada abad ke-17, negara-negara Perancis, Itali dan Inggeris telah mula menjadi negara maju apabila industrinya berkembang. Tetapi negara Jerman masih mundur. Pemimpin-pemimpin Jerman hairan kenapa hal sedemikian berlaku. Orang Jerman cukup rajin bekerja tetapi tidak juga maju.
Di samping itu pula, negara Jerman mempunyai lebih banyak sumber alam berbanding dengan negara-negara lain. Malah, Jerman menggunakan bahasa Perancis dan Latin sebagai bahasa pengantar sekolah dan universiti. Bahasa Perancis dan Latin adalah bahasa ilmu ketika itu. Bahasa Perancis juga menjadi bahasa perdagangan dan komunikasi antarabangsa.
Justeru, pemimpin negara Jerman mengarahkan Gottfried Wilhelm Leibniz, seorang sarjana matematik dan falsafah Jerman mencari jawapan kepada permasalahan negara Jerman itu. Beliau sendiri terdidik dalam bahasa Perancis dan Latin, tetapi beliau tidak berupaya memandaikan bangsanya yang berbahasa Jerman. Kemudian beliau sedar bahawa masalah ini timbul kerana amalan Jerman menggunakan bahasa Perancis dan Latin mengajar ilmu pengetahuan di sekolah dan di universiti, dan bahasa Perancis dalam komunikasi perdagangan serta di kalangan atasan.
Bahasa Jerman dianggap rendah dan tidak mampu mengungkapkan ilmu dan tidak layak digunakan sebagai bahasa perdagangan. Ini menyebabkan wujud situasi di mana golongan atasan dan intelektual berbahasa Perancis dan latin, manakala rakyatnya berbahasa Jerman. Beliau sedar bahawa bahasa Perancis dan Latin yang digunakan menjadi tembok pemisah antara dua golonganrakyat Jerman. Golongan atasan dan intelektual menggunakan bahasa Perancis dan Latin, dan ilmu pengetahuan dalam segala bidang ditulis dalam bahasa Perancis dan Latin sahaja.
Rakyat biasa yang hanya memahami bahasa Jerman yang merupakan bahasa ibunda dan bahasa harian mereka tidak memahami ilmu pengetahuan yang ditulis dalam bahsa Perancis dan Latin. Antara ilmu dan rakyat wujud tembok bahasa. Gottfried Wilhelm Leibniz mula sedar bahawa, apabila bahasa sendiri diketepikan dan bahasa asing didewakan, rakyat akan kehilangan kepercayaan kepada diri sendiri dan pemikiran pun terjejas.
Hasilnya, rakyat Jerman mengatakan bahawa bahasa Perancis dan Latin yang mengandungi ilmu, sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa yang boleh membawa kemajuan. Akibatnya, rakyat Jerman mengabaikan bahasanya sendiri. Dalam pada itu pun, beliau melihat bahawa orang Perancis sendiri tidak menerima mereka (orang Jerman) sebagai nukleus kepada masyakarat Perancis.
Setelah Gottfried Wilhelm Leibniz menyedari dan memahami masalah tersebut, beliau telah mengemukakan laporan dan cadangan kepada pemimpin Jerman. Antaranya;
1. membakukan bahasa Jerman dengan menyusun tatabahasa dan istilahnya.
2. menyebarkan bahasa Jerman kepada seluruh rakyat Jerman
3. menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar di sekolah dan di universiti

4. menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pentadbiran negara
5. menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa perniagaan, dan
6. menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa komunikasi umum dalam semua bidang dan peringkat.

Pada tahun 1750, apabila Johan Christoph Gottsched menerbitkan sebuah tatabahasa Jerman dengan judul Dasar-Dasar Tatabahasa Bahasa Jerman, maka bermulalah era perkembangan bahasa Jerman, dengan sambutan rakyat dan golongan intelektual penuh nilai patriotisme, apabila bahasa Jerman dibangunkan dalam bidang-bidang yang diusulkan oleh Gottfried Wilhelm Leibniz. Itulah saat yang merupakan permulaan kebangkitan Jerman sebagai salah satu negara maju di dunia.
Barangkali, sudah sampai masanya kita memerlukan seorang rakyat Malaysia yang berjiwa besar seperti “Gottfried Wilhelm Leibniz”. Sebagai renungan kita bersama, mari kita hayati dan fahami penegasan Ibn Khaldun dalam buku Muqaddimah;
“Bangsa yang dikalahkan lazimnya akan meniru pakaian, simbol-simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang mengalahkan mereka. Tingkah laku ini disebabkan sifat manusia yang lazimnya menyangka bangsa yang mengalahkan mereka itu adalah bangsa yang sempurna. Tingkah laku itu mungkin berpunca daripada rasa kagun terhadap bangsa yang menakluki mereka, sehingga mereka menganggap bangsa penakluk itu adalah bangsa yang sempurna ataupun disebabkan bangsa yang kalah itu tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor-faktor biasa sahaja.
Akibatnya mereka percaya mereka kalah akibat keagungan bangsa yang menakluki mereka. Apabila sangkaan itu berpanjangan, maka sangkaan itu bertukar menjadi keyakinan, sehingga akibatnya keyakinan itu, mendorong mereka mengubah semua ciri-ciri asli mereka. Bangsa yang kalah mungkin meniru-niru secara tidak disedari, ataupun mereka menyangka mereka kalah disebabkan kelemahan-kelemahan budaya dan kepercayaan mereka sendiri, pada hal tidak. Sebenarnya bangsa yang mengalahkan mereka itu adalah lebih kuat dan lebih bersatu padu. Akibatnya, timbullah keyakinan lain bahawa dengan meniru-niru bangsa penakluk itu, maka akan terhapuslah punca-punca kekalahan mereka”

Wallahualam.

Sajian Minda

CATATAN HARAPAN MENDEPANI CABARAN
Jerayawara Baahsa dan Sastera 2008
oleh: Ja’afar Haij Hamdan

Usaha memartabatkan Bahasa Melayu menjadi cukup besar maknanya dalam keadaan sekarang. Bukan sahaja yang melibatkan dasar tetapi juga yang wujud melalui tanggapan. Semuanya tercetus oleh nilai dan keyakinan masyarakat sebagai pendukung atau penggunanya. Pembangunan seakan menjadi alasan, walhal, sumbangan Bahasa Melayu dalam pemodenan tidak pernah diteliti sebagai pembudayaan masyarakat meyakini hak dan pemilikannya yang mutlak.
Lantas, pembangunan tercipta dalam lingkaran yang mementingkan soal fizikal semata-mata. Maka, terbina gah bangunan yang mencakar langit. Tergambar prasarana yang canggih. Wujud rangkaian maklumat yang tiada sempadannya lagi. Sedangkan, pemikiran masyarakat masih keliru dan menjadi semakin menipis dalam soal keinsanan serta budaya kemasyarakatan semakin tenat meletakkan kemanusiaan sebagai hal yang utama.
Mungkin ada yang beranggapan, Bahasa Melayu yang termaktub sebagai bahasa kebangsaan dalam perlembagaan hanya lambang dan penjenamaan undang-undang semata-mata. Atau juga, ada yang beranggapan, ia hanya soal komunikasi dan tidak mampu memungkinkan apa-apa. Tanggapan begini telah merebak dan menjadi senjata senyap yang paling berkesan membunuh peranan dan kepentingan Bahasa Melayu sebagai pemangkin ke arah kebermaknaan masyarakat untuk membina peradaban dalam acuannya sendiri.
Menyedari hakikat ini, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak telah mengadakan Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 bermula pada 23 Mac 2008 hingga 29 Mac 2008. Program ini dilaksanakan selama enam hari iaitu dua hari di Bahagian Sri Aman (23 hingga 24 Mac 2008), dua hari di Bahagian Sarikei (25-26 Mac 2008) dan dua hari di Bahagian Bintulu (27-28 Mac 2008). Pemilihan ketiga-tiga bahagian ini didasari oleh hasrat merintis jalan pembukaan mencari kewajaran yang jitu. Atau sebagai program uji kaji melihat perspektif masyarakat setempat tentang Bahasa Melayu.
Justeru, program eksperimen ini, secara dasarnya cukup berjaya membuka ruang dan peluang untuk Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak meneliti, menilai dan menterjemahkan fungsi dan peranannya sebagai organisasi yang bertanggungjawab dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu. Di samping, memahami kehendak dan tuntutan masyarakat terhadap makna Bahasa Melayu secara lebih dekat dan mesra.
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak telah wujud di negeri Sarawak pada tahun 1977. Kewujudannya telah mengambil alih peranan dan fungsi BBLB di Sarawak. Setelah 30 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak menjalankan amanah dan tanggungjawabnya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak turut mengalami kesan kepudaran dari segi imej dan usahanya. Hal ini berlaku kerana impak daripada pelbagai isu sama ada di peringkat negeri mahupun negara.
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Kerjasama Bahasa dan Sastera (JKBS) peringkat Bahagian di seluruh negeri Sarawak pada tahun 2002 dengan harapan gabungan JKBS ini mampu menjadi medan menjalinkan kerjasama secara sinergi “perkongsian bijak” dalam usaha memeriahkan dan menyemarakkan hal-hal kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan di peringkat bahagian.
Secara umumnya Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 bermatlamatkan memasyarakatkan “DBP” sebagai agensi yang berkaliber, bertanggungjawab dan berperanan dalam usaha mengetengahkan ilmu bahasa, sastera dan budaya dan seterusnya menjadikan ia sebagai salah satu aktiviti Jawatankuasa Kerjasama Bahasa dan Sastera Bahagian yang disempenakan pula dengan acara sambutan 45 tahun kemerdekaan Sarawak bersama Malaysia.
Program yang berkonsepkan ziarah ini, cukup jelas cuba mendekati masyarakat setempat dalam hasrat untuk mencari kefahaman tentang perkembangan, kemampuan dan keperkasaan Bahasa Melayu untuk bersama-sama berada dalam arus pembangunan yang pesat. Bahasa Melayu tidak wajar tertinggal atau tidak dipedulikan. Walaupun apa alasannya. Bahasa Melayu harus berada di tempat yang sewajarnya. Bukan dianggap sebagai penghalang atau kekangan.
Usaha ini tentu sahaja amat memerlukan sokongan dan dukungan pelbagai pihak untuk bersama-sama menjayakannya. Sokongan dan dukungan tersebut bukan wujud oleh tuntutan undang-undang atau perlembagaan semata-mata tetapi harus terbina dalam pengertian nilai maruah negara dan jati diri bangsa yang mengakui dirinya rakyat Malaysia. Bangsa yang memiliki negara, bahasa dan budayanya tersendiri. Bangsa yang merdeka dan bersedia mendepani apa sahaja yang mengganggu-gugat kesejahteraan negara.
Oleh yang demikian, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak berasa amat bertuah dan beruntung kerana dalam usaha menjayakan Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak mendapat kerjasama yang cukup erat, padu dan jitu daripada Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Pejabat Residen Bahagian Sarikei dan Pejabat Residen Bahagian Bintulu.
Perkongsian bestari dengan penglibatan pihak berkuasa tempatan seperti Pejabat Residen yang memayungi jabatan kerajaan yang lain di setiap bahagian seperti, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Jabatan Penerangan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia, RTM, Jabatan Tanah dan Survei, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu dan sebagainya di setiap bahagian, bukan sahaja tercipta melalui rangkaian kerjasama tetapi juga dari segi melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Rangkaian kesefahaman dan permuafakatan tersebut telah menjalinkan daya usaha bersama-sama untuk membina, memacu dan memajukan masyarakat setempat bukan sahaja dari segi tuntutan fizikal, tetapi juga mental serta spiritualnya. Sebab, beban tugas yang agak berat menjadi cukup ringin dilakukan kerana masing-masing tahu dan cekap melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Sesungguhnya, Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 bukan dilihat dalam konteks keupayaan program itu dilaksanakan, tetapi proses pelaksanaannya menjadi fokus yang utama. Sememangnya, menjadi satu harapan, sambutan dan penglibatan banyak pihak dalam menjayakan usaha sebegini dituntut. Tetapi dalam sisi yang lain, setiap proses yang dilakukan memerlukan penilaian demi penilaian untuk mencetuskan sesuatu yang lebih berkesan. Tentu sahaja hal ini, mengundang pelbagai masalah dan rintangan.
Oleh yang demikian, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak menjadikan Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 terisi dengan pelbagai kegiatan berdasarkan fungsi yang jelas seperti sastera, bahasa dan penerbitan. Di samping, menggerakkan dasar korporatnya melalui Hari Mesra Pelanggan sebagai landasan mendekati masyarakat secara lebih terbuka dan langsung. Begitu juga halnya diadakan perlawanan persahabatan badminton dan futsal. Kegiatan ini hanya untuk merungkaikan keformalan antara Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dengan pihak berkuasa tempatan agar ada bibit-bibit kemesraan sebagai rakan seperjuangan.
Sememangnya, kalau masa dan tenaga menjadi perhitungan, jawapannya pasti penat dan letih yang terbayang. Namun, dalam usaha melaksanakan tanggungjawab dan amanah tersebut, Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008, memberi banyak impak kepada staf Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak yang terlibat. Pendekatan seperti “menanti orang mencari Dewan Bahasa dan Pustaka” tidak lagi relevan dengan keadaan. Kerana, masyarakat terlalu sibuk dengan pelbagai tuntutan yang lain dalam kehidupan.
Apa yang menarik, Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008, jelas membuktikan masyarakat masih dan amat memerlukan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam hal-hal kebahasaan, kesusasteraan, penerbitan dan juga kebudayaan. Sebagai contoh, perancangan untuk mengadakan Bengkel Pemurnian Karya bertukar menjadi ceramah sastera, membuktikan bahawa masyarakat setempat yang terlibat agak ketinggalan dalam mengetahui makna serta perkembangan sastera.
Lebih menarik, sebagai pihak yang bertanggungjawab, memenuhi kehendak masyarakat itu lebih bermakna daripada mengadakan sesuatu yang tidak mengisi keperluan masyarakat. Lantas, dipihak Dewan Bahasa dan Pustaka, pendekatan secara lebih anjal dalam penyediaan bahan ceramah atau bengkal amat perlu agar tidak menghampakan pihak tertentu. Ini terbukti, apabila Bengkel Pemurnian Karya di Bahagian Sri Aman, penyertaan yang dihadkan kepada 30 orang sahaja menjadi 46 orang peserta.
Begitu juga halnya dengan Bengkel Penerbitan Majalah Sekolah dan Bengkel Penerbitan Karya yang ditangani oleh Unit Pembangunan Karyawan dan Unit Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Pada mulanya, bengkel tersebut cuba untuk membimbing peserta tentang format serta keperluan penerbitan. Namun, atas permintaan peserta, bengkel tersebut menjadi sesi wacana penerangan dan penjelasan perihal penerbitan sama ada majalah sekolah, penerbitan berkala dan penerbitan buku.
Peserta yang terdiri daripada guru dan pelajar, selaku sidang redaksi majalah sekolah, amat merasakan bahawa setiap apa yang dilakukan memerlukan format yang penerbitan yang jelas di samping mengetahui lebih mendalam tentang hal-hal penerbitan secara lebih profesional. Tentu sahaja ilmu sebegini amat berguna bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga menjadi titik mula apabila pelajar ini nanti berada di luar alam persekolahan.
Selain itu, melalui Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 ini, turut mengadakan Bengkel Asas Penulisan Kreatif bagi memupuk minat penulis muda, khususnya pelajar. Bengkel yang dikendalikan oleh Hazami Jahari, lebih memfokuskan kepada kaedah dan teknik penulisan kreatif yang paling asas. Peserta diminta menghasilkan karya yang kemudiannya di bincang dan dibuat penambahbaikan.
Wacana Bahasa yang khusus diadakan untuk masyarakat awam, kakitangan kerajaan dan swasta lebih memfokuskan tentang perkembangan semasa Bahasa Melayu. Apa yang menarik, melalui kegiatan ini, masyarakat dapat berinteraksi secara langsung dengan penceramah iaitu Zasran Abdullah, yang merupakan salah seorang staf DBP penuh wibawa dalam soal kebahasaan. Kebetulan, isu semasa tentang bahasa menjadi bahan utama peserta mengajukan soalan.
Malam Kesenian yang diadakan pada malam sebelum peserta rombongan Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 berangkat keesokan harinya, seakan menjadi kegiatan penutup. Ucapan terima kasih wakil pengarah yang kemudian disambut dengan ucapan penutupan oleh tamu kehormat, mengisi harapan dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Sebagai memecah kebuntuan dan keresahan, Malam Kesenian terhidang dengan persembahan oleh anak seni tempatan. Walaupun ada persembahan yang sekadar mengisi ruang namun secara keseluruhannya mereka benar-benar memberi manfaat kepada perkembangan kebudayaan setempat secara langsung.
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak sedar bahawa, pelan tindakan serta strategi pelaksanaan harus berubah mengikut perubahan semasa. Perubahan itu wajar kerana masyarakat, khususnya pelanggan Dewan Bahasa dan Pustaka semakin matang dan bijak dalam menilai keperluan dan kehendak mereka. Walaupun demikian, dasar serta peraturan yang sedia masih menjadi pegangan. Lantaran itu, Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008, merintis catatan harapan ketika mendepani cabaran yang mendatang.

Sunday, April 27, 2008

Sastera Kita

SASTERA TULEN DAN SASTERA SOSIAL?
oleh: Ja’afar Haji Hamdan

Barangkali, isu yang hendak diperkatakan ini sudah pun dibincangkan pada masa lalu. Atau mungkin juga sudah menjadi bahan omong-omongan di mana-mana, khususnya di kalangan karyawan, seniman dan budayawan. Memang diakui, sukar untuk menjelaskan secara rinci apakah rasionalnya atau kewajarannya, dibangkitkan terma pemikiran melalui isu sebegini. Apatah lagi, sastera ditanggapi, seakan bukan satu disiplin yang mampu menyumbang dalam pembangunan negara.
Berlainan dengan sains, yang dianggap sebagai nadi pembangunan, yang mencetus revolusi teknologi, mewujudkan sistem kecanggihan dan membina tata kecekapan. Justeru, sains tulen mengemukakan teori keperkasaan dari segi pembuatan, pembangunan fizikal dan kehebatan prasarana bagi urusan perjalanan kehidupan. Sains sosial pula, mencari jalinan logik di sebalik kelakuan, kejadian dan alun persekitaran yang mendominasi kehidupan. Maka, di mana peranan sastera sebagai disiplin memanusiakan manusia itu dapat dirasionalkan kewujudannya pada era kini?
Barangkali juga, isu ini dianggap satu bebelan yang sengaja mengemukakan ruang sinis atau mungkin dianggap sengaja mengada-gada polimek bagi sesetengah insan yang bergelar karyawan. Tetapi kalau didalami kehendak dan tujuan, pasti isu ini memberi satu korpus baru dalam penilaian kita bersama terhadap perkembangan sastera. Namun, hal pertama yang harus kita lakukan adalah untuk bersama-sama mencari permulaan isu ini untuk diperbincangkan dalam korpus yang jelas dan teratur.
Sastera tulen dalam konteks yang sedia kita maklum adalah sastera yang dasar. Sastera dalam falsafah keindahan. Sebagai lakaran dan kutipan zaman. Mengemukakan nilai kemanusiaan yang hak. Mencorak realiti dalam tenunan imaginasi seperti yang diimpikan atau yang sebenarnya wajar dilakukan. Membangun dengan suasana subjektif yang penuh nilai. Membina ketamadunan pemikiran berdasarkan zaman dan yang ada kalanya mampu menembusi masa depan sehingga menyerlahkan peradapan.
Bagaimana pula sastera sosial? Barangkali kita wajar kembali meneliti isu “seni untuk seni” dan “seni untuk masyarakat” sewaktu dipolimekkan dahulu. Akhirnya, kita memilih “seni untuk masyarakat”. Kenapa? Sudah tentu ada rasionalnya. Bagi yang tidak mengetahuinya, kenalah membaca perihal Asas 50. Sejarah sastera cukup penting untuk kita melihat jalur perkembangannya.
Atau juga, disiplin sastera tidak wajar dipecahkan menjadi tulen dan sosial. Bahkan ada di kalangan sarjana yang menegaskan bahasa sastera ada dalam semua disiplin ilmu lain. Lantaran sastera boleh berdiri sama ada dalam disiplin ilmunya sendiri ataupun dalam disiplin ilmu lain. Hal ini, tentu sekali mampu menjadi satu peluang untuk diperdebatkan!
Barangkali, sastera sosial boleh dilihat dari sudut pembinaan kreativiti. Sisi pemikiran yang memerlukan tanggapan yang tepat dalam kesubjektifan yang wujud. Kalau dalam sains, perlu ada keobjektifan yang benar, maka dalam sastera itu perlu ada keobjektifan yang telus hasil kesubjektifan yang tepat. Sebagai contoh, sains melahirkan bom sebagai alat mempertahankan negara, tetapi sastera melihat bom bukan sahaja mempertahankan negara tetapi juga memusnahkan negara. Lalu, mana yang lebih objektif, kebenaran yang logik atau kebenaran yang murni atau telus?
Menurut Teresa Amabile dalam bukunya Breakthrough Thinking, kreativiti ialah proses yang bersifat asli, baru difikirkan dan dalam sesetengah keadaan ia berguna. Mike Vance dalam bukunya Break Out of The Book, menjelaskan bahawa kreativiti ialah menghasilkan sesuatu yang baru dan menyusun semula sesuatu yang lama. Secara umum, kalau kita rumuskan ketiga-tiga pendapat ini, kreativiti adalah pemikiran yang ditentukan oleh pola pemikiran yang asli, bersifat baru dengan membuat penambahbaikan tentang yang lama melalui pemikiran yang orang lain tidak pernah memikirkannya.
Berdasarkan kenyataan di atas, ada tiga elemen yang wajar menjadi isi perbincangan. Pertama, pemikiran yang asli. Kedua, pemikiran yang baharu dan ketiga, pemikiran ke arah membuat penambahbaikan. Seandainya sastera sosial diteliti melalui pembinaan kreativiti, jelas bahawa pemikiran yang asli harus dibangunkan dengan hak pencipta. Kalau seorang Islam, maka Al-Quran dan hadis menjadi nilai keaslian mereka. Tidak ada tolak ansur dalam hal ini dari segi nilai.
Apa pula kaitannya dengan pemikiran baharu dalam konteks sastera sosial? Paling jelas, kita menerima yang benar dan menolak yang tidak benar selaras dengan pemikiran asli kita. Mana mungkin, kita harus menjadikan yang sememangnya tidak baik sebagai sesuatu yang baik. Contohnya, kekejaman. Kalau sains menyatakan bahawa sebuah negara itu ada pengganas, apakah harus dihapus segala yang ada di negara tersebut?
Begitu juga dengan pemikiran ke arah penambahbaikan. Sastera dalam konteks “sosial” berperanan besar untuk membuat andaian, perbandingan dan penyusunan dalam meneliti corak dan budaya kehidupan. Bukan hanya semata-mata mencatat, merakam dan menyatakan tetapi memberi penilaian, dorongan serta kesedaran. Inilah ruang yang perlu dilakukan penambahbaikan, bukan ruang untuk semakin menyempitkan pentafsiran tentang nilai!
Sememangnya kita tidak dapat lari daripada globalisasi sebagai aspek persekitaran. Tetapi kita juga tidak harus lupa bahawa kita mempunyai tradisi sebagai jalur peradapan kita. Kita memang tidak mungkin dapat menyisihkan globalisasi sebagai elemen kemajuan tetapi kita juga jangan cuba menyisih pegangan dan kepercayaan hidup kita sebagai roh kehidupan kita kerana untuk memungkinkan globalisasi harus berada di hadapan dalam kehidupan kita.
Kita juga tidak mungkin mampu menolak globalisasi sebagai faktor pembangunan tetapi kita jangan menolak kesedaran kita sebagai budaya berfikir hanya kerana tuntutan globalisasi semata-mata. Apa pun kita perlu punya semangat globalisme tetapi dengan corak dan acuan kita sendiri agar kekinian kita terima dengan keaslian yang kita punya.
Kita sebenarnya kini, telah acap kali hilang pertimbangan secara sedar dalam meletakkan hukum. Pertikaian tentang hak dan yang termaktub sebagai satu dasar addin pun menjadi persoalan. Rasional diangkat terlalu tinggi sehingga menenggelamkan sesuatu yang telah jelas dari segi kefarduan serta yang hak. Persoalan yang remeh temeh menjadi perkara besar kerana memberi pulangan atau keuntungan kepada orang lain. Perkara yang wajar ditekankan menjadi hal-hal kecil dan diperlecehkan.
Inilah yang cuba dikaitkan mengapa “seni untuk seni” selaras dengan kehendak “sastera untuk sastera” yang terlalu menulenkan falsafah keindahan, sedangkan penyataan yang luhur bukan hanya memerlukan keindahan tetapi juga kejiwaan keindahan itu sendiri. Justeru, sastera harus ditanggapi sebagai konteks sosial yang merupakan satu kehidupan dan memerlukan matlamat yang jelas.
Pemanfaatan terhadap segala bentuk kejadian yang ada di sekeliling kita wajar memenuhi matlamat kehidupan itu sendiri. Perkembangan dunia serta kepesatan pemodenan merupakan proses yang tiada titik noktah selagi bumi masih berputar. Kefahaman kita terhadap kesusasteraan yang kita rintis, wajar diambil kira keperluan yang mampu memberi kepuasan, kematangan, keilmuan, kesedaran dan keinsafan bagi menjana kehidupan yang bermatlamat sekalipun penuh liku.
Walaupun kehidupan yang kita terokai kini satu persinggahan dalam konteks pemikiran asli kita, namun ia merupakan satu nilai realiti yang masih perlu dilakukan dengan sebaik mungkin, kerana penjanaan makna di akhir kehidupan bukan hanya dipupuk melalui kesan sementara tetapi juga yang melibatkan pengalaman emosi agar sedar dan pengalaman spirituil tentang kewujudan kita serta pencipta yang maha besar.
Pengalaman emosi penting bagi kita merasakan proses kehidupan yang merencah pelbagai bentuk suka duka. Pengalaman ini mematangkan kita apabila berdepan dengan suasana yang sama ada menggembirakan atau mendukacitakan. Inilah peranan sastera sosial melalui karya, bukan hanya direncam dengan lapisan demi lapisan logik sahaja. Harus ada “perasaan” insaf dan kagum.
Pengalaman spirituil amat penting didorong melalui pembelajaran kehidupan dengan proses yang sama. Kesedaran dan keinsafan menjadi tunjang bahawa segala apa yang kita lakukan sewajarnya berpaksi kepada perkara yang benar, memanfaatkan kepada diri dan orang lain serta mengabdikan diri kepada-Nya. Sememangnya itulah tujuan untuk kita hidup dan perjalanan yang telah, sedang dan akan kita lalui adalah perjalanan yang menentukan kita memilih perhentian abadi. Ini juga harus dimanfaatkan dalam sastera sosial tetapi bukan pula menolak sastera tulen.
Kita sebenarnya terlalu mudah untuk melihat sesuatu yang tidak baik sebagai perbandingan. Kita selalu menjadikan kelemahan dan yang tidak baik sebagai asas utama bagi membangkitkan pelbagai andaian dan tanggapan. Justeru, sering kita perhatikan bahawa kehidupan seakan tidak ada kesudahan untuk menemui keindahan, kebahagian dan kesenangan.
Sedangkan hal-hal yang terjadi merupakan “sastera sosial” kita secara mutlak, yang kita lalui sebagai satu “penceritaan” dalam hidup kita. Maka, kalau dalam karya kita mampu menjadikan penceritaan ditamatkan dengan “happy ending”, mengapa tidak kehidupan yang kita jalani ini juga berakhir dengan “happy ending”. Pokoknya, kemahuan!
Fenomena ini wajar di aplikasi dalam kehidupan harian kita. Kita boleh mencari kelemahan agar dapat memberi inspirasi kepada kekuatan lain. Namun bukan membesar-besarkan kelemahan. Kononnya mencari ubat bagi memberi kekuatan. Proses ini menjadi cukup panjang. Ada kalanya tidak mencapai matlamat. Akhirnya, berlaku keberterusan “lemah” yang lebih parah.
Memperbetulkan kelemahan dan membina kekuatan dua proses yang terjalin dari jalur yang berbeza. Kelemahan, yang dianggap negatif akan melalui proses penilaian semula sedangkan membina kekuatan melalui proses perangkaan. Berbezaan ini tentu sahaja akan menimbulkan persepsi lain dalam pengertian menilai dan merangka. Barangkali sudah tiba masanya kita menterbalikkan kaedah ini dengan memberi keutamaan kepada kekuatan diri berbanding melihat kelemahan semata-mata. Mampukah sastera sosial berperanan menterbalikkan tuntutan dalam konteks sastera tulen?
Kita nilai kembali kekuatan kita yang mungkin mampu merangka proses menjana semaksimum mungkin kekuatan bagi menangani kelemahan kita. Kita “besar-besarkan” kekuatan kita dengan hasrat memberi sesuatu yang lebih bermakna untuk diri sendiri dan juga orang lain. Biar ia menular dalam diri sebagai sesuatu yang dibanggakan dan bukan ditunjuk-tunjuk yang akan menyebabkan lupa kepada nilai sebenar kekuatan tersebut. Kita jadikan proses kehidupan berpijak di atas kekuatan kita yang ada di samping merangka kembali penambahbaikan terhadap kelemahan kita.
Perhatikan juga perkembangan semasa, kebanyakan pemikir besar dunia memberi penilaian semula ke atas setiap kejayaan yang telah dicapai oleh tokoh-tokoh besar dari semua segi disiplin kehidupan. Sama ada ekonomi, teknologi, sosial dan sebagainya. Mereka meletakkan kekuatan yang menjadi asas kejayaan telah memberi impak cukup besar dalam pemikiran semula manusia.
Tetapi, kekuatan itu hanya mampu diterjemahkan melalui kesan ketulenan bukan yang mampu digabungkan dengan imaginasi yang juga mampu direalitikan. Ini berlaku, kerana kelemahan hanya dianggap satu proses hambatan yang akan lenyap sekiranya kita mengutamakan kekuatan sebagai dorongan dan rangsangan. Kelemahan juga akan melalui proses perubahan berdasarkan situasi yang dijana oleh kekuatan diri kita.
Apa pula kaitan kelemahan dengan “sastera sosial” yang kita bincangkan? Jelas, bahawa sastera sosial telah sekian lama wujud dalam peradapan kita. Bahkan telah mewarnai nilai-nilai kehidupan kita. Tetapi kita lebih menyakini bahawa sastera tulen, yang terpapar dengan mitos dan lagenda seakan menutup kehebatan jiwa keindahan sebenar ketamadunan kita.
Ini bukan bermaksud kita menjadi hipokrit dalam pengertian mengutamakan sesuatu yang ada di depan kita. Tetapi kita harus berpijak di bumi yang nyata bahawa kelemahan yang ada mampu juga menjadi kekuatan sekiranya ia dibina daripada kekuatan kita yang ada. Kelemahan akan kita usaha untuk dipulihkan namun kekuatan sentiasa kita pelihara dan tingkatkan bagi memberi ruang dan peluang baru dalam diri kita.
Dalam agama pun disarankan agar kita tidak menceritakan keaiban diri dan juga orang lain. Kata pemikir besar, adalah lebih bermakna kita bercerita tentang orang kerana kebaikannya sebagai satu dakwah untuk mengajak ke arah kebaikan juga berbanding bercerita tentang keburukan orang yang akan menimbulkan sengketa dan dosa. Barangkali kenyataan ini memungkinkan jalur sastera sosial dan sastera tulen dapat dijernihkan untuk diberi pengertian yang lebih mendalam.
Semoga sastera kita terbina kerana “hubungan kita dengan tuhan dan hubungan kita sesama manusia” tersemai dalam kesedaran serta penuh tanggungjawab. Sekadar untuk ingatan bersama, sengaja diulangi ungkapan, bahawa sastera bukan hanya falsafah keindahan yang logik tetapi merupakan falsafah keindahan yang berjiwa murni dan suci!
Sesungguhnya, barangkali akan timbul kecelaruan pengertian, kesukaran menjejak kefahaman dan kekalutan membuat pentafsiran pada perbincangan ini. Namun, apa yang diharapkan, selepas ini, ada di kalangan cerdik pandai atau sarjana yang lebih arif mampu memberi ruang kebermaknaan tentang isu ini dengan lebih menyakini, agar sastera bukan lagi satu disiplin sampingan tetapi menjadi disiplin yang utama dalam pembangunan kemanusiaan. Wallahualam.