Thursday, July 17, 2008

Perkampungan Penulis

PERKAMPUNGAN PENULIS SARAWAK 2008;
SEBUAH PERTEMUAN TRADISI ATAU INTELIGENSIA?
oleh: Ja’afar Haji Hamdan

Setiap pertemuan, kepastiannya adalah perpisahan. Ruang pertemuan mengisi pelbagai cerita yang menjadi detik kenangan. Pasti sahaja isian-isian itu ada cerita suka dan cerita duka. Ada yang merasakan keceriaannya, kerana mengerti pertemuan sedemikian memberi seribu satu pengalaman. Tidak kurang juga yang masih merungut dengan segala ketidakpuasan. Kerana pengharapan yang cukup tinggi tidak kesampaian.
Itulah kenyataan dalam setiap titi pertemuan. Selagi penghujungnya tidak memungkinkan mengisi segala kehendak dan kemahuan, pasti sahaja ada yang sukar untuk dirungkaikan. Lantaran itu, pepatah lama cukup relevan sehingga kini iaitu “rumah siap, pahat masih berbunyi”. Hal ini tentu juga terjadi dalam Perkampungan Penulis Sarawak 2008.
Ini jelas terpapar pada hari pertama perkampungan, apabila situasi yang mula mengalunkan riak-riak ombak kekeliruan dan “dipanaskan” dengan provokasi. Seakan mula menunaskan nilai makna seseorang karyawan belum mampu atau tidak lagi mampu meletakkan diri dengan sedikit keperitan dalam era “Malaysia Maju” ini. Barangkali isu yang dibangkitkan tidak berat tetapi dibesar-besarkan dalam kepompong yang sengaja disarati dengan keluh resah yang sememangnya tidak wajar berada dalam diri karyawan yang sudah kenal kebermaknaan pertemuan sebegini.
Perlu diakui, memang banyak kelemahan serta kesulitan yang sukar untuk diperjelaskan. Bahkan tidak wajar untuk membawa segala bentuk masalah dan kekangan untuk dibebankan bersama-sama. Dunia sastera kecil pada tanggapan yang berada di luar dunia ini, tetapi dunia ini cukup besar bagi karyawan yang mengakui diri mereka orang sastera. Justeru “landskap sastera’ yang dibina wajar menampakkan sebuah pembangunan sastera yang berseni, berkembangan dan berseri.
Sementelahan itu, memang juga diakui, menggunakan tempat yang sukar untuk diberi klasifikasi sebagai cukup dalam serba serbi keperluan yang dikehendaki. Namun, dalam banyak perkara, hal-hal “kekeluargaan sastera” seperti ini mampu dimurnikan dengan sifat saling memahami. Bukan menggunakan emosi dan tanggapan semata-mata. Asas perundingan, perbincangan dan saling ikhlas memberi pandangan wajar dijadikan jalan tengah.
Walau apa pun, Perkampungan Penulis Sarawak 2008 yang diadakan pada 27 Jun 2008 hingga 29 Jun 2008 secara umumnya telah terpahat sebagai pertemuan keempat karyawan khususnya di Sarawak. Dalam tempoh yang cukup panjang bermula 1996 untuk pertemuan pertama hingga 2008 untuk pertemuan keempat, sememangnya memberi reaksi yang berbeza dan penilaian yang berlainan, walaupun hasrat dan cita-citanya sama. Barangkali juga Perkampungan Penulis Sarawak 2008 mempunyai sejarahnya sendiri kerana mampu mengetemukan sekitar 174 orang karyawan dari seluruh pelosok negeri Sarawak.
Hasrat awal penganjur yang hanya cuba menghimpunkan karyawan sekitar 80 orang berubah menjadi 120 orang atas desakan dan permintaan. Namun, pada hari sebenarnya, penyertaan yang dijangka 150 orang menjadi 174 orang. Tentu sahaja dari satu aspek, penyertaan ini amat menggalakkan. Tetapi dari segi aspek yang lain, penganjur berdepan dengan masalah yang melibatkan kos penginapan dan jamuan. Jelas, dalam “kegawatan” serta situasi ekonomi dan politik semasa, pihak penganjur akur dan sedaya upaya mungkin merealisasikan majlis tersebut.
Pemilihan Bahagian Mukah, setelah dua kali diadakan di Miri dan sekali di Kuching, seakan memberi nafas baharu bagi melihat perjalanan sastera di Sarawak. Apatah lagi, di Bahagian Mukah ini, pertemuan atau perkampungan yang dianggap “utuh” diadakan agak jauh daripada bandar di samping menggunakan prasarana yang sederhana. Bukan taraf hotel, sekadar hostel. Tetapi dalam sudut yang lain, pemilihan Politeknik Mukah mempunyai jiwa “keilmuan” kerana sebagai medan atau pusat melahirkan generasi pembangunan masa depan.
Barangkali sapaan dan pertanyaan seorang teman ketika mendaftar menjadi desakan utama mengapa terjentik hati untuk membuat ulasan ini. Secara spontan tetapi jujur, teman ini bertanya, kenapa tidak perkampungan ini tidak diadakan di hotel? Katanya, tradisi majlis seperti ini diadakan di hotel. Betul pun, sebab sewaktu perkampungan ketiga pada tahun 2002, program berkenaan telah diadakan di hotel lima bintang, iaitu Hotel Mega, Miri.
Pertanyaan itu benar-benar membuka satu persoalan baru dalam pengertian sastera di Sarawak ini. Barangkali, andai kata majlis ini diadakan di hotel, tentu sahaja “gah”nya berlainan. Nampak wibawanya. Heboh hebatnya. Tapi kosnya tentu saja tinggi. Atau mungkin juga lebih ramai yang akan berkampung di pesisir bandar atau juga mengadakan aktiviti sendiri. Atau sebagainya.
Itu tanggapan. Tetapi pernah juga terjadi. Bahkan sering amat terbukti benar. Maka, pemilihan lokasi seperti Politeknik Mukah diharap memberi nilai baharu pada kalangan karyawan. Bagaimanapun, sesuatu yang menuntut perubahan pasti melalui impak dan kesan yang sukar di mengertikan. Tetapi kalau difikirkan sedalam-dalamnya tentu sahaja hikmah di setiap kejadian memberi makna yang lebih mudah untuk di mengertikan.
Walhal, pertemuan sebegini adalah khusus disediakan untuk memberi ruang dan peluang karyawan yang dianggap pemikir zamannya mengemukakan pandangan, komen, pendapat, idea dan hal-hal yang boleh dibincangkan secara lebih terbuka, menyeluruh serta kekeluargaan sifatnya. Lantaran itu, mengapa harus ada domba rasa, iri kata dan cela tindak antara satu sama lain.
Sedangkan, peluang ini harus dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Buktikan, bahawa kehadiran bukan didorong oleh hasrat untuk bertemu sapa semata-mata. Tetapi lebih mengutamakan pertemuan yang bermakna. Kalau pun ingin bertemu sapa, biarlah menjadikan kemesraan bersama. Biar penuh nilai kejiwaan yang besar. Bukan membibitkan rasa benci dan gusar.
Justeru, pertemuan kali ini, menghimpunkan hampir semua persatuan, pertubuhan, kelab dan kumpulan yang berkaitan dengan bahasa, sastera, budaya dan seni yang ada di negeri Sarawak. Jumlah kertas kerja untuk pembentangan dikecilkan jumlahnya, dengan harapan lebih banyak ruang berdialog dan bertelagah pendapat. Skop penumpuan juga difokuskan secara lebih rinci agar membuka ruang yang semaksimum mungkin untuk diperkatakan, diperbincangkan dan dimanfaatkan.
Tetapi hakikat tersebut tidak terjadi. Pembentangan perihal sejarah sastera di Sarawak oleh Tuan Haji Hamzah Hamdani, Encik Saiee Dris, Encik Zaini Oje dan Tuan Haji Sajali Morshidi sekadar renungan silam yang tidak memberi kesan kepada peserta. Pertelagahan intelektual yang diharapkan menjadi wadah menyusuri sejarah bagi membuat persediaan masa depan tidak terpancar seterik matahari pada hari perkampungan tersebut.
Justeru, perjalanan sejarah sastera di Sarawak bagaikan tidak ada maknanya. Sedangkan dalam banyak hal, Sarawak mendahului negeri-negeri lain di Malaysia. Penganugerahan Anugerah Sasterawan Negeri di mulai oleh Sarawak. Bulan Bahasa yang diangkat menjadi Bulan Bahasa dan Sastera Negara dimulai oleh negeri Sarawak. Hadiah Penerbitan Majalah Sekolah turut dimulai oleh Sarawak. Bahkan banyak lagi perkara yang melibatkan sumbangan Sarawak di peringkat kebangsaan.
Paling penting peranan penerbitan di Sarawak yang melahirkan ruangan Yang Indah Itu Bahasa serta Wadah Bahasa dan Sastera untuk menampung karya penulis atau karyawan di Sarawak. Di samping penerbitan buku khusus untuk karyawan Sarawak. Hal-hal sebegini wajar dan perlu direnungi oleh karyawan di Sarawak setelah 45 tahun Sarawak maju dalam Malaysia.
Begitu juga dengan sesi pembentangan tentang masa depan sastera di Sarawak oleh Encik William Chan, Encik Nik Iznan dan Encik Hazami Jahari. Lontaran dan terjahan idea mereka sekadar mengisi ruang dingin auditorium tanpa ada pentafsiran yang lebih murni pada kalangan peserta. Justeru, pertembungan idea generasi veteran dan generasi muda bagi menilai kebermaknaan sastera di Sarawak seakan hanya butiran embun yang kian lenyap dalam sapaan angin kering tengah hari.
Kemunculan blog-blog karyawan Sarawak sepatutnya menjadi isu perbincangan yang menarik. Tetapi tidak mendapat respons yang sepatutnya daripada peserta. Walhal, dunia dalam talian ini memungkinkan juga sastera harus berkembang dalam talian juga. Maka, peserta yang terdiri daripada kalangan karyawan yang diharap memacu sastera di Sarawak ini, seakan mati akal dan buta hati.
Barangkali, sesi Sembang-Sembang Sastera agak memberi sedikit harapan. Walaupun fokus perbincangan tentang “Sastera Pasca PRU 12” seakan sisi kepada soal politik, namun pertembungan pendapat yang terjadi cukup bermakna kerana pembicara bijak menyusuri nilai tersirat. Soalnya bukan politik sastera tetapi kesan politik yang mendominasi ekonomi, sosial dan keadaan terhadap sastera. Tentu sahaja hal ini berkaitan dengan karyawan termasuk peserta yang hadir dalam perkampungan ini.
Begitu juga dengan soal berpersatuan, tidak perlu timbul soal “sempadan” antara satu persatuan dengan persatuan lain. Sama ada yang berdaftar atau tidak. Soal utamanya adalah untuk kesejahteraan sastera itu sendiri. Pembangunan sastera itu perlu dilakukan dari pelbagai aspek dan sudut. Sebab itu, melalui perkampungan ini juga sesi Diskusi Karya turut diadakan.
Diskusi Karya anjuran Bahagian Teori dan Kritikan DBP Kuala Lumpur dengan kerjasama DBP Cawangan Sarawak telah membincangkan empat buah karya penulis / karyawan Sarawak iaitu Bara Yang Menyala karya Jaya Ramba yang dibincangkan oleh Prof. Madya Dr. Hashim Ismail, Cerita Rakyat Dayang Puteri yang diselenggarakan oleh Jiso Rutan dan dibincangkan oleh Dr. Shahri Abd. Rahman.
Katarsis Perjuangan karya Mohd. Faizal Jamil dibincangkan oleh Abang Patdeli Abang Muhi dan Bunga Yang Menangis karya Ja’afar Haji Hamdan dibincangkan oleh Dr. Jeniri Amir. Walaupun timbul sedikit rasa tidak puas hati pada kalangan penulis / karyawan tentang karya mereka yang diperkatakan, namun pemurnian ilmu berlaku dengan amat baik.
Sesungguhnya, perkampungan kali ini memberi warna yang pelbagai corak sama ada dari segi penganjuran ataupun dari segi penerimaan hasrat peserta. Mungkin karyawan Sarawak selepas 45 tahun maju bersama Malaysia telah merasakan bahawa sastera tidak melalui apa-apa kesan atau hambatan, maka ruang dan peluang menjadi hambar. Apa pun itu termaktub sebagai kegiatan yang bermakna di Mukah.
Apatah lagi, pertemuan kali ini agak istimewa apabila disempenakan dengan sambutan “45 Tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia” bagi peringkat Bahagian Mukah. Tentu sahaja sokongan dan bantuan Pejabat Residen Bahagian Mukah serta agensi kerajaan di Bahagian Mukah cukup bermakna bagi merealisasikan pertemuan ini. Begitu juga kerjasama yang cukup padu daripada Badan Warisan Budaya Mukah (WARISMU). Sesungguhnya pertemuan melalui Perkampungan Penulis Sarawak 2008 ini telah “menjelmakan” satu korpus baharu dalam sastera di Darul Hana ini. Cuma persoalannya sekarang, apakah pertemuan ini hanya satu tradisi atau ruang inteligensia bagi mereka yang beranggapan diri mereka sebagai penulis? Wallahualam.

2 comments:

OSMAN BIN ZAINI said...

alhamdulillah..satu program yang harus kita teruskan dan adakan setiap tahun. program seumpama ini boleh membuka mata dan lubuk hati semua warga di Sarawak ini betapa penting sastera dalam kehidupan ini dan menjadi salah satu amalan yang mulia dimana dapat mengembangkan pemikiran, idea dan perkongsian ilmu antara penulis baru dan senior di tanah Sarawak ini. syabas dan tahniah kepada badan penganjur yang berusaha dan bertungkus lumus untuk menjayakan perkampungan ini. harapan saya agar kita adakan lagi perkampungan ini setiap tahun dan selitkan aktiviti untuk penulis yang baru bertatih dan merangkak agar kami dapat mempelajari lebih mendalan bidang penulisan in. saya mewakili pihak Institut Perguruan Sarawak, Miri mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjaga kebajikan kami.

** kalau ada masa terluang jenguk - jenguklah blog saya :
www.osmanzainijiwamelayu.blogspot.com

** saya mengalu - alukan sebarang komen, idea, kritikan dan sumbangsaran dari pihak tuan berkaitan sajak yang saya hasilkan agar dapat saya menyedari dimana silap dan salah saya. TERIMA KASIH

Farmilla Hamdi said...

Benar sekali. Insya Allah kita akan merencananya kembali