Thursday, July 17, 2008

Pengurusan Krisis

1.0 PENGENALAN

Perkembangan semasa dunia memungkinkan pelbagai bentuk idea baru diketengahkan. Desakan pemodenan yang berteraskan sains dan teknologi menjadikan semua perkara perlu dipercepatkan. Proses transformasi ini melibatkan satu anjakan budaya dan nilai dalam masyarakat yang terpaksa mengekori kesejagatan yang dicipta setelah dasar langit terbuka menjadi cukup dominan dalam era alaf baru ini. Bagi yang tertinggal akan timbul krisis kemiskinan dari segi maklumat dan keilmuan. Bagi yang berjaya bergerak bersama pula mengalami krisis penaakulan maklumat sebagai ilmu pengetahuan.
Menurut Syed Muhammad (2001) zaman ini, kita berhadapan dengan cabaran yang dicetuskan oleh falsafah dan sains Barat Moden, termasuk teknologi dan ideologinya. Cabaran ini mengancam nilai, perilaku, pemikiran, kepercayaan dan cara hidup kita supaya kita berubah dengan kehendak pandangan alam sekular ini. Tempiasnya juga mengena kepada golongan pelajar kita.
Sistem pendidikan yang menjadi teras pembinaan dan pengembangan ilmu pengetahuan semakin terdesak bagi menangani krisis yang dialami pelajar. Golongan pelajar menjadi sasaran perkembangan ini hingga krisis yang melibatkan pelajar begitu runcing dan berat. Namun, masalah pendidikan tidak seharusnya dilihat sebagai satu tompokan besar di atas kanvas walaupun masalah itu memungkinkannya berkaitan satu sama lain.
Mohd Taib Osman (2001) berpendapat kadang-kadang dalam mencari jawapan atau penyelesaian, lebih senang mendapat jawapan secara mengasing-asingkan corak masalah yang dibangkit dengan menggunakan pendekatan yang tidak relevan kepada persoalan. Kadang-kadang penyelesaian itu cuma bererti dan berkesan apabila ditimbang daripada pelbagai jurusan yang berpadu.
Dalam konteks menangani krisis pelajar ini, ia perlu dilihat daripada pelbagai sudut permasalahannya. Krisis timbul apabila ia mewujudkan kekhuatiran dalam masyarakat dan masyarakat pula akan menudingkan jari kepada organisasi-organisasi yang dipertanggungjawabkan bagi menangani krisis berkenaan. Krisis juga akan wujud apabila keadaan tidak menentu hingga menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat.

2.0 KEPENTINGAN PENGURUSAN KRISIS
Apabila kita meletakkan golongan pelajar sebagai pewaris kepimpinan negara pada masa depan, kita perlu melihat perkembangan semasa sebagai satu kepentingan jangka panjang yang perlu diurus sebaik mungkin. Krisis yang dihadapi oleh pelajar masa kini cukup membimbangkan. Justeru, kepentingan pengurusan krisis dalam aspek pelajar ini perlu ditangani dengan bijak kerana kita tidak mahu penyelesaian yang kita lakukan hanya penyelesaian sementara dan akibatnya pelajar kita masih mengalami sindrom lupa diri dan berlagak pandai tetapi bodoh.
Borton (1993) menyatakan bahawa pengurusan krisis memerlukan kemahiran komunikasi bagi mengurus pihak-pihak yang terlibat dalam krisis termasuklah pihak media. Perkara-perkara yang menjadi terma kemahiran komunikasi dalam konteks pengurusan krisis ini ialah dengan mengambil langkah proaktif bagi menanganinya, mengambil kira pendapat umum (masyarakat), menguji kemahiran mengendalikannya, mendedahkan maklumat untuk kegunaan bersama dan mewujudkan pelan pengurusan krisis.
3.0 KRISIS ORGANISASI YANG DIKENAL PASTI DAN CIRI-CIRI KRISIS
Ada dua krisis yang dialami oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang dialami oleh pelajar iaitu krisis identiti dan krisis salah laku. Krisis identiti pelajar ini dikaitkan dengan kecenderungan pelajar menjadikan muzik under-ground sebagai santapan rohani mereka. Menurut Shahril Rizal (2003) identiti seseorang secara umum amat mudah untuk dikenali menerusi gaya kehidupan, pakaian, cara pertuturan dan muzik yang diminati.
Krisis identiti pelajar kita masa kini begitu terserlah dengan penampilan cara hidup skinhead yang bercirikan imej diri mereka seperti memakai kemeja, berkepala botak, menunggang motor skuter, memakai seluar senteng dan kasut but. Mereka beranggapan muzik yang mereka minati mempengaruhi corak kehidupan mereka. Apa yang menakutkan, sesetengah golongan ini mula mempraktikkan gejala negatif yang berasal dari barat. Antara gejala negatif yang terkenal ialah apa yang mereka namakan sebagai Malay Power.
Krisis identiti ini juga mewujudkan budaya black metal yang sedikit waktu dahulu telah menjadi isu yang paling sensasi di negara kita. Aktiviti para pemuzik dan pengikutnya yang mengamalkan pemujaan syaitan, dadah, arak dan seks bebas di barat seakan dituruti oleh golongan pelajar kita. Kononnya kerana falsafah muzik yang diminati. Walaupun dari segi konsepnya hanya meletakkan muzik sebagai elemen yang ditiru tetapi penyerapan dalam budaya, nilai, adat dan adab dikhuatiri akan memesongkan pendirian mereka.
Satu lagi cabang kepada krisis identiti dalam generasi pelajar kita ialah budaya punk yang dianggap melepaskan dendam terhadap kekecewaan yang mereka alami. Dari segi penampilan pula, golongan punk ini suka mengenakan fesyen rambut “alarojan” yang diwarnakan, jaket kulit yang ditampal dengan pelbagai lencana, seluar koyak serta senteng dan juga memakai but lusuh yang selalunya mempunyai 20 lubang kecil yang membawa maksud keganasan dalam hidup mereka.
Menurut Humaidi The (2003) muzik underground memang mempunyai kekuatan tersendiri untuk membawa pemirsa serta pelakunya terusik dan terikut-ikut dengan rentak serta gerak muzik yang dimainkan lebih-lebih lagi jika turut dinyanyikan. Lantaran itu, remaja atau pelajar mudah terbentuk menurut acuan perancangnya. Dengan sifat ingin tahu, suka meniru dan ingin mencuba yang baharu serta mengikut trend menyebabkan remaja atau pelajar terjebak dan terbawa-bawa dengan budaya, nilai dan pakaian mereka hingga akhirnya mereka hilang jati diri serta berdepan dengan krisis identiti.
Satu lagi krisis yang dialami golongan remaja atau pelajar ini ialah krisis salah laku yang dinamakan gejala gangsterisme. Peristiwa 20 Oktober 2003, seorang pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun telah membunuh rakannya tanpa niat. Pembunuhan ini menyebabkan pelajar berkenaan yang sepatutnya menduduki PMR terpaksa menghitung masa depannya yang cukup keliru dan kabur.
Pada pertengahan Mei 2000, seramai 14 orang pelajar sebuah sekolah menengah di Butterworth menyerang empat orang pelajar lain atas alasan keempat-empat pelajar tersebut telah melaporkan kepada seorang guru tentang perbuatan mereka meninggalkan sekolah lebih awal. Di Ipoh, 16 orang pelajar memukul rakan sekelas mereka yang berusi 17 tahun sehingga pengsan kerana dituduh mencuri wang daripada tabung kelas.
Di Sungai Petani, Kedah, dua pelajar yang berselisih faham telah mencetuskan pergaduhan yang melibatkan lebih kuran 40 orang pelajar lain. Pergaduhan yang mengakibatkan tiga daripada pelajar tersebut mengalami kecederaan di kepala dan badan hanya dapat diberhentikan selepas polis menyerbu masuk dan menahan 30 orang pelajar. DI Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, lima orang pelajar ditahan kerana memulakan kebakaran di bilik guru.
Kesemua ini adalah paparan berita yang kini kerap terpampang di dada akhbar-akhbar tempatan yang sepatutnya menggamit perhatian semua pihak akan keseriusan masalah yang wujud. Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai sebuah organisasi kerajaan amat memerlukan gandingan dan daya usaha semua pihak untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
Krisis salah laku ini merebak dengan begitu pantas dalam dunia persekolahan. Keadaan ini menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat. Kejadian tahun lepas seperti kes lapan orang pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar yang dibuang sekolah kerana terlibat dalam insiden ancaman senjata terhadap seorang warden. Kemudian pembuangan 20 orang pelajar Sekolah Tunku Abdul Rahman, Ipoh kerana membuli pelajar-pelajar junior menunjukkan bahawa perlakuan ganas ini adalah satu fenomena yang kian menular dan perlu ditangani segera.

4.0 LANGKAH-LANGKAH MENGURUS KRISIS
Menurut Littlejohn (1983) pendekatan saintifik perlu bagi mengenal pasti isu krisis. Secara amnya, ia melibatkan proses mengumpul maklumat persekitaran luaran dan dalam krisis yang dialami oleh organisasi dan menentukan prioriti isu-isu berkenaan dengan menganalisis kebarangkalian dan kesan yang mungkin timbul daripada keadaan tersebut. Ini bermakna krisis perlu ditangani dengan melihat persekitaran krisis dan keupayaan krisis ditangani.
Dalam konteks muzik underground, perspektif keagamaan perlu dititik beratkan bagi menanganinya. Unsur-unsur muzik yang sesuai dengan latar budaya dan nilai ketimuran kita perlu diketengahkan dalam pelbagai konsep persembahan dan keadaan muzik. Kalau dahulu muzik dangdut dipandang serong suatu ketika dahulu yang kemudiannya diterima kerana unsur dakwah yang dipelopori oleh Rhoma Irama, rasanya kita harus juga melihat dari segi aspek positifnya.
Kementerian Pendidikan Malaysia harus membina satu bentuk pendekatan yang mampu merangsang kesedaran jati diri pelajar menerusi media massa. Ia boleh dilakukan dengan mengambil contoh artis seperti Siti Nurhaliza untuk dijadikan model sebuah kejayaan yang disaluti dengan nilai ketimuran tinggi. Zaini Husin di dalam Pancaindera sisipan Mingguan Malaysia pada 26 Oktober 2003 menyatakan bahawa Siti Nurhaliza sebagai ikon budaya Melayu.
Bagi mengurus krisis salah laku pula Kementerian Pendidikan Malaysia perlu menilai setiap kejadian dalam konteks audit krisis. Ini memerlukan adanya pegawai yang mampu membuat penjenisan krisis, fasa krisis dan sistem krisis. Melalui ketiga-tiga proses ini barulah tindakan terhadap krisis tersebut dapat diambil. Namun demikian, krisis salah laku ini memerlukan ketelitian dari segi penghuraian makna bagi menangani.
Noor Kairiyati (2004) mengatakan bahawa berdasarkan sumber Kementerian Pendidikan pada tahun 2002, sebanyak 76 300 orang pelajar telah terlibat dalam masalah disiplin. Berdasarkan kenyataan ini beberapa cadangan penyelesaian dilakukan dengan mengadakan tahap-tahap penyelesaian. Pertama sekali pihak sekolah perlu memberi nasihat, kaunseling, amaran pertama, kedua dan ketiga. Memujuk dianggap lebih utama daripada memaksa pelajar mematuhi peraturan.
Jaafar Abdul Rahim (2003) mencadangkan agar program tarbiah dan program kasih sayang diadakan bagi menangani masalah disiplin pelajar. Ini penting bagi mengurus emosi dan mengajar pelajar cara mengawal emosi. Kerjasama pihak seperti PIBG amat diperlukan bagi membantu sekolah dalam menjayakan sebarang aktiviti dan kegiatan ke arah memantapkan sahsiah pelajar di samping memupuk semangat kasih sayang terhadap kawan, keluarga, sekolah dan negara.
5.0 KOMUNIKASI SEMASA KRISIS
Dalam konteks krisis yang dialami sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia ini, amat memerlukan kemahiran komunikasi. Ada tiga sasaran komunikasi krisis ini dilakukan. Pertama, golongan yang mengalami krisis iaitu pelajar, golongan ibu bapa dan guru serta golongan media massa. Ketiga-tiga aspek ini perlu dimurnikan komunikasi bagi memberi impak yang lebih berkesan ke atas golongan sasaran. Kaedah komunikasi yang digunakan atas ketiga-tiga aspek turut berbeza.
Bagi golongan sasaran seperti pelajar yang mengalami krisis identiti dan salah laku ini, komunikasi dua hala yang kerap perlu dijalinkan bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga di peringkat institusi rumah. Program berterusan dengan menjadikan komunikasi dua hala yang aktif dan harmoni dijalankan dalam konteks formal dan tidak formal. Penerapan nilai serta pembinaan harga diri melalui komunikasi dua hala ini hendaklah tidak mendesak sifatnya.
Bagi golongan kedua iaitu antara ibu bapa dan guru atau pihak sekolah komunikasi yang bercorak horizontal perlu kerap dilakukan dengan mengambil kira krisis yang berlaku sama ada melibatkan ruang lokal sekolah atau ruang global sekolah. Kedua-dua pihak hendaklah menjadikan komunikasi sebagai alat untuk memberi pendapat, mengemukakan persoalan, membina perbincangan dan menilai keputusan.
Media massa harus menjadikan isu ini sebagai agenda utamanya dengan menjadikan komunikasi satu hala yang berbentuk pemujukan atau hebahan dari semasa ke sesama bagi membina nilai terhadap golongan sasaran. Kekerapan nilai serta mesej yang disampaikan mampu menjadi asas pembentukan nilai budaya kehidupan mereka. Peranan media massa cukup besar dalam menentukan corak pemikiran mereka.
6.0 HASIL PENGURUSAN KRISIS
Hasil dari pengurusan krisis yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia setakat ini menampakkan perkembangan yang agak positif. Walaupun masih di peringkat perintis tetapi mula mendatangkan hasil. Pemantauan yang dijalankan oleh pihak Kementerian juga memberi banyak sumbangan bagi meredakan krisis berkenaan. Ini turut dibantu oleh pihak berkuasa lain seperti Polis Di Raja Malaysia yang sentiasa memberi kerjasama dari segi penguatkuasaan.
Jalinan kerjasama organisasi lain seperti Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian dan sebagainya yang merangka pelbagai aktiviti serta kegiatan yang mampu dimanfaatkan oleh golongan sasaran. Di samping merangka hala tuju serta strategi ke arah membentuk generasi pelajar ini bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dari segi kemahiran hidup termasuklah nilai sosialnya.
Daya usaha NTV7 yang memaparkan gejala tersebut kepada umum juga memberi hasil yang cukup baik. Secara tidak langsung ia memberi gambaran permasalahan dalam masyarakat dan negara kita yang perlu ditangani bersama. Pelbagai segmen dan bentuk gejala negatif yang dialami oleh masyarakat remaja atau pelajar ini sekurang-kurangnya mampu membuka mata setiap ahli anggota masyarakat dan harap mampu menyedarkan mereka untuk menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Hasil kerjasama dan jalinan usaha ini mampu memberi ruang baru kepada krisis identiti dan salah laku pelajar untuk diperbetulkan dari segi tanggapan mereka. Namun demikian, usaha dan perancangan berterusan perlu dilakukan agar tidak meninggalkan kesan yang sementara yang kemudiannya menjadi luka yang lebih parah dan lebih pedih untuk ditanggung oleh negara.
7.0 PANDANGAN MEDIA TENTANG PENGURUSAN KRISIS
Pada 29 Oktober 2003 yang lalu dalam Utusan Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohd Ali Hassan mengatakan bahawa peranan PIBG sekolah perlu diperluaskan. Ia bukan setakat dianggap sebagai satu pertubuhan Ibu Bapa Guru tetapi juga berfungsi membantu dalam hal ehwal sekolah termasuklah masalah pelajar. PIBG harus dilihat sebagai satu gabungan mereka yang bertanggungjawab ke atas hal-hal kebajikan, disiplin dan aktiviti pelajar.
Berdasarkan kenyataan tersebut, PIBG dianggap sebagai amat berpengaruh untuk menjayakan sebarang program pemulihan keadaan yang dialami oleh pelajar. PIBG perlu turut merangka dan merancang sebarang bentuk aktiviti dan kegiatan yang berfaedah kepada golongan sasaran di samping mampu memberi kaunseling kepada mereka yang telah terjebak dalam permasalahan serta krisis tersebut.
Menurut Pengarah Pengurusan Polis Buklit Aman, Datuk Kamaruddin Ali dalam Utusan Malaysia bertarikh 11 September 2003 lalu berkata, setakat ini belum ada mana-mana sekolah yang dikenal pasti mempunyai kumpulan pelajar samseng. Walaupun demikian masalah disiplin di sekolah masih terjadi seolah-olah memberi gambaran kemungkinan wujud kelemahan dalam sistem pendidikan.
Sekiranya tanggapan itu benar, maka pihak berkuasa perlu memberi bantuan sama ada dalam bentuk kepakaran dan sumbangan idea untuk mewujudkan satu penilaian yang boleh dijadikan kayu ukur bagi menentukan corak dan konsep yang mampu memperbetulkan keadaan. Usaha dalam bentuk kerjasama ini harus berterusan dan fleksibel sifatnya.

8.0 CADANGAN TINDAKAN DALAM PENGURUSAN KRISIS
Berdasarkan maklumat yang telah dibincangkan, beberapa rumusan diperoleh dan dicadangkan sebagai tindakan dalam menjayakan pengurusan krisis bagi krisis yang dialami. Cadangan ini bersandarkan pemerhatian dan penilaian secara rambang melalui rujukan sekunder. Antara cadangan tersebut ialah;
8.1 Menitik beratkan program berbentuk pembinaan jati diri pelajar sebagai rakyat Malaysia yang cemerlang dalam akademik dan sosial dalam bentuk pembelajaran berperingkat
8.2 Penekanan kepada pembelajaran yang memberi nilai kemanusiaan yang tinggi selain ilmu pengetahuan seperti sains dan teknologi
8.3 Mewujudkan kerjasama dengan pihak media massa bagi menetapkan agenda serta arah tuju negara dalam konteks peranan pelajar yang harus mereka pikul dan laksanakan
8.4 Melaksanakan kempen kecemerlangan diri bersama-sama dengan organisasi lain yang mempunyai kepakaran dari semasa ke semasa seperti Rakan Muda suatu masa dahulu
8.5 Menilai semula sistem pendidikan yang terlalu menekankan aspek pembelajaran kebendaan semata-mata
8.6 Membina kumpulan pengurusan krisis peringkat sekolah bagi menyelesaikan krisis-krisis kecil
8.7 Memperluaskan tanggungjawab dan peranan PIBG agar dapat mempergunakan ibu bapa bagi menangani masalah disiplin pelajar

9.0 KESIMPULAN
Krisis perlu ditangani dengan bijaksana terutamanya yang melibatkan generasi seperti pelajar. Hukuman dalam bentuk kekerasan seperti merotan mungkin perlu dalam beberapa situasi yang sesuai. Walaupun demikian, harga diri mereka sebagai seorang pelajar perlu juga diambil kira. Pengurusan krisis peringkat ini mengundang pelbagai sudut tafsir untuk dilaksanakan
Membentuk pelajar adalah satu perkara. Membina sahsiah pemikiran pelajar satu lagi perkara dan pendisiplinan pelajar menjadi satu lagi perkara. Dalam pembentukan, pembinaan dan pendisiplinan pelajar ini pasti akan menimbulkan pelbagai masalah lain. Dorongan pelajar yang sentiasa menerima sebarang bentuk unsur baru dalam kehidupan mereka sukar dihalang kecuali mereka mempunyai akidah yang kuat.
Media massa sebagai wahana kemunculan budaya baru perlu lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran masyarakat agar yang terhidang tidak menjadi pembina corak pemikiran dan tradisi generasi pelajar kita atas alasan satu kemajuan dalam alaf baru. Masalah remaja atau pelajar adalah tanggungjawab bersama. Krisis yang mereka hadapi bermakna krisis yang turut kita alami.





RUJUKAN
Borton.L. 1993. Crisis In Organization: Managing An In The Heat Of Chaos. Cincinnati. Ohio; South-Wesrtern Publishing

Humaidi The. 2003. Underground Memintal Mental Remaja, Dewan Budaya, Disember, halaman 14-15, Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka

Jaafar Abdul Rahim. 2003. Disiplin Pelajar dan Peranan GPMS, Dewan Budaya, Disember, halaman 26-27; Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka

Littejohn R.F. 1983. Crisis Management; A Team Apporach. New York: American

Mohd. Taib Osman. 2001. Masalah Pendidikan Anak-Anak Melayu, Dewan Budaya, Disember, halaman 44—45, Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noor Khairiyati Mohd. Ali. 2004, Institusi Pendidikan Dicemari, Dewan Masyarakat, Januari, halaman 15-17, Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka

Shahril Rizal. 2003. Bahaya Muzik Under-ground, Dewan Budaya, Disember, halaman 17-18, Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka

Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 2001. Legasi Al-Ghazali, Dewan Budaya, Disember, halaman 46-47, Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka

No comments: