CATATAN HARAPAN MENDEPANI CABARAN
Jerayawara Baahsa dan Sastera 2008
oleh: Ja’afar Haij Hamdan
Usaha memartabatkan Bahasa Melayu menjadi cukup besar maknanya dalam keadaan sekarang. Bukan sahaja yang melibatkan dasar tetapi juga yang wujud melalui tanggapan. Semuanya tercetus oleh nilai dan keyakinan masyarakat sebagai pendukung atau penggunanya. Pembangunan seakan menjadi alasan, walhal, sumbangan Bahasa Melayu dalam pemodenan tidak pernah diteliti sebagai pembudayaan masyarakat meyakini hak dan pemilikannya yang mutlak.
Lantas, pembangunan tercipta dalam lingkaran yang mementingkan soal fizikal semata-mata. Maka, terbina gah bangunan yang mencakar langit. Tergambar prasarana yang canggih. Wujud rangkaian maklumat yang tiada sempadannya lagi. Sedangkan, pemikiran masyarakat masih keliru dan menjadi semakin menipis dalam soal keinsanan serta budaya kemasyarakatan semakin tenat meletakkan kemanusiaan sebagai hal yang utama.
Mungkin ada yang beranggapan, Bahasa Melayu yang termaktub sebagai bahasa kebangsaan dalam perlembagaan hanya lambang dan penjenamaan undang-undang semata-mata. Atau juga, ada yang beranggapan, ia hanya soal komunikasi dan tidak mampu memungkinkan apa-apa. Tanggapan begini telah merebak dan menjadi senjata senyap yang paling berkesan membunuh peranan dan kepentingan Bahasa Melayu sebagai pemangkin ke arah kebermaknaan masyarakat untuk membina peradaban dalam acuannya sendiri.
Menyedari hakikat ini, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak telah mengadakan Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 bermula pada 23 Mac 2008 hingga 29 Mac 2008. Program ini dilaksanakan selama enam hari iaitu dua hari di Bahagian Sri Aman (23 hingga 24 Mac 2008), dua hari di Bahagian Sarikei (25-26 Mac 2008) dan dua hari di Bahagian Bintulu (27-28 Mac 2008). Pemilihan ketiga-tiga bahagian ini didasari oleh hasrat merintis jalan pembukaan mencari kewajaran yang jitu. Atau sebagai program uji kaji melihat perspektif masyarakat setempat tentang Bahasa Melayu.
Justeru, program eksperimen ini, secara dasarnya cukup berjaya membuka ruang dan peluang untuk Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak meneliti, menilai dan menterjemahkan fungsi dan peranannya sebagai organisasi yang bertanggungjawab dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu. Di samping, memahami kehendak dan tuntutan masyarakat terhadap makna Bahasa Melayu secara lebih dekat dan mesra.
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak telah wujud di negeri Sarawak pada tahun 1977. Kewujudannya telah mengambil alih peranan dan fungsi BBLB di Sarawak. Setelah 30 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak menjalankan amanah dan tanggungjawabnya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak turut mengalami kesan kepudaran dari segi imej dan usahanya. Hal ini berlaku kerana impak daripada pelbagai isu sama ada di peringkat negeri mahupun negara.
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Kerjasama Bahasa dan Sastera (JKBS) peringkat Bahagian di seluruh negeri Sarawak pada tahun 2002 dengan harapan gabungan JKBS ini mampu menjadi medan menjalinkan kerjasama secara sinergi “perkongsian bijak” dalam usaha memeriahkan dan menyemarakkan hal-hal kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan di peringkat bahagian.
Secara umumnya Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 bermatlamatkan memasyarakatkan “DBP” sebagai agensi yang berkaliber, bertanggungjawab dan berperanan dalam usaha mengetengahkan ilmu bahasa, sastera dan budaya dan seterusnya menjadikan ia sebagai salah satu aktiviti Jawatankuasa Kerjasama Bahasa dan Sastera Bahagian yang disempenakan pula dengan acara sambutan 45 tahun kemerdekaan Sarawak bersama Malaysia.
Program yang berkonsepkan ziarah ini, cukup jelas cuba mendekati masyarakat setempat dalam hasrat untuk mencari kefahaman tentang perkembangan, kemampuan dan keperkasaan Bahasa Melayu untuk bersama-sama berada dalam arus pembangunan yang pesat. Bahasa Melayu tidak wajar tertinggal atau tidak dipedulikan. Walaupun apa alasannya. Bahasa Melayu harus berada di tempat yang sewajarnya. Bukan dianggap sebagai penghalang atau kekangan.
Usaha ini tentu sahaja amat memerlukan sokongan dan dukungan pelbagai pihak untuk bersama-sama menjayakannya. Sokongan dan dukungan tersebut bukan wujud oleh tuntutan undang-undang atau perlembagaan semata-mata tetapi harus terbina dalam pengertian nilai maruah negara dan jati diri bangsa yang mengakui dirinya rakyat Malaysia. Bangsa yang memiliki negara, bahasa dan budayanya tersendiri. Bangsa yang merdeka dan bersedia mendepani apa sahaja yang mengganggu-gugat kesejahteraan negara.
Oleh yang demikian, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak berasa amat bertuah dan beruntung kerana dalam usaha menjayakan Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak mendapat kerjasama yang cukup erat, padu dan jitu daripada Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Pejabat Residen Bahagian Sarikei dan Pejabat Residen Bahagian Bintulu.
Perkongsian bestari dengan penglibatan pihak berkuasa tempatan seperti Pejabat Residen yang memayungi jabatan kerajaan yang lain di setiap bahagian seperti, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Jabatan Penerangan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia, RTM, Jabatan Tanah dan Survei, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu dan sebagainya di setiap bahagian, bukan sahaja tercipta melalui rangkaian kerjasama tetapi juga dari segi melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Rangkaian kesefahaman dan permuafakatan tersebut telah menjalinkan daya usaha bersama-sama untuk membina, memacu dan memajukan masyarakat setempat bukan sahaja dari segi tuntutan fizikal, tetapi juga mental serta spiritualnya. Sebab, beban tugas yang agak berat menjadi cukup ringin dilakukan kerana masing-masing tahu dan cekap melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Sesungguhnya, Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 bukan dilihat dalam konteks keupayaan program itu dilaksanakan, tetapi proses pelaksanaannya menjadi fokus yang utama. Sememangnya, menjadi satu harapan, sambutan dan penglibatan banyak pihak dalam menjayakan usaha sebegini dituntut. Tetapi dalam sisi yang lain, setiap proses yang dilakukan memerlukan penilaian demi penilaian untuk mencetuskan sesuatu yang lebih berkesan. Tentu sahaja hal ini, mengundang pelbagai masalah dan rintangan.
Oleh yang demikian, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak menjadikan Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 terisi dengan pelbagai kegiatan berdasarkan fungsi yang jelas seperti sastera, bahasa dan penerbitan. Di samping, menggerakkan dasar korporatnya melalui Hari Mesra Pelanggan sebagai landasan mendekati masyarakat secara lebih terbuka dan langsung. Begitu juga halnya diadakan perlawanan persahabatan badminton dan futsal. Kegiatan ini hanya untuk merungkaikan keformalan antara Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dengan pihak berkuasa tempatan agar ada bibit-bibit kemesraan sebagai rakan seperjuangan.
Sememangnya, kalau masa dan tenaga menjadi perhitungan, jawapannya pasti penat dan letih yang terbayang. Namun, dalam usaha melaksanakan tanggungjawab dan amanah tersebut, Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008, memberi banyak impak kepada staf Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak yang terlibat. Pendekatan seperti “menanti orang mencari Dewan Bahasa dan Pustaka” tidak lagi relevan dengan keadaan. Kerana, masyarakat terlalu sibuk dengan pelbagai tuntutan yang lain dalam kehidupan.
Apa yang menarik, Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008, jelas membuktikan masyarakat masih dan amat memerlukan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam hal-hal kebahasaan, kesusasteraan, penerbitan dan juga kebudayaan. Sebagai contoh, perancangan untuk mengadakan Bengkel Pemurnian Karya bertukar menjadi ceramah sastera, membuktikan bahawa masyarakat setempat yang terlibat agak ketinggalan dalam mengetahui makna serta perkembangan sastera.
Lebih menarik, sebagai pihak yang bertanggungjawab, memenuhi kehendak masyarakat itu lebih bermakna daripada mengadakan sesuatu yang tidak mengisi keperluan masyarakat. Lantas, dipihak Dewan Bahasa dan Pustaka, pendekatan secara lebih anjal dalam penyediaan bahan ceramah atau bengkal amat perlu agar tidak menghampakan pihak tertentu. Ini terbukti, apabila Bengkel Pemurnian Karya di Bahagian Sri Aman, penyertaan yang dihadkan kepada 30 orang sahaja menjadi 46 orang peserta.
Begitu juga halnya dengan Bengkel Penerbitan Majalah Sekolah dan Bengkel Penerbitan Karya yang ditangani oleh Unit Pembangunan Karyawan dan Unit Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Pada mulanya, bengkel tersebut cuba untuk membimbing peserta tentang format serta keperluan penerbitan. Namun, atas permintaan peserta, bengkel tersebut menjadi sesi wacana penerangan dan penjelasan perihal penerbitan sama ada majalah sekolah, penerbitan berkala dan penerbitan buku.
Peserta yang terdiri daripada guru dan pelajar, selaku sidang redaksi majalah sekolah, amat merasakan bahawa setiap apa yang dilakukan memerlukan format yang penerbitan yang jelas di samping mengetahui lebih mendalam tentang hal-hal penerbitan secara lebih profesional. Tentu sahaja ilmu sebegini amat berguna bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga menjadi titik mula apabila pelajar ini nanti berada di luar alam persekolahan.
Selain itu, melalui Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 ini, turut mengadakan Bengkel Asas Penulisan Kreatif bagi memupuk minat penulis muda, khususnya pelajar. Bengkel yang dikendalikan oleh Hazami Jahari, lebih memfokuskan kepada kaedah dan teknik penulisan kreatif yang paling asas. Peserta diminta menghasilkan karya yang kemudiannya di bincang dan dibuat penambahbaikan.
Wacana Bahasa yang khusus diadakan untuk masyarakat awam, kakitangan kerajaan dan swasta lebih memfokuskan tentang perkembangan semasa Bahasa Melayu. Apa yang menarik, melalui kegiatan ini, masyarakat dapat berinteraksi secara langsung dengan penceramah iaitu Zasran Abdullah, yang merupakan salah seorang staf DBP penuh wibawa dalam soal kebahasaan. Kebetulan, isu semasa tentang bahasa menjadi bahan utama peserta mengajukan soalan.
Malam Kesenian yang diadakan pada malam sebelum peserta rombongan Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 berangkat keesokan harinya, seakan menjadi kegiatan penutup. Ucapan terima kasih wakil pengarah yang kemudian disambut dengan ucapan penutupan oleh tamu kehormat, mengisi harapan dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Sebagai memecah kebuntuan dan keresahan, Malam Kesenian terhidang dengan persembahan oleh anak seni tempatan. Walaupun ada persembahan yang sekadar mengisi ruang namun secara keseluruhannya mereka benar-benar memberi manfaat kepada perkembangan kebudayaan setempat secara langsung.
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak sedar bahawa, pelan tindakan serta strategi pelaksanaan harus berubah mengikut perubahan semasa. Perubahan itu wajar kerana masyarakat, khususnya pelanggan Dewan Bahasa dan Pustaka semakin matang dan bijak dalam menilai keperluan dan kehendak mereka. Walaupun demikian, dasar serta peraturan yang sedia masih menjadi pegangan. Lantaran itu, Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008, merintis catatan harapan ketika mendepani cabaran yang mendatang.
Wednesday, May 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment