Sunday, December 28, 2008

DOA


SAJAK



BICARA KITA
(buat teman dalam dunia sastera)

Dengan kata-kata
engkau tikam;
kerisnya racun rindu
menusuk dalam-dalam
pedih dan ngilu,
aku jadi sendu

Dengan helah kata
engkau rejam;
lembingnya cabang makna
menembusi santun susila
perih dan perit
aku jadi sakit

Dengan muslihat kata
engkau bidik;
pistolnya berpeluru dusta
menembusi jantung rasa
parah berdarah
aku jadi resah

Dengan dalih kata
engkau ragut;
tangannya pura-pura
meranapkan sumpah setia
hancur berkecai
aku jadi kesal

Lalu, dari indah kata-kata
engkau bunuh segalanya
dengan pelbagai cara
menilai sebuah bicara;
lalu aku menjadi amat kecewa !

Kuching.

DIALOG TELUK

DIALOG TELUK KE-6, PEMANGKIN PERSAUDARAAN SERANTAU


Peradaban manusia lahir daripada suatu proses perubahan sosial dan kebudayaan dalam suatu tempoh waktu yang panjang. Kompleks atau tidaknya tergantung pada kebijaksanaan kelompok manusia itu menangani dan memajukannya. Sama ada untuk menjadi masyarakat yang menguasai ilmu pengetahuan dan bersedia menerima desakan pembangunan semasa dari semua segi dan sudut secara positif tanpa mengabaikan nilai diri.
Sesebuah bangsa mempunyai kebudayaan tersendiri sebagai ketamadunannya. Citranya ditentukan oleh kesedaran terhadap tahap pendidikan dan kekuatan mereka mengamalkan kehidupan berbudaya tinggi. Elemen politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan menjadi daya tujah dalam usaha membina ketamadunan sesuatu bangsa. Ini selaras dengan tuntutan dan proses perkembangan dunia memasuki alaf baharu ini. Pengaruh globalisasi dan liberalisasi turut menyerap dalam nilai “diri” sesuatu bangsa.
Menyedari hakikat ini, negara seperti Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik memerlukan komitmen mereka untuk bersama-sama menjiwai kenegaraannya. Khususnya, negeri seperti Sabah dan Sarawak yang sememangnya mempunyai kepelbagaian kaum dan etnik. Kepelbagaian ini menjadi inti utama menjalinkan kesefahaman yang padu, telus dan murni. Negara seperti Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan konsep majmuk, namun kemajmukan itu wajar dan harus dipelihara dari semasa ke semasa sesuai dengan hasrat dan cita-cita menjadi negara maju pada 2020.
Hal ini cukup penting kerana bangsa Malaysia sedang berhadapan dengan krisis budaya dan konflik nilai sosial ketika usaha ke arah menjadi negara maju semakin hampir. Justeru, konsep budaya bangsa Malaysia dalam acuan sendiri sebagai sebuah negara yang maju sewajarnya diperbincangkan dengan melihat sejarah, proses perkembangan pembangunan fizikal, mental serta spiritual, senario semasa dan tanggapan masa akan datang diperhalusi, sesuai dengan nilai dan terma bangsa Malaysia secara mutlak dan tuntas.
Kebermaknaan budaya bangsa Malaysia sebagai asas mengembalikan nilai bangsa dalam arus semasa menjadikan usaha yang berlipat ganda serta berterusan dilakukan. Walaupun demikian, penglibatan seluruh peringkat masyarakat begitu penting bagi menjamin kekalnya penghayatan dan amalannya. Untuk itu, perancangan kebudayaan dan kesenian perlu mempertimbangkan usaha memperbanyak dan mempromosikan keilmuan secara lebih langsung dan terancang melalui pertemuan, dialog, perbincangan, diskusi dan sebagainya.
Ini termasuklah melalui kaedah eksperimentasi dan penyesuaian terhadap sesuatu yang baharu bagi tujuan pendidikan dan perkembangan; mewujudkan komunikasi dan penyebaran maklumat yang berkesan serta melibatkan peranan sebaran am dan mempopularkan keperluan khidmat sosiobudaya secara lebih menyeluruh dan berfokus.
Ini memerlukan peranan penulis yang dianggap karyawan, budayawan dan sasterawan agar sama-sama menjadikan ruang dan peluang yang ada sebagai jalan ke arah tersebut. Ia harus menjadi prinsip dan pegangan mereka. Persoalan ini menjadi cukup penting kerana, keadaan semasa telah mendesak agar generasi dan masyarakat kini lebih mengutamakan budaya asal ada dan hiburan semata-mata.
Kalau kita perhatikan di sekeliling kita, maka jelas sekali pembudayaan itu telah sedikit demi sedikit menjadi amalan dan kita khuatir ia akan menjadi tradisi bangsa kita. Ini semua tercorak melalui pemikiran. Pemikiran akan menentukan rangka perancangan dan langkah tindakan.
Menurut Datuk Hassan Ahmad tradisi pemikiran merupakan pengalaman sesuatu bangsa yang berfikir merenungi dan memahami alamnya, baik alam kosmos mahu pun alam terdekat di sekeliling kehidupan sehariannya, sehingga daripada pengalaman itu terhasil beberapa banyak teks yang dapat dikaji sebagai penanda pandangan atau falsafah hidup bangsa itu secara kolektifnya.
Teks-teks itu memberi petunjuk kepada kita tentang konsep ilmu bangsa itu, tentang kaedah berfikir bangsa itu dan tentang proses penciptaan makna yang dilakukan oleh bangsa itu melalui bahasanya sendiri. Tradisi pemikiran kita tidak pernah mengajar kita kurang ajar. Tradisi pemikiran kita cukup analogis sifatnya, kerana pemikiran disampaikan melalui kaedah perumpamaan, kiasan, tamsil ibarat dan juga melalui teknik ironi yang dilihat sebagai menyerlahkan sifat kegeniusan, kegeligaan dan kebijaksanaan minda kita.
Barangkali ini selaras dengan kenyataan Datuk Hassan Ahmad bahawa kita mempunyai tradisi pemikiran yang luar biasa kreatifnya hasil perekayasaan budaya atau cultural production dan repduction sepanjang zaman melalui pertembungan pelbagai tamadun luar- dari India, Islam, Barat dan lebih lagi dari alamnya sendiri dalam membina tradisi pemikiran.
Kini kita menghadapi pelbagai cabaran pembudayaan di dalam serta di luar sama ada peringkat negeri atau negara. Di dalamnya kita semakin terhimpit oleh sindrom lupa sejarah dan pengertian "kesusahan untuk memenangi kesenangan" bagi generasi baru. Di luar kita semakin terdesak oleh dunia menjadi sebuah kampung kabilah (a tribal village) dengan berkonsepkan dunia tanpa sempadan (borderless world) hingga ke dasar langit terbuka (open-sky policy) dan ledakan teknologi maklumat (information technology explosion).
Justeru, peranan karyawan, budayawan dan sasterawan harus dan wajar melihat fenomena ini sebagai satu cabaran yang maha dahsyat. Cabaran yang harus didepani dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran. Barangkali wajar kita sama-sama menghayati pendapat Tun Mahathir Mohamad tentang penggiat bahasa dan sastera. Katanya
“Pada zaman moden, sistem komunikasi telah menjadi alat pembentukan masyarakat yang penting dan para intelek dan penulis menjadi golongan penting bagi menggerakkan dan mempengaruhi sistem ini. Dengan kata lain, pemikiran dan masa depan sesuatu masyarakat secara langsung atau tidak langsung dikuasai oleh para intelek dan penulis”
Begitu juga dengan penegasan novelis terkenal Peru, Mario Vargas yang pernah berkata bahawa “Penulis boleh menyumbang ke arah ini, seperti apa yang terjadi pada waktu lalu apabila mereka masih yakin bahawa kesusasteraan bukanlah menghibur semata-mata, tetapi adalah untuk membangkitkan keprihatinan, untuk memberi amaran tentang bahaya dan untuk mengilhamkan tindakan terhadap cita-cita yang unggul”
Menyedari hakikat ini, Dialog Teluk ke-6 telah diadakan semula setelah hampir tujuh tahun tidak dilaksanakan. Dialog yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan ini telah dilaksanakan pada 14 hingga 16 November 2008. Tema dialog kali ini ialah “Teluk Pemangkin Persaudaraan Serantau”. Sekitar hampir 100 orang peserta telah berkampung di Hotel Sara, Wilayah Persekutuan Labuan bagi merealisasikan kegiatan ini.
Berdasarkan sejarah, program Dialog Teluk (DITEL) pada awalnya diberi nama Dialog Penulis Teluk dan dirintis oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) pada 24 hingga 26 Disember 1987 sebagai Dialog Teluk yang pertama. Program ini mendapat sokongan dan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Maka, program ini kemudiannya dilanjutkan pula oleh Angkatan Sasterawan Brunei (ASTERAWANI) pada 24 hingga 26 Disember 1988 di Bandar Seri Begawan. Nama program ini kemudiannya ditukar kepada Dialog Teluk Brunei dan dianggap sebagai Dialog Teluk kedua.
Selepas itu, program ini diteruskan oleh Badan Seni Budaya Limbang pada 29 hingga 31 Mei 1990. Sewaktu program ini diadakan di Limbang, program ini dinamakan semula sebagai Dialog Teluk yang ketiga. Program Dialog Teluk keempat sepatutnya diadakan di Sabah pada tahun berikutnya, tetapi kerana kekangan dana maka Dialog Teluk tidak dapat diadakan. Setelah hampir tujuh tahun, pada 10 hingga 14 Julai 1997, Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) telah mengadakan semula Dialog Teluk di Kota Kinabalu. Ini dianggap Dialog Teluk yang keempat.
Dialog Teluk kelima diadakan di Sipitang pada 10 hingga 12 November 2001 oleh Majlis Bahasa dan Sastera Negeri Sabah. Objektif asal program ini diadakan ialah sebagai wadah kepada bahan-bahan kebahasaan dan kesusasteraan di kawasan wilayah pesisir Teluk Brunei. Program Dialog Teluk ini seperti juga Dialog Utara, Dialog Pantai dan Dialog Selatan di Semenanjung Malaysia.
Justeru, matlamat program ini khusus menghimpunkan penulis, karyawan dan budayawan dalam usaha menjalinkan kerjasama dan mengeratkan silaturahim. Di samping itu juga, melalui pertemuan ini dapat dijadikan medan memperkenalkan adat budaya masyarakat setempat. Maka, Dialog Teluk kali keenam ini, menjadi titik mula untuk mengimarahkan kembali peranan Dialog Teluk.
Melalui temanya “Teluk Pemangkin Persaudaraan Serantau” , Dialog Teluk keenam ini terisi dengan satu ucap utama dan sejumlah 11 buah kertas kerja. Ucap utama telah disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Zainal Kling. Inti ucap utama berkisar tentang tema dan kaitannya dengan keadaan semasa. Di samping peranan karyawan dalam usaha menjadikan dialog sebagai landasan memulakan semangat baharu memartabatkan Bahasa Melayu.
Di samping itu, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling juga membuat penegasan bahawa, konsep Melayu berlandaskan Melayu serantau yang meliputi Nusantara. Justeru, tambahnya, tidak timbul istilah “pelbagai kaum” bagi membezakan kelompok ini. Adapun pembahagian itu berlaku kerana konsep etnik yang melalui pembahagian masyarakat berdasarkan penempatan dan adat resam yang diwarisi.
Pembentangan 11 buah kertas kerja memberi pelbagai dimensi perbincangan. Namun, masih menjadikan tema dialog sebagai inti pati utama perbincangan. Negara Brunei diwakili oleh Haji Jawawi Haji Ahmad dengan kertas kerjanya berjudul “Bahasa Beradat” Disanjung Kepuitisan Kata-Kata Merantang Ilmu Disambut” dan Tuan Haji Ariff dengan kertas kerja berjudul “Semiotik Budaya Dalam Pantun Maritim”.
Kertas kerja Tuan Haji Jawawi meneliti bahasa sapaan dan ganti diri dalam darjat percakapan. Di samping mengetengahkan keindahan bahasa dalam jampi serapah yang kaya dengan adunan ritma dan diksi setara. Keindahan yang terpapar dalam “bahasa beradat” dan jampi serapah ini memberi nilai tentang keutamaan “adat” dalam berbahasa menurut keperluan, suasana majlis dan situasi komunikasi.
Kertas kerja Tuan Haji Ariff, lebih tertumpu pada pantun yang menggunakan lambang yang ada hubungannya dengan kegiatan maritim. Penelitiannya menjurus kepada tanda-tanda melalui pemilihan diksi dengan pendekatan “semiotik budaya”. Cukup menarik apabila pembentang mampu mengaitkan tanda-tanda ini dengan kegiatan ekonomi, budaya dan sosial masyarakat yang mencipta pantun tersebut.
GAPENA sebagai penaung PERWILA turut menyertakan dua orang pembentang iaitu Tuan Haji Hamzah Hamdani dengan kertas kerjanya berjudul “Menelusuri Sejarah, Memaknakan Masa Depan” dan Tuan Haji A.Rahim Abdullah dengan kertas kerjanya berjudul “Menjana Perkembangan Sastera Di Peringkat Wilayah Teluk Borneo”.
Kertas kerja Tuan Haji Hamzah berfokus terhadap perkembangan pertemuan di kalangan karyawan. Perkembangan ini ditekuni berdasarkan sejarah. Tafsiran terhadap sejarah tersebut memberi hasil tentang gambaran, harapan dan tanggapan masa depan, khususnya kegiatan yang ditangani oleh karyawan, budayawan dan sasterawan. Melalui kertas kerjanya ini, tuan Haji hamzah mencadangkan agar PERWILA menjadi sekretariat tetap Dialog Teluk.
Kertas kerja Tuan Haji A. Rahim pula menyentuh soal perlunya kegiatan kritikan terhadap karya penulis di wilayah teluk sebagai penjanaan ilmu sastera. Tegasnya, melalui kegiatan kritikan yang serius dan padu, mampu memberi makna dalam usaha mempertingkatkan mutu dan kesan karya secara lebih menyeluruh. Maka, cadangnya, agar Dialog Teluk akan datang turut membincangkan teori sastera.
Negeri Sabah juga menghantar dua orang pembentang mereka iaitu Encik Ramli Jusoh dengan judul kertas kerjanya “Unsur Perpaduan Dalam Puisi Penyair-Penyair Sabah” dan Encik Mabulmaddin Shaiddin dengan kertas kerja berjudul “Kepelbagaian Citra Tentang Perpaduan Dalam Lima Cerpen”. Kedua-dua kertas kerja ini membuat penelitian terhadap nilai perpaduan dalam karya penulis terpilih negeri Sabah.
Negeri Sarawak turut menghantar tiga orang pembentang, iaitu Encik Jaya Ramba dengan kertas kerjanya berjudul “Landas Gerak dan Langkah Ke Hadapan Penulis Bukan Melayu; Poul Nanggang”, Encik Benyamin Matussin dengan kertas kerja berjudul “Sastera Tradisi; Gambar Bangsa Yang Belum Di Bingkai” dan Encik Ja’afar Haji Hamdan dengan kertas kerjanya berjudul “Pengucapan Puisi Hari Wilayah Dan Bandar Raya; Misi Reformasi Minda”.
Kertas kerja Jaya Ramba jelas meneliti secara langsung sumbangan saudara Poul Nanggang, penulis berbangsa Bisaya melalui cerpen-cerpen yang dihasilkannya. Kertas kerja Benyamin Matussin pula meneliti tentang sastera tradisi, khususnya lagu rakyat yang terdapat di Bahagian Limbang semakin pupus dan perlu dipulihara. Kertas kerja Ja’afar Hamdan pula meneliti tentang kegiatan pengucapan puisi yang disempenakan dengan Hari Wilayah dan Bandar Raya yang pernah diadakan tetapi terhenti sudah hampir tiga tahun.
Tuan rumah, Wilayah Persekutuan Labuan mengetengahkan dua orang pembentang iaitu Encik Mohd. Azri bin Ibrahim dengan kertas kerjanya yang berjudul “Permuafakatan Serantau; Suatu Pengenalan Terhadap Pendekatan Harmoni” dan Puan Aida Nadzlina Abdullah dengan kertas kerjanya berjudul “Teluk Pemangkin Persaudaraan Serantau”. Kedua-dua kertas kerja tuan rumah ini membincangkan persoalan persefahaman serantau dalam usaha mempergiatkan lagi kegiatan mampu dimanfaatkan, khususnya oleh karyawan di lingkaran teluk ini.
Selain daripada pembentangan kertas kerja dan ucap utama, forum teluk juga diadakan dan dipengerusikan oleh Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan. Panelnya terdiri daripada Encik Jasni Matali mewakili Sabah, Tuan Haji Mohd. Taufek Mohd. Saed dan Encik Jaya Ramba mewakili Sarawak dan Tuan Haji Suib dari negara Brunei. Forum ini membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan tema dan juga suasana sastera di tempat masing-masing. Walaupun demikian, hal-hal yang meliputi kesamaan dan perbezaan juga dibincangkan dengan cukup harmoni.
Melalui forum ini juga, beberapa resolusi dihasilkan. Apa pun Dialog Teluk keenam ini benar-benar menyegarkan kembali ikatan dan jalinan antara karyawan kawasan teluk yang semakin lesu dan layu. Sesungguhnya, PERWILA telah berjaya menyemarakkan api persaudaraan yang hampir-hampir terpadam oleh keadaan. Justeru, Dialog Teluk keenam mencatat sejarahnya tersendiri. Syabas dan tahniah buat PERWILA.

Tuesday, December 16, 2008

LUAHAN...

BERIKAN AKU BULAN


Berikan aku impi
dengan angin bugar
mengisi hela yang resah
pada setiap pilu erti
yang menjelma
menjadi titik-titik dosa

Jangan berikan aku
noda kata
mengisi malam sepi
atau tingkah sasar
dalam jejak rasa
untuk mengintai hidup
penuh tafsir
kerana esok pagi
aku pasti
mendamba kesal
menjadi perit

Ah, berikan saja aku bulan
pada malam ini
walau hanya dalam dakap awan
untuk aku lontar sinar yang suci
menyeri sunyi yang telah lama mati!

Friday, November 21, 2008

SAJAK

KUCUPAN KASIH IBU
(sempena Hari Ibu )

Memintal rangkap kasih
dalam dakap rindu semalam
ada bicaranya yang tidak pernah putus
mengiring doa kudus di setiap nafas hidup
aku yang bergelar seorang anak.

Penat lelahnya menjadi canda
mengisi segenap ruang kedewasaan
pada setiap langkah di alun kembara
menjejak makna cinta suci seorang ibu
di perdu rasa anak sepertiku

Kini, kasihnya itu tidak pernah layu
meniti waktunya yang semakin lesu
kerana dia seorang ibu yang mengerti
tentang cinta dan kerinduan
untuk memugar sayang yang panjang
dalam kilas alam kehidupan
yang seketika ini.

Terima kasih ibu,
kerana mengajar aku
erti makna hidup ini
dalam kucupan kasihmu!

Wednesday, November 19, 2008

JEJAK...


CINTA PELAKAR KATA


Bagaimana dapat aku nyatakan
keresahan yang panjang
merantai dengan keluh yang ampuh
hingga menjerut aku tanpa nafas,

Aku jadi kelu mentafsir
tawamu yang hilang
dalam derai hujan semalam
lalu aku kedinginan
menghitung detik kenangan
yang semakin kaku.

Aku sedar,
rasa ini
hanya dari
seorang pelakar kata
dalam kecintaan
yang telah padam!

Wednesday, October 22, 2008

Tuesday, October 21, 2008


BUNGA YANG MENANGIS

Selama ini aku tidak tahu
bahawa bunga menangis di waktu malam
ketika tidur lelap diulit mimpi
dan setiap kali pintu pagi
aku buka dengan ramah
mereka tersenyum menyambut
sedangkan di pipinya
ada bintik-bintik air
lalu aku tanya mengapa
mereka menjawab mesra;
inilah titis kasih dari langit, katanya
yang sentiasa di kejauhan

Aku tersenyum dalam asyik
dengan belai kagum dan pesona
lalu aku kucup keharuman
sambil menjamah keresahan
yang mereka pendam semalaman

Seperti selalunya
aku berangkat mengunci pintu
dan mereka termangu memandang
kerana kesekiankalinya pemergiaan aku
akan menjemput saatnya
mereka rebah ke tanah,
kemudian dikutip waktu
yang meranap jasadnya
menjadi rindu yang pilu

Selama ini aku benar-benar tidak tahu
rupanya mereka menangis di waktu malam !


1 Feb. 2004
Kuching.

PERLUKAH KUBUNUH CINTA INI

Perlukah kubunuh cinta ini
hanya kerana benci
sedangkan mengocak rasa ini
pada naluri sepi

Apakah ini benar cinta
terbit dari luhur jiwa
atau cuma semadah mesra
yang berpaut seketika
atau serangkap kata
mainan bicara

Perlukah kubunuh cinta ini
hanya kerana sangsi
sedangkan melemas setia ini
pada janji suci

Apakah ini benar rindu
bangkit dari lagu syahdu
atau cuma secebis canda
yang berbisik merayu
atau cuma sebutir kasih
yang merintih

Perlukah kubunuh
cintaku ini !

Monday, October 20, 2008


Ja’afar Haji Hamdan

BUNGA YANG MENANGIS

Selama ini aku tidak tahu
bahawa bunga menangis di waktu malam
ketika tidur lelap diulit mimpi
dan setiap kali pintu pagi
aku buka dengan ramah
mereka tersenyum menyambut
sedangkan di pipinya
ada bintik-bintik air
lalu aku tanya mengapa
mereka menjawab mesra;
inilah titis kasih dari langit, katanya
yang sentiasa di kejauhan

Aku tersenyum dalam asyik
dengan belai kagum dan pesona
lalu aku kucup keharuman
sambil menjamah keresahan
yang mereka pendam semalaman

Seperti selalunya
aku berangkat mengunci pintu
dan mereka termangu memandang
kerana kesekiankalinya pemergiaan aku
akan menjemput saatnya
mereka rebah ke tanah,
kemudian dikutip waktu
yang meranap jasadnya
menjadi rindu yang pilu

Selama ini aku benar-benar tidak tahu
rupanya mereka menangis di waktu malam !


1 Feb. 2004
Kuching.
PEMIKIRAN ENVIRONMENTALISME DALAM
"KOTA GEMILANG WARISAN KITA" *

oleh
JA'AFAR HAJI HAMDAN
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak


1.0 PENGENALAN
Kesedaran terhadap alam sekitar semakin meluas di kalangan masyarakat masa kini. Kemelut alam sekitar yang mengakibatkan bencana dan tragedi sehingga meragut nyawa membuka horizon baru dalam pandangan masyarakat. Tragedi keruntuhan Highland Towers, banjir lumpur di Pos Orang Asli Kuala Dipang dan di jalan susur keluar ke Genting Highland, darurat jerebu dan sebagainya menjadikan masyarakat mula menyedari peranan dan tanggungjawab masing-masing. Ini meletakkan agenda alam sekitar semakin berpengaruh.
Krisis alam sekitar yang dihadapi oleh dunia hari ini, mula tercetus selepas Revolusi Industri yang berlaku di Eropah pada abad yang ke-18. Revolusi Industri ini membawa kesan yang menyeluruh bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi dan pertambahan populasi manusia tetapi juga kepada alam sekitar global. Aktiviti industri yang menghasilkan barangan bagi keperluan manusia mengeksploitasi sumber-sumber alam sekitar semula jadi secara besar-besaran. Perkembangan urbanisasi yang pesat pula menyebabkan berlaku kesesakan penduduk di kawasan bandar serta menyukarkan pengurusan persekitaranya.

_____________________________________________________________________
* Kertas Kerja ini dibentangkan dalam Majlis Randau Puisi sempena Majlis Pengucapan Puisi Hari Wilayah - Bandar Raya 2004 di Kota Kinabalu, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 1 Feb. 2004 hingga 7 Feb. 2004

Fenomena ini menggalakkan berlakunya pencemaran ke atas alam sekitar hasil daripada aktiviti-aktiviti manusia terutamanya perindustrian, sehingga menganggu keselesaan hidup penduduk khasnya di bandar. Kesedaran secara langsung tentang krisis alam sekitar mulai timbul ekoran daripada terbitnya sebuah buku yang bertajuk Silent Spring pada tahun 1962.
Buku ini adalah hasil kajian seorang saintis wanita yang bernama Rachel Carson. Walaupun buku ini hanya menumpukan penjelasannya kepada kesan-kesan pencemaran akibat industri kimia ke atas alam sekitar, ia berjaya menyedarkan masyarakat dunia berhubung dengan krisis alam sekitar yang semakin meluas akibat sains dan teknologi di zaman moden.
Kesedaran alam sekitar yang dicetuskan Rachel Carson ini bukan sahaja menarik perhatian golongan saintis tetapi turut mempengaruhi paras arjana di dalam bidang-bidang yang lain. Pada tahun 1967 seorang ahli sejarah, Lynn White Jr., menulis sebuah artikel yang bertajuk The Historical Roots of Our Ecological Crisis. Artikel ini memuatkan pandangannya berhubung dengan faktor utama yang menyebabkan berlakunya krisis alam sekitar.
Menurut beliau, faktor utama yang mengakibatkan krisis alam sekitar ialah doktrin Yahudi-Kristian yang dikatakan melahirkan suatu pandangan alam atau worldview dalam kehidupan manusia, iaitu mereka diizinkan oleh Tuhan mengeksploitasikan alam sekitar demi kelangsungan atau survival hidup mereka. Lynn White Jr. mendakwa dengan berpegang kepada pandangan alam tersebut masyarakat barat khasnya menggunakan sains dan teknologi yang bersifat dinamik bagi mengeksploitasi alam sekitar tanpa batasan. Fenomena inilah yang menyebabkan gangguan dan kemerosotan kualiti alam sekitar secara lokal dan global.
Melalui sains dan teknologi, manusia mempunyai potensi besar untuk bertindak ke atas alam sekitar semula jadi menurut cita rasa mereka. Cita rasa manusia yang mendorong sesuatu tindakan atau aktiviti ke atas alam sekitar adalah dipengaruhi oleh padangan semesta yang ada pada diri seseorang. Oleh yang demikian, krisis alam sekitar yang dihadapi oleh manusia hari ini adalah berkait rapat dengan pengaruh pandangan semesta seseorang.
Pandangan semesta yang tidak harmoni mendorong manusia menggunakan sains dan teknologi bagi merosakkan keseimbangan alam sekitar. Seharusnya disedari penyelesaian krisis alam sekitar zaman ini tidak memadai sekadar melaksanakan program perawatan alam sekitar, sebaliknya reformasi pandangan semesta adalah perlu ke arah pendekatan yang lebih holistik.
Justeru, pemikiran yang berteraskan alam sekitar dilihat mempunyai daya tolakan yang dominan untuk menentukan arah segala aspek kehidupan bagi mencapai matlamatnya.

2.0 ALAM SEKITAR
Alam sekitar adalah suatu perkataan yang amat biasa digunakan oleh manusia bagi menggambarkan fenomena yang wujud di sekeliling mereka. Perkataan "alam sekitar" atau dalam bahasa Inggeris disebut environment membawa maksud keadaan sekeliling atau lingkungan. Oleh kerana itu, sekiranya berdasarkan kepada terjemahan literal, perkataan "alam sekitar" adalah merujuk kepada apa sahaja yang melingkungi dan mengelilingi manusia.[1]
Bagaimanapun secara lebih khusus perkataan "alam sekitar" merujuk kepada fenomena fizikal sama ada biotik atau abiotik yang melingkungi sesuatu organisma. Fenomena fizikal ini tremasuklah juga fenomena yang berkait dengan iklim dan cuaca
Definisi alam sekitar seperti yang dinyatakan tersebut secara langsung menolak fenomena sekeliling yang bukan fizikal. Di antara fenomena sekeliling yang bukan fizikal ialah fenomena yang meliputi suasana politik, ekonomi dan budaya sesebuah masyarakat. Namun, fenomena sosial seperti ini termasuk di dalam pengertian alam sekitar menurut pengajian Sains Sosial. Selain daripada itu, dalam pengajian keagamaan pengertian alam sekitar tidak terhad hanya kepada alam sekitar fizikal tetapi juga alam sekitar metafizikal yang dihubungkan dengan kuasa ketuhanan.
Menurut James M.Baldwin (1986) alam sekitar dapat didefinisikan sebagai lingkungan dan keseluruhan keadaan luaran yang memberi pengaruh serta berinteraksi dengan organisma dalam apa juga peringkat kedudukannya. L.L Somani (1992) dalam Dictionary of Ecology and Environment mendefinisikan bahawa alam sekitar mempunyai empat tarifan utama iaitu;
i. Alam sekitar adalah semua istilah yang berkait dengan pengaruh luaran seperti pancaran suria, suhu, kelembapan dan lain-lain yang memberi kesan kepada pertumbuhan , kesihatan dan aktiviti organisma
ii. Alam sekitar ialah keseluruhan keadaan dan pengaruh luaran yang mempengaruhi kehidupan, perkembangan dan kelangsungan hidup sesuatu organisma
iii. Alam sekitar adalah keseluruhan faktor dan entiti hidup dan bukan hidup yang bersifat saling berkesimbangan dalam kehidupan organisma
iv. Alam sekitar merujuk kepada semua fenomena fizikal, kimia dan biologi termasuk budaya yang melingkungi kehidupan
Alan Gilphin (1976) dalam Dictionary of Environmental Terms menyatakan bahawa alam sekitar manusia bermaksud semua unsur kehidupan dan bukan kehidupan serta faktor sosial yang melingkungi manusia. Pandangan yang hampir sama turut dikemukakan oleh Benjamin B. Wolman (1973) yang menyatakan alam sekitar adalah semua fenomena luaran termasuklah faktor fizikal dan sosial yang mempunyai potensi bagi mempengaruhi sesuatu kehidupan.

3.0 ENVIRONMENTALISME
Environmentalisme adalah gabungan daripada perkataan Inggeris environment dan ism. Environment bermaksud keadaan sekeliling, lingkungan ataupun suasana, manakala ism bermaksud fahaman. Berdasarkan kepada takrif tersebut, maka dari segi terjemahan literalnya environmentalisme bermaksud ideolagi atau doktrin yang berkait dengan alam sekitar. Menurut Monkhouse (1970) dalam The Dictionary of Geography, environmentalisme didefinisikan sebagai doktrin falsafah yang menekankan pengaruh alam sekitar ke atas corak kehidupan manusia.
Dalam The New Encylopaedia Britannica pula environmentalisme didefinisikan sebagai suatu disiplin bidang sains sosial berhubung teori yang menekankan kepentingan faktor alam sekitar dalam mencorakkan pembangunan budaya dan masyarakat. Bullock (1977) dalam The Fontana Dictionary of Modern Thought mendefinisikan environmentalisme sebagai doktrin falsafah yang memberi penekanan kepada faktor alam sekitar fizikal seperti iklim dunia, dihubungkan dengan aktiviti manusia. Berdasarkan beberapa definisi ini, pengaruh alam sekitar dianggap begitu dominan dalam menentu corak, aktiviti serta budaya kehidupan.
T.O'Riordan (1976) dalam bukunya Environmentalism memperluaskan ruang lingkup konsep environmentalisme dengan mendefinisikannya kepada tiga aspek iaitu;
i. Environmentalisme merujuk kepada falsafah alam sekitar, iaitu falsafah yang membentuk nilai atau moral sebagai pertimbangan kepada persepsi seseorang akan hubungannya alam sekitar.
ii. Environmentalisme merujuk kepada ideologi alam sekitar iaitu aliran-aliran pemikiran yang berkait dengan alam sekitar yang mencorakkan bidang-bidang kehidupan yang lain sebagai formula ke arah pembentukan polisi alam sekitar
iii. Environmentalisme merujuk kepada perubahan reka bentuk alam sekitar iaitu aplikasi yang praktikal bagi memanifestasikan falsafah alam sekitar sebagai rancangan bertindak bagi semua peringkat.

4.0 KONSEP PEMIKIRAN ENVIRONMENTALISME
Kesedaran akan pentingnya pemuliharaan alam sekitar mula bangkit di dunia barat ekoran daripada krisis alam sekitar yang melanda mereka.Kemudian kesedaran itu berkembang ke seluruh pelusuk dunia sehingga berjaya mencorakkan pemikiran masyarakat dunia. Menurut Zaini Ujang (1992) kesedaran itu begitu menyerlah sepanjang abad ke 20 sehingga mempengaruhi pelbagai bidang kehidupan, malah kemunculannya menjadi alternatif kepada pembentukan tata baru dunia atau new world order.
Justeru, konsep environmentalisme dapat dibahagikan kepada tiga aspek utama iaitu;
i. Environmentalisme adalah sebagai suatu konsep yang berkait rapat dengan falsafah alam sekitar. Falsafah alam sekitar yang dimaksudkan adalah perbahasan berkenaan hakikat sebenar hubungan manusia dan alam sekitar. Falsafah alam sekitar juga menjelaskan bagaimana sebenarnya perilaku yang harmoni ke atas alam sekitar dan bagaimana pula perilaku yang mengganggu keseimbangannya.
ii. Environmentalisme adalah satu konsep yang berkait rapat dengan perjuangan berasaskan ideologi alam sekitar. Ideologi merujuk kepada suatu doktrin yang diyakini oleh seseorang individu ataupun sesuatu kumpulan yang menjadi dasar kepada aktiviti-aktiviti yang dilakukan. Perjuangan yang berasaskan ideologi alam sekitar ini berusaha bagi menerapkan ideologi tersebut ke dalam pemikiran masyarakat sejagat sebagai agenda bertindak dalam lapangan kehidupan. Apabila ideologi ini mendasari seluruh agenda bertindak masyarakt manusia, maka natijahnya akan membawa keharmonian terhadap alam sekitar.
iii. Environmentalisme adalah suatu konsep yang berkait rapat dengan perancangan dan pengurusan alam sekitar. Dengan pengertian lain, environmentalisme merujuk kepada polisi berasaskan idealisme alam sekitar bagi dilaksanakan di semua peringkat pentadbiran.

5.0 PEMIKIRAN ENVIRONMENTALISME DALAM
"KOTA GEMILANG WARISAN KITA"

Meyelongkar puisi-puisi dalam Kota Gemilang Warisan Kita yang berjumlah XXX hasil XXX penulis daripada Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan menuntut ruang waktu yang panjang. Namum, dalam keterbatasan waktu yang ada, sedaya upayanya saya menerima dan membuat sebaik mungkin perkaitan fahaman alam sekitar (environmentalisme) dengan pemikiran penulisnya.


Sukar, kerana teori atau konsep yang menjurus kepada sains sosial diadaptasikan dalam kerangka sastera yang bergenrekan puisi; mempunyai nilai yang tersurat dan tersirat. Mudah, kerana puisi penulis yang dipilih mempunyai cakupan dan kehendak teori atau konsep untuk diperbincangan.
Justeru, mungkin akan timbul persoalan lain yang boleh kita "telagahkan" agar dapat mengembangkan konsensus atau kesepakatan kita dalam fahaman falsafah alam sekitar melalui disiplin sastera.
Pertama sekali yang perlu diperkatakan ialah kekaguman yang tercitra di desa hingga menjadi inspirasi kita menilai keindahan dan mencetus keharmonian sebagai hamba tuhan. Ini terungkap dalam puisi Dayang Salmah Salam, Awang Asim Awang Besar dan Jemat Gani
Datanglah ke desaku dengar bunyi siulan beburung
waktu pagi dan senja, kau akan dapat ilham baru
guris tentamu dengan puisi-puisi keindahan kampungmu

(Di Sini Bermula; hlm XXX)
Kini aku terpanggil
oleh kokokan ayang di dinihari, oleh sepat di kali
oleh harum bau jerami, oleh lumpur di sawah padi
oleh dingin air perigi

(Kota Temanku; hlm XXX)

lalu hidangkan sambal belacan
ulam pegaga, umbut lalis dan petai jering
dan hamparkan tikar mengkuang bercelup hijau

(Hidangan Istimewa Buat Tuan Putih; hlm XXX)

Proses pembangunan desa menjadi kota mendatangkan pro dan kontranya. Tidak semua pembangunan yang dilakukan memberi kesan yang tidak baik. Sebagai sebuah negara yang sedang maju, setiap desa tidak terkecuali dalam arus pembangunan ini.
Ini digambarkan oleh penyair seperti Othman Mahali, M. Nazlin dan Nora dalam puisi mereka, bagaimana sebuah desa menjadi sebuah kota yang dibanggakan.
Kotaku, ingatlah akan riwayatmu
dari sebuah pangkalan sepi
yang dipenuhi batang hanyut buruk
tanpa harga diserah milik
menjadi kota taman indah ternama

(Kota Permainan; hlm: XXX)

Pada sebuah tanah yang dahulunya kering kontang
kini dihujani kilauau mutiara, dibanjiri permata

(Salam Ulang Tahun Warga Wilayah; hlm: XXX)

Tanah terbiar, timbuhan meliar
paya menebar tidak lagi terbiar
diterokai menjadi kota batu
tumpuan penghuni

( Meniti Pelangi; hlm: xxx)

Pembangunan yang dirancang dengan mengekalkan citra alam sekitar mampu membina suasana bangga warganya. Walaupun dari segi sifat kewujudannya di desa dan di kota mungkin berbeza; dirancang dan semula jadi, namum masih memelihara nilai falsafah alam sekitar serta memberi pelbagai kemudahan sosial, budaya dan ekonomi. Kalau kota mahu juga dibina pastikan kehendak penghuninya diambil kira.
Inilah yang dituntut serta menjadi harapan penyair seperti Othman Mahali, Abd. Laham, Pena Seni ( ), Zarim S, Stephen Chung, Abg. Haliman Abg. Julai, M. Nazlin, Pharo Abdul Hakim dan Zaliha Tuah.
Kini terlakar sebuah taman impian
kerja indahkan bandar dan jalan-jalan
megah gagah bertukar wajah
impian pulau taman jadi nyata

(Pulau Taman; hlm: XX)




Kota ini, kota kita
kota indah lagi berseri
kota cantik berwajah harmoni

( Kota Ini, Kota Kita; hlm:XX)

Bangunan-bangunan tinggi gagah menjulang langit
gedung-gedung ilmu tersergam indah

(Segugus Harapan Untuk Bandar Raya Yang Makmur; hlm:XX)

Ruang kerja yang mencurah
peluang pendidikan yang cerah
hadiah warisan untuk anak-anak kami

(Sekadar Sebuah Ungkapan Harapan; hlm:XX)

Dari timbunan batu-batu bata tersergam kota
warna warni kemas kini
di bawah sinaran bulan dan mentari
bertingkat tinggi mencakar langit
dipagari gunung ganang kebiru-biruan
hasil pantulan dari lautan
bertabirkan tompokkan kabus dan embun

(Kota; hlm: XX)

Masih bermimpikah aku ini,
pada arus pembangunan yang mengalir deras
menyolek warna kecanggihan
pada cakerawala ini

(Sesat Seketika; hlm: XX)

Aku merenung pada kaca
kotaku yang indah, maju dan moden
keretanya berduyun, bangunan tumbuh mencakar langit
bunga dan taman, penyejuk halwa mata

(Aku, Kota dan Bayang-Bayang; hlm: XX)


kota itu adalah cerminan tamadun bangsa
tempat membina cinta
tempat harmoni bersemi
tempat simpati berdiri

(Perempuan Tua dan Kota; hlm: XX)


bandar raya impian kita
-----------------------------
bebas pencemaran asap kilang,
asap motor dan asap rokok
yang melemaskan

(Bandar Raya Impian Kita; hlm:XX)


Sesungguhnya, pembangunan yang mengabaikan falsafah alam sekitar ini akan menyebabkan resah yang meruntun keharmonian sejagat dan bukan sahaja kepada penghuni kota tetapi juga kepada semua organisma di dalam lingkungan alam sekitar. Sedangkan, antara satu organisma dengan organisma yang lain saling perlu memerlukan dan saling penuh memenuhi fitrah kehidupan.
Lantaran, ada penyair yang melontarkan keresahan tentang pencemaran terhadap alam sekitar, kehilangan citra keindahan alam sekitar dan ketakutan yang akan menjahanamkan alam sekitar apabila pembangunan yang tidak terancang dilakukan.
Keresahan tentang pencemaran ini diungkap dalam puisi oleh Melan Bujang, Raden A. Othman, Jemat Gani, Maliah Adenan, Abd. Laham, Shahriman dan Norliah Hassim.
Kota itu debu
debu itu kota

( Debu kotaku; hlm: XXX)

asap tebal kilang-kilang
menjulang ke atmosfera

( Pembunuh Sepi Di Kota Raya; hlm:XX)

kilangnya canggih malangnya kuno mengurus alam
sungai dan longkang sampah mengalir lesu
menangisi kematian ikan, udang dan ketam di kuala
unggas di rimba turut derita
kota kita dimungkirkan kata

(Kotakan Kata Kota Kita; hlm:XX)

air sungainya tak tenang mengalir
----------------------------------------
hingga kedadak hitam asap-asap menghiasi pandangan
ikan-ikannya pula terbantut

(Batang Baram; hlm:xx)

pagi-pagi hening tanpa godaan asap,
apakah masih ada?

(Apakah Masih Ada; hlm:XX)

menyusuri jalan itu,
bingar dikerumuni asap warna kelabu

(Satu Jalan Di Tengah kota; hlm:XX)

kotaku sayang
jangan pejamkan matamu
kelak tak nampak pohon bunga layu
longkang kotor
kelak tak nampak timbunan sampah

(Pekalah Kotaku; hlm:XX)

bukan salah kota,
andai sampah merata-rata
mengabui pemandangan mata

(Bukan Salah Kota Tapi Salah Kita; hlm:XX)


Keresahan tentang kehilangan citra alam sekitar digambarkan oleh penyair dengan falsafah alam sekitar secara bersahaja. Gambaran yang seadanya sudah cukup untuk kita menilai sesuatu yang hilang tanpa kita temui lagi. Gambaran ini terserlah dalam puisi oleh penyair seperti Idros Boi, Hipani Alwi, Norliah Hassim dan M. Nazlin.
Di tengah keriuhan sebuah bandar raya
keresahan semakin ketara
batu-batan tumbuh menelan keharmonian kehijauan
kerana ia adalah warna pembangunan

(Kuching Satu Abad Ukiran Sebuah Warisan ; hlm:XX)
Inilah suaraku yang kecewa
tidak lagi tanah yang kupijak
tidak lagi langit yang kunampak
hanyalah batu-batu untuk suara burung
kita yang kecewa

(Suara Hati Orang Bandar Raya; hlm:XX)

kota begitu angkuh mencorak kemanusiaan
mereka tidak lagi menilai daun-daun
dan pohon-pohon di kaki gunung
tapi hanyalah resah berpanjangan

( Jakarta Oh Jakarta; hlm:XX)



kerana pembangunan kota bukit tinggi telah rata
rumput hijau telah tiada yang ada hanya batu-batu
----------------------------------------------------------
kerana pembangunan kota suara burung tiada menyapa
bersiul dan terbang ceria pun sudah tiada

(Kerana Pembangunan Kota; hlm:XX)

senyuman dan lambaian dedaunan padi menguning
pada setiap kiri kanan jalan dilalui
yang tidak pernah terfikirkan bahawa
suatu hari nanti ia akan tumbuh
bangunan pencakar langit
dan bersaranya seekor kerbau setia
di tengah bendang kontang

(Segenggam Pasir; hlm:XX)

Keresahan tentang ketakutan terhadap pembangunan yang akan membinasakan alam sekitar dicerna dengan pemikiran falsafah alam sekitar secara jelas oleh beberapa orang penyair. Walaupun hanya satu andaian, tidak mustahil akan menjadi satu kenyataan. Justeru sebelum ia terjadi, usaha mengimbangi keadaan pembangunan dan alam sekitar wajar diberi perhatian. Ini terpancar dalam puisi-puisi penulis seperti Jaya Ramba, Tarnidi Tamin, Ismuni Tepo dan Heidi A.M.


Kota itu dulu aman
penduduknya bahagia
cuma kenangan luka
kota ini manis bagi sesetangah mereka
amat pahit bagi orang asalnya

(Kota Itu Dulu ; hlm:XX)

bangunan yang dimegahkan
musnah dalam runtuhan
kerana tak cukup bahan
punahlah keinginan sepanjang zaman

(Cerita Kota VII: hlm:XX)

sedikit ketakutan pada kota ini
bukan kerana canggih senjatanya
atau kekuatan bala tenteranya dan kehebatan pemimpinnya
tapi impaknya jika pecah atau runtuh
pada bumi serta desa, kota dan bandar di hilir dan hulunya
atau pada apa sahaja laluanya
hanya tuhan yang tahu

(Kota Tenaga Di Belantara: hlm;XX)

lalu sewenag-wenangnya mahu memusnahkannya
atas nama apa sahaja selagi dapat mengaut faedah
jeritan kehijauan, pekikian keindahan, rayuan alam semulajadi
seakan tidak dihiraukan

(Dirgahayu Mayaku; hlm:XX)

Bagi menampakkan betapa sesuatu pembangunan itu perlu diimbangi dengan pemeliharaan alam sekitar, beberapa penyair mengemukan perbandingan citra desa dan kota yang mungkin dapat dijadikan formula pembangunan. Ini selaras dengan kehendak dan tuntutan fahaman alam sekitar yang mahu falsafah alam sekitar dipraktikkan secara adil dan saksama. Ini terukir dalam puisi penulis seperti Dayang Salmah Salam, Bibi Sabariah, Hipani Alwi dan Mad Sakiran.

Di kota ada bangunan tinggi
di desaku ada jelapang padi

(Antara Kota Dan Desa; hlm:XX)

Kuimpikan sebuah kota
mengalir di bawahnya sungai-sungai
dengan ikan berenang di dalamnya
kehijauan dan landskap memukau
-----------------------------------------
kuselusuri sebuah kota dunia
mengalir di bawahnya longkang pekat kelodak
bersama sisa mengalir lesu di dalamnya

(Kota Impian; hlm:XX)

negerimu sungguh indah
kehijauan sampai ke lautan
--------------------------------
aku pernah melihat hutan
hanya secebis yang tertinggal
air mengalir deras

(Catatan Di Lain Waktu; hlm:XX)

masih banyak khazanah di dalamnya
yang mahal harganya dan berseri bentuknya
mesti setiap ketika dipelihara
demi kepupusan dan kehancurannya

(Bumimu Nan Hijau Idaman Umum; hlm:XX)

Secara kesimpulannya, beberapa penyair yang menghasilkan puisi dalam antologi Kota Gemilang Warisan Kita menyarankan bahawa pembangunan yang seimbang dengan fahaman alam sekitar atau environmetalisme ini perlu dilakukan bukan sahaja dalam bentuk pengharapan tetapi haruslah dijadikan pedoman bagi melahirkan sebuah kota yang terisi dengan pembangunan fizikal, pembangunan sahsiah peribadi dan juga keharmonian kehidupan warganya.
Justreu, pembangunan yang didasari cita-cita yang cukup tinggi ini menepati falsafah alam sekitar yang utama iaitu untuk kesejahteraan hidup bersama. Bukan setakat di dunia tetapi juga di alam abadi. Antara penyair yang menggarap harapan ini ialah Jemat Gani, Jais Sahok dan Ja'afar Haji Hamdan


Kota yang kuidamkan
di dalamnya manusis sihat
bersih mental dan fizikal
-------------------------------
Kota yang kuidamkan
di dalamnya dan sungai susu yang mengalir
ada kolam madu yang melimpah
ada kali kasih yang indah
ada nur yang merahmat
di situ kita kekal abadi

(Kota Yang Kuidamkan; hlm:XX)

di perteduhan rasa nubari ini
aku nyanyikan senandung kasih
--------------------------------------
untuk mencipta kesentosaan
tanpa sengketa bangsa dan agama
----------------------------------------
corakkanlah tamadun bangsa
di sebuah kota raya berbudaya

(Bingkisan Untuk Kota Raya; hlm:XX)

cinta kita cinta alam semesta
cinta abadi bertakhta di sanubari
kau, aku dan alam maya
kutumpahkan setia, kausambut bahagia
kita berdansa mesra
di pentas tamadun dan kehidupan

(Warkah Cinta Untuk Bandar Raya Kita; hlm:XX)

Ingatlah, kota gemilang ini
perlu penuh keagungan
cinta dan kasih sayang
yang mampu mencipta kerinduan
melihat dedaun berpautan kehijauan
mendebgar beburung bersiulan riang
merasa bebayu bersantaian menbelai
dengan tenang dan damai

Kota gemilang amanah pembangunan
warisan masa depan terhadap perhitungan
sebuah kesempurnaan

(Kota Gemilang; hlm:XX)



6.0 KESIMPULAN.

Menurut Robinson (1991) hari ini, mesej yang sampaikan oleh para saintis begitu jelas didengari; dunia mempunyai daya asimilasi yang terbatas. Pencemaran, jika tidak dikawal akan menyebabkan kehijauan akan bertukar menajdi padang pasir yang ketandusan air, kehilangan pelbagai spesis, peningkatan penyakit barah dan pelbagai kemungkinan negatif yang lain.
Berdasarkan kenyataan tersebut memang tidak pernah menjadi keraguan bahawa alam sekitar mempunyai hubungan rapat dengan kehidupan manusia sama ada dari segi hubungan sosial, kebudayaan, biologi atau fizikal. Oleh yang demikian adalah wajar untuk mengatakan bahawa alam sekitar adalah sesuatu yang amat penting, amat berharga dan tidak dapat ditukar ganti dengan wang ringgit dalam kehidupan ini. Ia merupakan anugerah tuhan secara semulajadi bagi kepentingan setiap kehidupan, khususnya manusia.
Oleh itu, manusia mestilah bijak menggunakannya. Perlindungan dan penjagaan yang sewajarnya perlu diberi oleh semua pihak yang bertanggungjawab mengeksplotasi sumber alamnya demi menjamin taraf dan kualiti kehidupan tidak terjejas. Apa pun, peranan penyair ataupun karyawan perlu bijak menafsir fahaman alam sekitar (environmentalisme) bagi menyatakan hasrat pembangunan yang terisi dengan falsafah alam sekitar demi kesejahteraan kita bersama.
[1] Lihat Kertas Kerja Jaafar Abdul Rahim , "Pembinaan Teori dan Kritikan Sastera Alam Sekitar Dalam Karya sastera" dalam Seminar Teori dan Kritikan Sastera Timur Barat pada 20-21 Okt. 2003 anjuran DBP Cawangan Sarawak.

Sunday, October 19, 2008

Kita buka jalan kehidupan
dengan seribu harapan
mengisi tawa riang
tanpa kita sedar
telah menyimpang
mencari kegusaran

Kita bina rumah selesa
dari daun hijau muda
menyegar hembus nafas
tanpa kita mengerti
makna perangkap
menyulit kematangan

Kita akhirnya berhenti
membuka jalan kebatilan
dan membina rumah kejahilan,
setelah kita disentak
dengan seribu persoalan!


Jendela Minda...Mengapa Ya?

Sememangnya sukar untuk kita menerima sesuatu yang menyakitkan. Atau sesuatu dalam keadaan kekalahan. Atau juga sesuatu yang bukan memenuhi kemahuan kita. Itu lumrah sebagai manusia biasa. Sudah sifatnya. Jelas, bukannya semua sanggup menerima hal-hal yang “tidak baik” ini dengan fikiran terbuka. Kalau ada pun, masih juga terasa rungut resah dalam hati. Setidak-tidaknya meracau-racau dalam benak pemikiran. Mengapa ya?
Apakah kita masih berpijak di atas asas yang masih kabur. Penuh sangsi. Belum lagi padat dengan kepercayaan yang mutlak. Ataupun kita masih mahu mencari sesuatu yang telah terang dan terpapar jelas di depan kita. Atau juga sengaja menyembunyikan kebenaran kerana khuatir dengan penghalang serta hambatan yang berterusan. Atau juga sengaja menduga-duga tafsiran lain?
Persoalan demi persoalan akan sentiasa muncul dengan seribu jawapan. Jawapan demi jawapan pasti diketengahkan. Tetapi tidak semuanya membawa kita ke arah satu arah yang telus dan benar. Sudah acap kali kita diingatkan dengan pelbagai bentuk ancaman. Sama ada di dalam diri kita. Atau pun bersebelahan kita. Atau sama ada dalam luaran rasa kita ataupun juga dalaman rasa kita. Mengapa ya?
Mungkinkah kita tidak pernah menilai tentang usia kita? Atau, kita sudah tidak lagi mahu memahami setiap detik yang kita lalui itu adalah detik yang menghitung hari-hari kita, menghampiri perhentian yang abadi? Atau, adakah kita sememangnya terlupa dengan tarik hembus nafas kita adalah satu nikmat yang dalam sekelip mata mampu diberhentikan dengan kehendak-Nya?
Hal-hal begini, bukan semudahnya untuk kita perkatakan dengan langsung. Mungkin akan ada pertimbangan-pertimbangan lain yang lebih wajar kita perbincangan. Tetapi soal asas tentang diri kita wajar juga diberi pemberat untuk diperkatakan dengan penuh rasa kesedaran. Kalau tidak, kita akan sentiasa dibawa hanyut dalam kehidupan yang serba indah ini.
Dalam hal ini, sengaja diperkatakan tentang prinsip diri kita yang tidak pernah puas. Dalam segala aspek, tanpa kita sedar atau tidak, ya berlaku. Cuma dalam situasi dan keadaan yang berbeza. Mungkin ada yang sukar memahaminya, kerana soal diri, kadang-kadang kita sukar menilainya. Bukan kerana tidak mahu, tetapi “prinsip” yang dipertahankan, telah menunaskan sifat bangga diri. Begitu juga dengan sifat tuduh menuduh, menyatakan orang lain yang bersalah dan mendabik dada tentang diri yang benar menjadi begitu biasa menular dalam diri kita. Mengapa ya?
Begitu juga soalnya untuk memperkatakan sesuatu yang berkaitan dengan diri dan persekitaran. Bukan semudah yang mampu kita ungkap hanya dengan bahasa yang biasa. Salah tafsir, mengundang seribu persoalan lain. Justeru, untuk memperkatakan hal-hal yang barangkali mampu menyakiti hati seseorang, kita memerlukan ungkapan yang seadanya serta berkias, yang barangkali lebih memaparkan hal-hal tersirat, tanpa menyembunyikan hal-hal yang tersurat agar tidak menimbulkan kemungkinan-kemungkinan lain.
Walaupun sedemikian usaha kita, tidak mustahil perbezaan dalam mentafsir sesuatu tetap juga berlaku. Pertamanya, disebabkan latar belakang pengalaman. Keduanya disebabkan latar pendidikan dan ketiganya disebabkan latar persekitaran. Ketiga-tiga faktor ini mempengaruhi corak berfikir, bentuk tindakan dan hasrat kita. Kalau sesuatu yang kita lihat positif dengan tafsiran negatif, maka negatiflah jadinya. Begitu juga sebaliknya, kalau hal-hal negatif kita tafsirkan menjadi positif, maka positiflah jadinya. Mengapa ya?
Justeru, terpulang kepada diri kita untuk menentukan pilihan kita. Kebijaksanaan itu terletak dalam diri kita. Kearifan itu ada dalam diri kita. Oleh yang demikian, kita harus menyedari di mana kita wajar menimbulkan persoalan dan bagaimana pula untuk kita memberi jawapan. Ini semuanya saling kait mengait. Saling hubung menghubung. Saling paut memaut. Apatah lagi dalam aspek kehidupan kita ini. Perlu memerlukan antara satu sama lain amat diberatkan pelaksanaannya. Namun, dalam arus yang serba moden kini, kita lebih suka memilih jalan yang mampu mencerna diri kita sendiri, tanpa mempedulikan orang lain.
Walauapun demikian, dalam soal hukum, jelas kita tidak harus melakukan manupulasi keadaan. Yang benar tetap benar. Yang salah tetap salah. Yang haram tetap haram. Yang halal tetap halal. Tidak ada pun dalam hal hukum ini mampu diubahsuai dengan zaman. Pentafsiran yang sedemikian, seharusnya melalui penelitian yang cukup rinci dengan penglibatan pakar yang benar-benar boleh dipercayai. Sekiranya ada yang sengaja merungkai persoalan hukum dengan pentafsiran logik semata-mata, maka hal yang sedemikian mengundang kehancuran yang maha ngeri.
Bukan kerana nilai dan harga diri sahaja telah dicemarkan dengan keperluan semasa tetapi juga soal akidah, soal kepercayaan dan soal pengabdian terhadap yang hak. Apakah kita sanggup memisahkan yang benar, semata-mata memenuhi tuntutan kehidupan yang sementara ini? Atau, haruskah kita menerima yang salah, kerana mengisi ruang kita yang sentiasa tidak pernah mengenal erti cukup? Soalnya mengapa ya? Wallahualam.

Tuesday, September 23, 2008

SEBUAH PERTANYAAN...

MENEKA CINTA

Berbisik bicara
di malam yang lena
bagaikan tiada yang seindahnya

Bertentangan mata
memancarkan rasa
lalu terpendam makna kita jatuh cinta

Mungkinkah ini imbauan mimpi
yang akan pasti
mungkinkah cuma tafsiran sunyi
yang menggamit sepi

Tak mungkinkan bersatu
cintaku dan cintamu
kerana kita cuma menjangka kita bercinta

Tak mungkinkan berpadu
rinduku dan rindumu
kerana kita cuma meneka kita berkasih

Menghitung ketika
berlalu menyapa
akhirnya terpaksa
kita terima kehendak-Nya

Ja’afar Haji Hamdan
Kuching, Sarawak

Monday, September 22, 2008

RAMADAN


Novel Ruma' Kadang- Mohd. Faizal Jamil

BACAAN STUDI BUDAYA DALAM ANAK RUMA’ KADANG
oleh: Ja’afar Haji Hamdan


Pertembungan budaya sudah menjadi isu yang cukup dominan dalam fenomena globalisasi era kini. Seakan tidak ada yang mampu menghalang berlakunya proses pengubahsuaian situasi ini. Perubahan akan berlaku dan terus berlaku dalam apa juga keadaan. Mahu atau tidak, keadaan yang menuntut perubahan akan sentiasa mendahului hal-hal lain.
Proses pembudayaan kehidupan sama ada golongan yang disifatkan sebagai membangun atau golongan yang dianggap minoriti dalam pemodenan tersebut, masih juga meletakkan nilai budaya sebagai inti utama kehidupan. Ini jelas dengan penegasan oleh E.B. Tylor dalam sebuah bukunya Primitive Culture yang menyatakan bahawa, kebudayaan adalah keseluruhan aktiviti manusia, termasuk pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, hukum, adat-istiadat dan kebiasaan-kebiasaan lain.
Marvin Harris dalam bukunya Theories Of Culture In Postmodern Times yang terbit tahun 1999 turut menegaskan bahawa kebudayaan adalah aspek kehidupan manusia dalam masyarakat, yang diperoleh dengan cara belajar, termasuk berfikir dan tingkah laku. Justeru, kebudayaan sering menjadi bahan bandingan dalam proses perubahan dan peralihan yang berlaku melalui pembelajaran dan pengalaman.
Soalnya, perubahan itu bukan hanya melingkari sempadan dunia timur atau barat tetapi juga menerobos nilai tradisi dan moden dalam nilai tempatan. Jalinan antara tanggapan moden dengan keutuhan tradisi seakan sukar menemui kesatuan, sedangkan kedua-dua hal tersebut selaras dengan tuntutan semasa. Maka, tuntutan semasa itu memerlukan sastera sebagai perakam, pencatat dan penilai kepada kebermaknaan kebudayaan itu sendiri dalam konsep sejarah.
Menurut Hutcheon melalui bukunya A Poetics Of Postmodernism: History, Theory Fiction jelas menyatakan bahawa konsep seperti ini sudah dikenal pasti pada abad ke-19 yang mana, sastera dan sejarah sebagai cabang ilmu dalam menginterpretasikan pengalaman. Bahkan sastera dianggap unggul untuk menceritakan masa yang akan datang secara falsafah.
Budaya adalah salah satu kekuatan sejarah, justeru tidak harus meminggirkan analisis dan penelitian terhadap budaya. Lantaran itu, Peter L. Berger dalam bukunya Invitation to Sociology menegaskan bahawa realiti itu sebenarnya terletak dalam pendefinisian. Maksudnya, realiti itu bergantung kepada siapa dan bagaimana merumuskannya.
Demikian halnya dengan realiti budaya. Realiti yang menentukan apa itu budaya dan apakah ciri-ciri budaya, kerana khususnya teori budaya melihat tumpuan tentang world view atau pandangan hidup dan kepentingan pendefinisiannya. Maka, ranah budaya hanya dilihat dalam konteks budaya tinggi-budaya rendah dan budaya nasional- budaya asing.
Sedangkan dalam konsep teori studi budaya yang bersifat multi disiplin itu, harus juga berdiri sebagai tuntutan rakaman terhadap peristiwa dan cerita kebudayaan. Ini jelas ditegaskan oleh Prof. Dr. Nyoman Kutha Ratna dalam bukunya Sastra dan Cultural Studies. Umumnya, tambah beliau, kebudayaan menganalisis manusia secara langsung dalam masyarakatnya serta di tempat kejadian peristiwanya. Apabila ternyata bahawa objek studi budaya merupakan teks, maka teks itu pun dianggap sebagai representasi sesuatu kejadian budaya.
Studi budaya juga memahami teks sebagai karya sastera dalam kaitan alamiah kebudayaan tersebut. Bermula secara tradisi sehingga mendepani perubahan dunia moden. Apa yang penting, studi budaya melihat hubungan manusia dengan budayanya melalui paradigma dan metodologi budayanya yang permulaan sehingga akhirnya. Walaupun secara praktiknya, studi budaya tidak memberi titik akhir dalam perjalanan budaya, namun perubahan yang memberi gambaran baru dalam budayanya juga menjadi unsur penelitian budaya.
Tradisi menjadi pendulu atau pemula yang mencipta proses ke arah pembaharuan yang kemudiannya dianggap satu elemen kemodenan. Namun, pemodenan yang berlaku tidak semestinya mengabaikan nilai tradisi. Nilai tradisi dilihat sebagai satu pegangan yang cukup dominan dalam makna kehidupan. Jalinan inilah yang cuba dirungkaikan oleh Mohd. Faizal Jamil menerusi novelnya yang berjudul “Anak Ruma’ Kadang”
Novel ini merupakan salah satu karya yang telah memenangi hadiah, Sayembara Mengarang sempena perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Novel ini terbahagi kepada 11 bab dan mempunyai 338 halaman. “Anak Ruma’ Kadang” ini mengisahkan pertembungan pendapat antara ayah dan anak tentang masa depan masyarakatnya. Sehingga si anak dihalau daripada Ruma’ Kadang kerana dianggap melanggar pantang larang.
Pertembungan pendapat ini hanya sebagai penyebab cerita. Seperti mana kita temui dalam novel “Kelingkang” Douglas Jaga, atau cerpen “Kumang” Abang Patdeli Abang Muhi. Idea tradisional yang berpijak dengan adat dan idea moden yang berciri logik menjadi satu pemerian yang jelas dalam apa-apa budaya pun. Namun, dalam novel Anak Ruma’ Kadang, mencirikan bahawa akar budaya itu masih terjulang namun, pembangunan yang diterajui oleh kemodenan harus diterima dengan penyesuaian.
Episod cerita novel ini banyak memberi kitaran adat resam mendahului keperluan yang lain. Lantaran itu, setelah berlaku pertelagahan pendapat Galih dan Ganang, Galih, selaku Ketua Kaum cuba membuktikan bahawa kewibawaannya masih utuh walaupun tercalar oleh prinsip anaknya, Ganang. Galih meneruskan peranannya di samping memikul tanggungjawab terhadap kaumnya dalam mendepani masalah meneruskan kemajuan hidup mereka melalui kaedah tradisi dan adatnya.
Sedangkan, Ganang, si anak membawa diri ke bandar raya Kuching dan bertugas dengan kerajaan sebagai pegawai penguasa hutan bagi membina hidupnya semula. Kesan penghijrahannya itu telah menjadikan Ganang seorang penganut Islam dan hidup dalam kelompok masyarakat Melayu. Watak ibu, iaitu Dayung, menjadi mangsa “akibat” pertelagahan antara anak dan ayah itu.
Dayunglah menjadi punca cerita untuk Galih mengalah dan mencari semula Ganang. Setelah berjaya bertemu dengan Ganang, Galih melalui satu lagi episod hidup yang menentukannya untuk menegakkan wibawa seorang Ketua Kaum. Walaupun demikian, si ayah akhirnya menerima perubahan demi menjadikan masyarakatnya maju dan tidak ketinggalan. Galih, si ayah merupakan ketua kaum dan Ganang, si anak seorang pegawai perhutanan berdamai dalam erti kesamaan budaya.
Secara umumnya, novel ini berlatarkan masyarakat Lun Bawang di kawasan Limbang dan beberapa bab berlatarkan Bandar Raya Kuching. Apa yang menarik tentang novel ini adalah, keupayaan pengarang, melukis panorama alam Lun Bawang di samping kejituannya membuat penyataan tentang masyarakat Lun Bawang ini. Keunikan masyarakat Lun Bawang yang kita temui dalam novel ini mencetus nilai pengetahuan yang cukup bermakna. Seakan, pengarangnya orang masyarakat Lun Bawang!
Justeru, novel Anak Ruma’ Kadang ini diteliti melalui pendekatan studi budaya atau cultural studies. Sebagai perbincangan awal, aspek penelitian hanya berpijak kepada nilai sastera karya novel tersebut dengan kaitan tuntutan studi budaya. Nilai sastera yang dimaksudkan adalah pemikiran budayanya namun diteliti melalui etimologi studi budaya.
Apabila membaca studi budaya dalam hubungan bagi memperlihatkan sastera dan budaya terhadap novel Anak Ruma’ Kadang, perkara pokoknya adalah ciri-ciri budaya tradisinya. Tradisinya menjadi susur galur budaya kehidupan mereka. Setiap yang dilakukan memerlukan upaya adat tradisinya. Setiap keputusan memerlukan pertimbangan adat tradisi. Bahkan soal-soal benar dan salah itu pun terungkap dalam adat tradisinya.
Pegangan tradisi memberi kekuatan budaya sebagai pedoman kehidupan. Tanpa tradisi yang merangkumi budaya mereka, maka kehidupan mereka tidak memenuhi tuntutan turun temurun budaya masyarakatnya. Hal ini cukup menarik diteliti dan ditekuni melalui studi budaya. Kerana secara tidak langsung, soal-soal tersirat akan ditemui bagi memberi nilai hal-hal yang tersurat.
Perbincangan serta penelitian ini mungkin akan dipaparkan secara kronologi bab. Walaupun demikian, akan ada lompatan bab seandainya tidak ada ciri-ciri budaya yang boleh diteliti dan ditekuni. Setiap penyataan hasil penelitian hanya berdasarkan asas konsep studi budaya dan bukan secara mendalam dalam memberi interpretasi. Justeru, perbincangan ini menjadi cukup mudah dan senang untuk kita memahaminya. Penggunaan pelin yang berupa penyepit rambut dalam masyarakat Lun Bawang cukup bermakna. Ia bukan sekadar satu pemakaian biasa tetapi terungkap nilai yang tersirat. Ini jelas dalam penyataan pengarang dalam bab pertama iaitu;
Diikatnya dengan kemas dan kemudian diapitnya dengan penyepit rambut yang dipanggil pelin pada hujung rambut. Kalau pada zaman dahulu, semasa bertempur dengan musuh, rambut itu dibiarkan menutupi tengkuk supaya bahagian leher tidak mudah dipenggal atau dipotong. Sebab itulah kaum lelaki Lun Bawang tidak memotong rambutnya.

(Anak Ruma’ Kadang; halaman 21)

Pantang larang juga cukup menjadi persoalan yang amat berat dalam tradisi Lun Bawang. Namun apa yang menarik, pantang larang yang dilanggar akan mengakibatkan satu malapetaka atau bencana terjadi. Hal ini disentuh dengan teliti oleh pengarang dalam novelnya. Walaupun hal sebegini turut menjadi pegangan beberapa etnik lain di Sarawak, namun dalam masyarakat Lun Bawang, si pelanggar pantang larang harus dihukum. Tetapi, dalam tangan Mohd. Faizal, hukuman itu menjadi ringan melalui watak timbang raya ketua kaum, Galih.
Patutlah hasil tanaman padi yang mereka usahakan selama ini tidak begitu menjadi. Rupa-rupanya, ada seseorang yang telah melanggar pantang larang nenek moyang mereka ketika berhuma.

“Galih, sudah jelaslah semua ini berpunca daripada Labo. Dia harus dihukum1” desak salah seorang daripada golongan tua yang berada di situ.

(Anak Ruma’ Kadang; halaman 39)

Persoalan tentang konflik hukuman terhadap Labo terungkap pada halaman 40 hingga halaman 43. Namun, apa yang menarik Mohd. Faizal memberi catatan mitos Lun Bawang tentang beras. Menurut mitos itu, beras adalah manusia, lantaran itu perlu dijaga dan dihormati. Kepercayaan masyarakat Lun Bawang ini jelas terungkap dalam halaman 44 hingga 46. Apa yang menarik, mitos ini dirujuk oleh pengarang melalui buku kajian Meechang Tuie, yang berjudul Masyarakat Lun Bawang. Beliau merupakan anak jati Lun Bawang.
Melalui novel ini juga, Mohd. Faizal turut menurunkan jampi tawar mengei bagi memanggil burung mengei. Upacara memanggil burung berkenaan penting bagi memberi petanda baik. Sekiranya burung berkenaan tidak muncul, maka mereka terpaksa membatalkan niat mereka untuk membuak kawasan baru. Lirik jampi tersebut terungkap pada halaman 60 hingga halaman 61. Di tangan pengarang ini juga, tradisi ini dianggap benar dan bukan mitos semata-mata.
Selang beberapa minit kemudian, entah bagaimana tiba-tiba saja kelihatan sekawan burung hitam terbang lalu di situ. Masing-masing mendongakkan kepala ke langit untuk melihat burung mengei yang amat ditakuti suatu masa dahulu. Sekarang barulah mereka percaya burung itu benar-benar wujud. Bukan mitos semata-mata.

(Anak Ruma’ Kadang; halaman 61)

Dalam novel ini juga, Mohd.Faizal memaparkan pantang larang mentertawakan benda pelik atau kecil. Hal ini turut terdapat dalam masyarakat lain khususnya Melayu. Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu, mentertawakan benda pelik dan kecil akan menyebabkan “kudik” atau “buak” yang berupa angin taufan dan akhirnya disumpah menjadi batu. Hal ini turut ada dalam masyarakat Lun Bawang.

“Itulah kamu. Lain kali jangan buat macam itu lagi. Mengikut pantang larang nenek moyang kita, sesiapa yang mentertawakan atau merendah-rendahkan makhluk halus seperti beneng dan makhluk kecil yang lain, nescaya ia akan mendatangkan malapetaka. Ruma’ kadang yang kita diami boleh didatangi hujan batu, air bah ataupun ribut taufan. Yang lebih menakutkan lagi, penghuni-penghuni ruma’ kadang kita boleh bertukar menjadi batu” kata Tubeh menjelaskan akibat perbuatan mereka itu tadi

(Anak Ruma’ Kadang; halaman 84)

Kepercayaan tentang pantang larang di hutan dan di sungai turut terdapat dalam novel ini. Cukup menarik diketahui sebagai mengenali kepercayaan masyarakat orang lain. Pengisahan ini terdapat dalam halaman 93 hingga halaman 96. Pantang larang menunjuk pelangi dengan menggunakan jari telunjuk juga diceritakan pada halaman 97. Kepercayaan tersebut menjadi sebagai pengikat budaya mendisiplinkan masyarakatnya.
Mohd. Faizal juga membuat perbandingan tentang persamaan dan kelainan masyarakat Melayu dan masyarakat Lun Bawang. Perbandingan ini dibuat bagi memberi tafsiran rumpun yang sama dan dibezakan oleh sedikit pengaruh mitos dan anutan. Namun dari segi konsep sambutan dan perayaan, khususnya majlis perkahwinan, Mohd. Faizal memperjelaskannya secara langsung tanpa membuat secara rinci.
Uniknya, majlis kenduri yang diadakan masyarakat Melayu mempunyai sedikit persamaan dengan majlis irau aweh yang diadakan di ruma’ kadang. Cuma upacara akad nikahnya saja yang berbeza.

(Anak Ruma’ Kadang; halaman 207)

Pesta Lun Bawang yang merupakan pesta tradisi masyarakat Lun Bawang diadakan sempena Hari Gawai Dayak. Pesta ini diadakan di Lawas, kawasan utara Sarawak. Dalam novel ini, Mohd. Faizal memberi gambaran umum tentang pesta ini, Walaupun demikian, pengarang ini juga mengemukakan legenda Lun Bawang yang memungkinkan pesta ini diadakan.

Menurut legenda Lun Bawang, Diri Ulung didirikan selepas seorang pahlawan mencatat kemenangan dalam peperangan. Setelah semuanya didirikan, sekumpul orang akan berarak mengelilinginya sambil menyanyi ukui yang bertujuan merayakan serta memuji pahlawan berkenaan.

(Anak Ruma’ Kadang; halaman 329)



Anak Ruma’ Kadang secara umumnya merupakan sebuah novel penuh citra budaya masyarakat Lun Bawang. Novel ini menjadi cukup bermakna dalam arus sastera Sarawak kerana, novel inilah yang pertama mengemukakan masyarakat Lun Bawang, selaku masyarakat minoriti. Walaupun sudut pandangan dalam novel ini daripada seorang pengarang berbangsa Melayu, namun pegangan Mohd. Faizal iaitu buku Masyarakat Lun Bawang telah mampu memberi nilai makna yang sebenar tentang budaya masyarakat Lun Bawang.
Penelitian ini sekadar melihat asas budaya yang mampu mengisi tuntutan teori studi budaya. Namun, novel ini mempunyai dimensi yang berbeza sekiranya diteliti melalui sudut teori yang lain. Sememangnya, pembicaraan buku ini hanya mengambil kira beberapa hal tentang budaya masyarakat Lun Bawang. Sedangkan 70 peratus novel ini amat berjaya memaparkan panorama serta keunikan masyarakat dari kaca mata sastera.
Sesungguhnya novel Anak Ruma’ Kadang, karya Mohd. Faizal Jamil mengisi khazanah sastera Sarawak dengan cukup makna. Kerana, kemunculan novel ini akan memperkayakan “novel budaya” selain, novel Kelingang, Ngoncong, Pindah, Melati Sarawak, Ngesap dan sebagainya. Barangkali selepas ini ada kajian yang akan memaktubkan bahawa novel budaya telah bertapak murni di bumi Kenyalang ini.

Thursday, September 18, 2008

RESENSI RASA

CINTA PELAKAR KATA


Bagaimana dapat aku nyatakan
keresahan yang panjang
merantai dengan keluh yang ampuh
hingga menjerut aku tanpa nafas,

Aku jadi kelu mentafsir
tawamu yang hilang
dalam derai hujan semalam
lalu aku kedinginan
menghitung detik kenangan
yang semakin kaku.

Aku sedar,
rasa ini
hanya dari
seorang pelakar kata
dalam kecintaan
yang telah padam!

ja'afar hamdan

Thursday, September 11, 2008

SANTAPAN RASA

MEMBACA ANTOLOGI PUISI
“PENANGKAP RAMA-RAMA DAN KELAWAR”
DARI NAZRAH TEORI ESTIM

PENDAHULUAN

Kejayaan apa pun bergantung pada dua jenis faktor, yakni faktor dalaman dan juga faktor luaran. Antara kedua-duanya, faktor dalaman memainkan peranan lebih besar menentukan kejayaan. Kita sebagai manusia mempunyai kedua-dua faktor ini. Cuma sejauh mana kita memahami nilai diri kita yang membezakan kita dengan orang lain. Pakar psikologi menjelaskan bahawa nilai diri kita sebagai konsep diri yang akan menentukan siapa kita dan bagaimana jadinya kita.
Sebagai contoh, bagaimana seseorang itu melihat realiti menentukan sikap dan tingkah lakunya, langsung juga nasibnya. Pada realitinya setiap orang itu diberi peluang berjaya oleh Tuhan tetapi bagi sesetengah individu dia melihat dirinya tidak mungkin berjaya maka itulah yang bakal dialaminya. Justeru apa yang difikirkan dan dirasakan oleh seseorang itu berkenaan dirinya amat menentukan nasib dirinya. Fikiran dan perasaannya pada hari ini dapat meramalkan apa yang dia berani lakukan ataupun tidak berani dilakukan pada masa depan.
Individu yang menganggap dirinya orang yang berjaya cenderung memilih aktiviti yang membawa kejayaan kepada dirinya. Sebaliknya juga berlaku, di mana individu yang tidak menghormati dirinya sendiri cenderung melibatkan diri dengan aktiviti yang merugikannya sendiri.



TEORI ESTIM

Menurut Ainon Mohd. (2003) konsep “estim” di Barat banyak persamaan dengan konsep “maruah” dalam psikologi orang Melayu. Maka, teori estim dikaitkan dengan ciri-ciri tingkah laku yang menjadi sebahagian daripadanya iaitu;
a. Menghargai diri sendiri
b. Menganggap diri sendiri sesuatu yang penting
c. Sanggup bertanggungjawab atas tingkah laku dan perbuatan sendiri
d. Menganggap orang lain mulia dan berinteraksi dengan mereka itu dengan cara-cara yang memuliakan mereka.
Estim ialah perasaan yang dirasai berkenaan nilai diri sendiri. Sisi yang lain estim menjawab pertanyaan. Adakah anda seronok dengan keadaan diri anda sekarang? Maka tidak hairanlah apabila individu-individu yang berjaya berasa seronok dengan keadaan diri mereka. Estim ialah sebahagian daripada unsur dalam konsep diri, di mana estim adalah bahagian yang menilai diri sendiri. Estim mempunyai kaitan yang amat kuat dengan keyakinan diri dan kejayaan..
Di pandang sudut yang lain, estim ialah sejauh mana seseorang itu menyukai dirinya sendiri. Estim dikatakan rendah apabila dia tidak berapa suka pada dirinya manakala estim tinggi apabila dia seronok menjadi dirinya. Estim ialah penilaian yang menyeluruh ke atas diri sendiri. Ia adalah gabungan antara konsep diri seseorang dengan semua dirinya yang mungkin. Ada pakar-pakar psikologi yang mengatakan estim ialah sejauh mana seseorang itu menerima diri kita sendiri sebagaimana yang sebenarnya (Ainon;31)
Maksudnya dapatkah seseorang itu menerima bahawa dia mempunyai ciri-ciri yang istimewa pada dirinya dan juga ciri-ciri yang tidak istimewa? Dia juga menerima bahawa dia bukan hanya sudah banyak melakukan perkara baik dan bijaksana tetapi juga pernah melakukan perkara-perkara yang bodoh dan tidak bijaksana. Dia dapat mengakui ada masanya dia berjaya, tetapi ada masanya dia gagal kerana tersilap.
Menurut Edward (1999) estim mempunyai kaitan dengan sejauh mana seseorang itu menghargai dirinya sendiri. Estim juga memberitahu sejauh mana seseorang itu berasa dirinya seorang yang baik dan berguna tanpa mengira apa yang sudah berlaku pada dirinya selama ini.
ANTOLOGI “PENANGKAP RAMA-RAMA DAN KELAWAR”

Sekadar untuk renungan bersama, mari kita sama-sama perhatikan puisi Abizai bertajuk Penangkap Rama-Rama dan Kelawar yang menjadi judul antologi puisi sempena Ulang Tahun ke- 25 PUTERA.
Engkau menangkap rama-rama
dan masukkannya ke dalam botol
di alam botol
rama-rama terus bernyawa
membina taman dengan warna
menumbuhkan ceria di kelopak bunga
aku melihatnya
tiba-tiba dihembus angin ria
yang menggetarkan daun rasa

engkau menangkap kelawar
dan memasukkannya ke dalam sangkar
di negeri sangkar
kelawar tetap bernafas
mempamerkan isi gua
yang pekat dengan kegelapan
aku yang menyaksikan
mendadak ditawan dinding sepi
yang tidak bertepi

Abizai ternyata berjaya menimbulkan kesan estim dalam pengutaraan lambang puisinya. Perhatikan lambang rama-rama sebagai manusia yang terus mampu bernyawa membina taman dalam sekitarnya dengan warna yang menumbuhkan ceria di setiap kelopak bunga walaupun hanya dalam sebuah botol. Kalau di tafsir secara selapis ternyata lambang botol sebagai satu konsep di mana sebuah ruang yang kosong bagi seseorang yang mengalaminya. Tetapi tidak bagi seekor “rama-rama” yang mempunyai daya estim yang tinggi, kekosongan itu mampu ditanganinya dengan nilai diri.
Rama-rama yang kita kenali sebagai serangga yang sentiasa bebas mencari kilauan warna dan bunga mampu “menghidupkan” dirinya dalam sebuah botol yang kosong tanpa ada apa-apa. Ini tentu memerlukan kekuatan dalaman. Walaupun puisi ini meletakkan perlambangan sebagai hujah ideanya, tetapi Abizai secara tidak langsung mengutarakan satu konsep diri dalam lambang puisinya dan realiti kehidupan.
Bagi konsep lambang kelawar yang terpaksa menemui dunia baru dalam sebuah sangkar yang pasti bukan dunia kebiasaannya kerana dunia kelawar adalah dalam kegelapan. Kelawar telah diberi peluang menyaksikan sekitar yang cerah dan terbuka walaupun di dalam sangkar namun kelawar menjadikan sangkar sebagai isi gua, maka Abizai memungkinkan bahawa kebiasaan yang menjadi kehidupan kelawar tidak mampu mengiringi perubahan sehingga Abizai mengungkapkan;
mendadak ditawan dinding sepi
yang tidak bertepi

Membaca antologi ini, saya cuba meneliti beberapa buah puisi yang saya kira dapat diangkat bagi memperlihatkan kaitan teori estim dengan luahan pemikiran dan perasaan penyair dalam puisi mereka. Hayati puisi Abizai berjudul Selamat Berangkat Sahabat pada rangkap berikut;

terima kasih
kerana rela bersama bersusah
menjaga halaman dan isi rumah
sehingga rapi dan indah

terima kasih
kerana sudi menjadi ranting dan daun
yang merimbunkan akrab persahabatan
yang terlalu mahal untuk dijual
yang terlalu suci untuk dibeli

Kesan kerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain mampu menjadi jejak kejayaan terhadap sesuatu yang kita lakukan. Kerjasama ini bukan hanya terbentuk dalam suasana yang nyaman tetapi ada kalanya amat memeritkan. Ini penting bagi kita menilai diri kita untuk menjadi seorang yang berani dengan keadaan. Hayati puisi Adi Badiozaman Tuah dalam puisinya yang bertajuk Lagu Musim Gugur dalam rangkap ketiga;
keberanian untuk merelakan satu perjalanan
dan kesediaan untuk mengizinkan satu perpisahan
atau kesanggupan untuk melepaskan satu pemergiaan
adalah satu ujian kekuatan diri dan kemanusiaan
menerima hakikat dan lumrah hidup
erti sebuah pasrah dan penyerahan

Sesungguhnya untuk berjaya bukan semudah yang kita sasarkan. Perlu banyak perjalanan yang kita lakukan demi mematangkan pengalaman. Kita wajar bersedia dengan segala ujian. Kita harus bertindak dengan akal kebenaran. Sekiranya kita gagal atau terjerumus dalam kancah yang mengundang gagal, maka kita wajar bertindak dengan kesedaran yang utuh. Ini disentuh oleh Basri Abdillah dalam puisi Secangkir Dosa. Antara penegasan yang mampu membina estim dirinya ialah

kucari Kau di padang ibadat
kucari Kau di gurun ilmu
mabuklah aku dengan asyik
Kau dalam cangkir dosa

Memang tidak dinafikan bahawa kita mudah tertipu dengan keadaan. Kita terpesona oleh sesuatu yang menarik walhal kita sebenarnya tidak menilai diri kita dengan keadaan. Justeru kita menjadi agak negatif dalam menerima perubahan. Sehingga kita sanggup merombak habis-habisan yang cukup baik dalam diri kita. Cuba kita hayati rangkap akhir puisi David Bululok yang berjudul Pusaka Yang Hilang.
esok anak cucu kita
akan cuma menghitung manik busana
hiasan pusaka yang hilang
kerana kita taksub
dengan perubahan
yang melenyapkan segala-galanya

Sebagai seorang insan kita perlu melihat dalam diri kita bahawa kita mempunyai kekuatan diri. Kekuatan yang mendorong kita berfikir. Kekuatan yang mendorong kita bertindak. Sekiranya kita mengabaikan kekuatan yang ada dalam diri kita, ia akan menjadi sesuatu yang mengundang masalah dalam diri. Maka, estim menunjangi kekuatan diri kita agar menghargai siapa kita. Jaya Ramba dalam puisinya berjudul DI Dalam Diri mengungkap “kedalaman” dirinya hingga menemui kesan yang menjadi hambatan dalam dirinya. Hayati rangkap pertamanya;
Di dalam diri
ada palitan pedih
calar, luka
satu gedung resah

Estim yang menjadi nadi dalam diri kita untuk mencorakkan siapa kita. Kita perlu mengenali diri kita. Persoalan diri tentang apa yang mampu kita sumbang dan apakah yang mampu kita beri, harus kita jelmakan dengan akal dan tindak yang kita cetuskan dari nilai diri kita. Sebagai renungan serta kita hayati bersama, cuba perhatikan puisi Morsaline Wasli yang cukup ringkas tetapi meletakkan estim diri dalam kehidupan ini berjudul Pencarian.
Telah kutemui
lorong benar kehidupan
dalam ruang diri
dari makna fikir dan yakin diri

PENUTUP

Salah satu sifat semula jadi manusia adalah, manusia suka menyangka dirinya lebih hebat daripada hal yang sebenarnya. Lazimnya seseorang itu percaya dia lebih baik daripada orang, lebih pandai daripada orang lain, dia lebih teruk bekerja daripada orang lain. Lebih banyak berusaha, lebih banyak berkorban dan bermacam-macam-macam lagi dibandingkan dengan orang lain.
Sebagai contoh, ahli-ahli persatuan selalu mendakwa masing-masing memberi lebih banyak sumbangan dan pengorbanan daripada apa yang sebenarnya sumbangkan d ataupun korbankan. Si Pengerusi mendakwa dia membuat lebih banyak kerja, manakala si setiausaha pun mendakwa perkara yang sama.
Hal ini terjadi disebabkan oleh cara bagaimana kita merekodkan perkara yang kita lakukan. Kita lebih mengingati apa yang kita lakukan dan kita tidak ingat apa yang orang lakukan. Justeru sebagai penulis kita perlu mempunyai nilai estim yang tinggi agar segala bentuk cernaan atau garapan pemikiran serta perasaan kita terserlah nilai yang mampu menggambarkan diri kita dan juga perjuangan kita. Mungkin kita wajar menjadi rama-rama yang tetap mewarnakan kehidupan kita walaupun tertindas atau menjadikan teladan tentang kelawar yang masih merindukan kegelapan sekalipun mempunyai ruang yang cerah kerana terperangkap dalam sangkar yang mewah. Wallahualam

Wednesday, August 13, 2008

Monday, August 4, 2008

Satu Tanggapan Awal...

BAHASA INDAH SEBAGAI NILAI PENGUCAPAN

Selalunya, bahasa yang indah dikaitkan dengan sesebuah puisi. Sama ada puisi tradisional atau moden. Puisi dianggap sebagai wadah peluahan rasa. Hal ini telah sekian lama dimanfaatkan oleh penyair. Melalui puisi, seseorang penyair bercerita tentang sesuatu yang cukup besar dalam nilai fikirannya yang hendak dikongsi dengan umum.
Walaupun dalam bahasa yang singkat dan ringkas dalam sesebuah puisi, tetapi isinya padat serta penuh makna. Seperti yang kita sedia maklum, puisi terbina bercirikan bahasa yang baik dan disusun dengan sebaiknya. Justeru, bukan semua mampu mentafsirkan lapis makna bagi setiap diksi yang digunakan.
Elemen keindahan bahasa bukan sahaja dituntut dalam sesebuah puisi tetapi juga dalam pengucapan yang mampu memberi kesan dan rangsangan kepada pendengarnya. Pengucapan yang baik dan indah melalui pemilihan kata, jalinan diksi dan mainan ritma dalam ayat memberi pemaknaan yang cukup besar dalam pengertian sesebuah pengucapan.
Keindahan dan keunikan bahasa sebagai satu pengucapan mampu merungkaikan perasaan yang terdapat dalam pemaknaan ungkapan tersebut. Lantaran itu, bahasa yang ditekuni dengan pemilihan kata yang tepat, sesuai dan jitu akan membina nilai pemikiran yang besar apabila dibaca atau diungkapkan.
Maka, pada bulan Julai 2008 ini, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak telah mengadakan kegiatan yang menjurus kepada keindahan bahasa melalui program Malam Pengucapan Puisi Pesta Limbang pada 25 Julai 2008 bertempat di Tebingan Sungai Limbang serta Pertandingan Bicara Berirama pada 29 dan 31 Julai 2008 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.
Malam Pengucapan Puisi Pesta Limbang 2008 merupakan acara sastera yang julung-julung kalinya diadakan sempena Pesta Limbang. Tentu sekali, Malam Pengucapan Puisi Pesta Limbang terpahat sebagai satu lembaran baharu dalam kalendar kegiatan Pesta Limbang. Acara yang dianjurkan oleh DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang ini telah diadakan pada 25 Julai 2008 ini bermula sekitar jam 8.30 malam sehingga 10.30 malam
Malam Pengucapan Puisi Pesta Limbang ini telah dijayakan oleh artis-artis tempatan dan penggiat sastera Bahagian Limbang. Khususnya pelajar sekolah. Antara yang terlibat ialah, Kumpulan Tarian Nada Murni, Bicara Berirama daripada SKM Seri Patiambun, Gamelan daripada SMK Limbang, Lagu Puisi daripada SMK Kubong dan SMK Seri Patiambun, Sketsa “Pahat Emas” oleh KPSU dan baca puisi oleh Benyamin Matusin, Jaffri Mail, Mohammad Montel dan Rudiana Matderis.
Di samping itu, juga ada acara pengucapan puisi tradisional serta bacaan puisi kanak-kanak turut dipersembahkan. Persembahan dalam Malam Pengucapan Puisi Pesta Limbang ini menjadi cukup menarik kerana, persembahan ini seakan satu penceritaan walaupun pelbagai bentuk persembahan mengisi elemen penceritaannya. Skrip dan arahan Hazami Jahari ini memanfaatkan setiap ruang persembahan agar menjadi satu isu yang relevan dengan sambutan 45 Tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia iaitu kemerdekaan.
Kehadiran Yang Berhormat Dr. Abdul Rahman Ismail Adun N. 68 Bukit Kota serta Yang Berbahagia Encik Maria, Residen Bahagian Limbang dalam majlis ini menjadikan Malam Pengucapan Puisi Pesta Limbang cukup bermakna. Kekhuatiran penganjur dengan kehadiran hujan renyai-renyai lenyap apabila warga bandar Limbang membanjiri Tebingan Sungai Limbang bagi menyaksikan persembahan tersebut dalam keadaan basah kuyup.
Namun, apa yang lebih utama, masyarakat Limbang yang selama ini menyambut Pesta Limbang dalam konteks “perayaan” telah disajikan dengan satu acara yang penuh makna untuk memugar pemikiran dan perasaan mereka tentang nilai kemerdekaan, pembangunan dan kemajuan selaras dengan sambutan perayaan Pesta Limbang yang juga disempenakan dengan sambutan 45 Tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia.
Berdasarkan maklum balas beberapa orang hadiran termasuk yang terlibat dalam persembahan, mereka amat terasa teruja dan meyakini bahawa Malam Pengucapan Puisi telah memberi serba sedikit nilai kesedaran yang penuh kekaguman dan keinsafan untuk masyarakat merayakan sesuatu sambutan perayaan dalam konteks yang betul dan benar.
Pada 29 dan 31 Julai 2008 pula, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak telah mengadakan Pertandingan Bicara Berirama bertempat di Balai Budaya, Cawangan Sarawak. Lapan pasukan yang terdiri daripada sekolah menengah di Bandar Raya Kuching telah dijemput untuk menyertai pertandingan ini. Antara sekolah yang dijemput dalam pertandingan ini ialah SMB St.Teresa, SMK Seni Kuching, SMK Tun Abang Haji Openg, SMK Padungan, SMK Batu Kawa, SMK Muara Tuang, SMK Matang Jaya dan SMK Petra Jaya.
Pertandingan yang julung-julung kalinya diadakan dengan formatnya tersendiri ini disempenakan dengan sambutan Bulan Bahasa dan Sastera Negara Peringkat Negeri Sarawak bagi tahun 2008. Sesungguhnya banyak perkara yang mampu terhasil daripada kewujudan Pertandingan Bicara Berirama ini.
Walaupun dalam keadaan yang masih samar-samar pada permulaannya dari segi format dan kriteria, namun akhirnya atas kerjasama dan komitmen guru, pelajar dan sekolah yang terlibat, maka Bicara Berirama gah muncul dengan gaya, rupa dan format yang tersendiri. Tentu sahaja kewujudan acara yang sedemikian rupa seperti Bicara Berirama mampu menjadi landasan memajukan nilai keindahan dalam Bahasa Melayu.
Ini mula terserlah pada 29 Julai 2008, apabila kelapan-lapan sekolah yang bertanding, berentap peringkat saringan dengan penuh semangat bagi merebut lima tempat ke pertandingan akhir pada 31 Julai 2008. Kerja keras guru menyediakan teks Bicara Berirama sebelum bertanding, benar-benar menampakkan wibawa, kefahaman dan kejituan semangat untuk membuktikan cara masing-masing yang terbaik sebagai format Bicara Berirama.
Bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa”, kelapan-lapan sekolah yang bertanding begitu berjaya melahirkan naskhah karya tentang peranan, fungsi dan hak Bahasa Melayu dalam pengutaraan serta pengucapan yang indah. Walaupun tema tersebut dibentuk dalam pelbagai tajuk untuk disesuaikan dengan persembahan, namun nilai utamanya iaitu Bahasa Melayu sebagai jiwa bangsa amat terserlah.
Apatah lagi kreativiti guru yang mampu mengaitkan isu semasa, sejarah dan harapan terhadap Bahasa Melayu sebagai dominan pengucapan di samping gerak kreatif serta gaya menarik pelajar yang bertanding, menimbulkan suatu rasa yang cukup teruja dan bangga, bahawa Bahasa Melayu mampu menjadi wahana menyampaikan hasrat dan mesej dengan begitu berkesan andai kata indah pengucapannya.
Hal ini menjadi pokok utama Pertandingan Bicara Berirama ini. Seperti mana ulasan Ketua Hakim, Hazami Jahari bahawa kewujudan Bicara Berirama yang berkonsepkan “choral speaking” tetapi diadun dengan alunan nyanyian, seloka, syair, pantun, puisi, gurindam dan gerak lakon menampakkan bahawa Bicara Berirama lebih diyakini mampu memberi nilai persembahan yang lebih menarik dan menghiburkan.
Harapan ini tentu sahaja mampu menjadikan Bahasa Melayu berkembang dengan kehendak semasa dari segi penggunaan dan juga kedinamikannya. Soal ini sudah pasti menjadi agenda utama DBP bagi menentukan upaya Bahasa Melayu masih mampu bersaing secara optimis dengan perkembangan semasa. Pada pertandingan akhir yang telah diadakan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak bermula jam 9.00 pagi, SMB St. Teresa telah dinobatkan sebagai Johan dengan membawa pulang wang tunai sejumlah RM3,000.00 berserta hadiah sampingan.
SMK Seni Kuching pula mendapat tempat Naib Johan dengan membawa pulang wang tunai RM2,500.00 berserta hadiah iringan dan SMK Tun Abang Haji Openg mendapat tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000.00 berserta hadiah iringan. Secara keseluruhannya hampir kesemua pasukan yang bertanding, khususnya di peringkat akhir sememangnya menunjukkan persaingan yang cukup sengit.
Ini jelas dinyatakan oleh Ketua Hakim, Hazami Jahari, bahawa kelima-lima pasukan yang berentap di peringkat akhir memenuhi kehendak penilaian. Namun, SMB St. Teresa mempunyai kekuatan dari segi pengawalan vokal. Kesepaduan, kemantapan dan kejituan nada dalam pengucapan di samping gerak yang serentak, teratur, beradab dan terbit memungkinkan mereka mempunyai kelebihan berbanding dengan pasukan lain.
Walaupun demikian, pujian harus diberikan kepada SMK Seni Kuching yang terdiri daripada pelajar tingkat satu dan dua, berupaya membuat persembahan yang cukup istimewa. Kekuatan nilai teater ikal yang mengadunkan gerak dan pengucapan memberi ekspresi bahawa Bicara Berirama begitu anjal untuk dijadikan sebuah persembahan yang berformat baharu.
Walau apa pun, kata kunci bagi Pertandingan Bicara Berirama ini adalah “Bicara” yang memerlukan pengucapan dua hala dengan mainan irama serta alun pengucapan bagi menimbulkan keindahan pengucapan. Barangkali, dengan tuntutan ini, maka SMB St. Teresa dirasakan lebih berhak selaku Johan pertama Pertandingan Bicara Berirama 2008. Yang Berhormat Dr. Abdul Rahman Juanidi, Adun N.4 Pantai Damai selaku tamu kehormat telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Sebenarnya Pertandingan Bicara Berirama ini merupakan pertandingan yang diadakan buat kali kedua di Kuching, Sarawak. Pertama kali pertandingan ini telah diadakan pada tahun 2007, namun pada tahun tersebut Pertandingan Bicara Berirama belum mantap dan masih belum mempunyai format atau bentuk yang benar-benar mampu diketengahkan sebagai pertandingan yang mempunyai ciri-ciri tersendiri.
Pada tahun 2008 ini, Pertandingan Bicara Berirama berasaskan konsep “choral speaking” tetapi mempunyai elemen kelainan yang ketara seperti membenarkan peserta bergerak dan mengadunkan persembahan dengan memasukkan elemen puisi tradisional dan moden seperti seloka, gurindam, pantun, syair serta sajak. Bicara Berirama bermaksud karangan berangkap yang disampaikan dengan nada, intonasi dan irama tertentu.
Bicara Berirama ini mempunyai tiga matlamat ia diadakan. Antaranya ialah, yang pertama untuk mewujud dan menyediakan suasana penggunaan Bahasa Melayu yang indah pada kalangan pelajar sekolah untuk melahirkan satu suasana penggunaan Bahasa Melayu yang baik, indah dan berkesan dari segi sebutan dan gaya
Kedua, Bicara Berirama ini diadakan untuk membina pembelajaran Bahasa Melayu melalui pengungkapan bahasa berirama atau penggabungjalinan antara bahasa puitis dengan nilai-nilai artistik yang merupakan salah satu strategi untuk memperkembangkan penggunaan dan penguasaan bahasa.
Ketiga, Bicara Berirama ini juga bermatlamat untuk membina hubungan antara sesama pelajar, pelajar dan guru serta meningkatkan imej dan sinergi DBP melalui kerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan sekolah-sekolah yang terlibat dalam pertandingan.
Apa pun, diharap melalui kegiatan Bicara Berirama ini akan memberi peluang khususnya kepada para pelajar untuk mengasah bakat mereka berbicara dalam Bahasa Melayu yang indah, baik dan menarik. Tentu sahaja, kita mengharapkan Pertandingan Bicara Berirama ini bukan hanya terhenti di sini atau dilaksanakan di peringkat Negeri Sarawak tetapi juga mampu dipertandingkan di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa, agar Bahasa Melayu setanding bahasa besar lain di dunia.