BAHASA INDAH SEBAGAI NILAI PENGUCAPAN
Selalunya, bahasa yang indah dikaitkan dengan sesebuah puisi. Sama ada puisi tradisional atau moden. Puisi dianggap sebagai wadah peluahan rasa. Hal ini telah sekian lama dimanfaatkan oleh penyair. Melalui puisi, seseorang penyair bercerita tentang sesuatu yang cukup besar dalam nilai fikirannya yang hendak dikongsi dengan umum.
Walaupun dalam bahasa yang singkat dan ringkas dalam sesebuah puisi, tetapi isinya padat serta penuh makna. Seperti yang kita sedia maklum, puisi terbina bercirikan bahasa yang baik dan disusun dengan sebaiknya. Justeru, bukan semua mampu mentafsirkan lapis makna bagi setiap diksi yang digunakan.
Elemen keindahan bahasa bukan sahaja dituntut dalam sesebuah puisi tetapi juga dalam pengucapan yang mampu memberi kesan dan rangsangan kepada pendengarnya. Pengucapan yang baik dan indah melalui pemilihan kata, jalinan diksi dan mainan ritma dalam ayat memberi pemaknaan yang cukup besar dalam pengertian sesebuah pengucapan.
Keindahan dan keunikan bahasa sebagai satu pengucapan mampu merungkaikan perasaan yang terdapat dalam pemaknaan ungkapan tersebut. Lantaran itu, bahasa yang ditekuni dengan pemilihan kata yang tepat, sesuai dan jitu akan membina nilai pemikiran yang besar apabila dibaca atau diungkapkan.
Maka, pada bulan Julai 2008 ini, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak telah mengadakan kegiatan yang menjurus kepada keindahan bahasa melalui program Malam Pengucapan Puisi Pesta Limbang pada 25 Julai 2008 bertempat di Tebingan Sungai Limbang serta Pertandingan Bicara Berirama pada 29 dan 31 Julai 2008 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.
Malam Pengucapan Puisi Pesta Limbang 2008 merupakan acara sastera yang julung-julung kalinya diadakan sempena Pesta Limbang. Tentu sekali, Malam Pengucapan Puisi Pesta Limbang terpahat sebagai satu lembaran baharu dalam kalendar kegiatan Pesta Limbang. Acara yang dianjurkan oleh DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang ini telah diadakan pada 25 Julai 2008 ini bermula sekitar jam 8.30 malam sehingga 10.30 malam
Malam Pengucapan Puisi Pesta Limbang ini telah dijayakan oleh artis-artis tempatan dan penggiat sastera Bahagian Limbang. Khususnya pelajar sekolah. Antara yang terlibat ialah, Kumpulan Tarian Nada Murni, Bicara Berirama daripada SKM Seri Patiambun, Gamelan daripada SMK Limbang, Lagu Puisi daripada SMK Kubong dan SMK Seri Patiambun, Sketsa “Pahat Emas” oleh KPSU dan baca puisi oleh Benyamin Matusin, Jaffri Mail, Mohammad Montel dan Rudiana Matderis.
Di samping itu, juga ada acara pengucapan puisi tradisional serta bacaan puisi kanak-kanak turut dipersembahkan. Persembahan dalam Malam Pengucapan Puisi Pesta Limbang ini menjadi cukup menarik kerana, persembahan ini seakan satu penceritaan walaupun pelbagai bentuk persembahan mengisi elemen penceritaannya. Skrip dan arahan Hazami Jahari ini memanfaatkan setiap ruang persembahan agar menjadi satu isu yang relevan dengan sambutan 45 Tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia iaitu kemerdekaan.
Kehadiran Yang Berhormat Dr. Abdul Rahman Ismail Adun N. 68 Bukit Kota serta Yang Berbahagia Encik Maria, Residen Bahagian Limbang dalam majlis ini menjadikan Malam Pengucapan Puisi Pesta Limbang cukup bermakna. Kekhuatiran penganjur dengan kehadiran hujan renyai-renyai lenyap apabila warga bandar Limbang membanjiri Tebingan Sungai Limbang bagi menyaksikan persembahan tersebut dalam keadaan basah kuyup.
Namun, apa yang lebih utama, masyarakat Limbang yang selama ini menyambut Pesta Limbang dalam konteks “perayaan” telah disajikan dengan satu acara yang penuh makna untuk memugar pemikiran dan perasaan mereka tentang nilai kemerdekaan, pembangunan dan kemajuan selaras dengan sambutan perayaan Pesta Limbang yang juga disempenakan dengan sambutan 45 Tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia.
Berdasarkan maklum balas beberapa orang hadiran termasuk yang terlibat dalam persembahan, mereka amat terasa teruja dan meyakini bahawa Malam Pengucapan Puisi telah memberi serba sedikit nilai kesedaran yang penuh kekaguman dan keinsafan untuk masyarakat merayakan sesuatu sambutan perayaan dalam konteks yang betul dan benar.
Pada 29 dan 31 Julai 2008 pula, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak telah mengadakan Pertandingan Bicara Berirama bertempat di Balai Budaya, Cawangan Sarawak. Lapan pasukan yang terdiri daripada sekolah menengah di Bandar Raya Kuching telah dijemput untuk menyertai pertandingan ini. Antara sekolah yang dijemput dalam pertandingan ini ialah SMB St.Teresa, SMK Seni Kuching, SMK Tun Abang Haji Openg, SMK Padungan, SMK Batu Kawa, SMK Muara Tuang, SMK Matang Jaya dan SMK Petra Jaya.
Pertandingan yang julung-julung kalinya diadakan dengan formatnya tersendiri ini disempenakan dengan sambutan Bulan Bahasa dan Sastera Negara Peringkat Negeri Sarawak bagi tahun 2008. Sesungguhnya banyak perkara yang mampu terhasil daripada kewujudan Pertandingan Bicara Berirama ini.
Walaupun dalam keadaan yang masih samar-samar pada permulaannya dari segi format dan kriteria, namun akhirnya atas kerjasama dan komitmen guru, pelajar dan sekolah yang terlibat, maka Bicara Berirama gah muncul dengan gaya, rupa dan format yang tersendiri. Tentu sahaja kewujudan acara yang sedemikian rupa seperti Bicara Berirama mampu menjadi landasan memajukan nilai keindahan dalam Bahasa Melayu.
Ini mula terserlah pada 29 Julai 2008, apabila kelapan-lapan sekolah yang bertanding, berentap peringkat saringan dengan penuh semangat bagi merebut lima tempat ke pertandingan akhir pada 31 Julai 2008. Kerja keras guru menyediakan teks Bicara Berirama sebelum bertanding, benar-benar menampakkan wibawa, kefahaman dan kejituan semangat untuk membuktikan cara masing-masing yang terbaik sebagai format Bicara Berirama.
Bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa”, kelapan-lapan sekolah yang bertanding begitu berjaya melahirkan naskhah karya tentang peranan, fungsi dan hak Bahasa Melayu dalam pengutaraan serta pengucapan yang indah. Walaupun tema tersebut dibentuk dalam pelbagai tajuk untuk disesuaikan dengan persembahan, namun nilai utamanya iaitu Bahasa Melayu sebagai jiwa bangsa amat terserlah.
Apatah lagi kreativiti guru yang mampu mengaitkan isu semasa, sejarah dan harapan terhadap Bahasa Melayu sebagai dominan pengucapan di samping gerak kreatif serta gaya menarik pelajar yang bertanding, menimbulkan suatu rasa yang cukup teruja dan bangga, bahawa Bahasa Melayu mampu menjadi wahana menyampaikan hasrat dan mesej dengan begitu berkesan andai kata indah pengucapannya.
Hal ini menjadi pokok utama Pertandingan Bicara Berirama ini. Seperti mana ulasan Ketua Hakim, Hazami Jahari bahawa kewujudan Bicara Berirama yang berkonsepkan “choral speaking” tetapi diadun dengan alunan nyanyian, seloka, syair, pantun, puisi, gurindam dan gerak lakon menampakkan bahawa Bicara Berirama lebih diyakini mampu memberi nilai persembahan yang lebih menarik dan menghiburkan.
Harapan ini tentu sahaja mampu menjadikan Bahasa Melayu berkembang dengan kehendak semasa dari segi penggunaan dan juga kedinamikannya. Soal ini sudah pasti menjadi agenda utama DBP bagi menentukan upaya Bahasa Melayu masih mampu bersaing secara optimis dengan perkembangan semasa. Pada pertandingan akhir yang telah diadakan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak bermula jam 9.00 pagi, SMB St. Teresa telah dinobatkan sebagai Johan dengan membawa pulang wang tunai sejumlah RM3,000.00 berserta hadiah sampingan.
SMK Seni Kuching pula mendapat tempat Naib Johan dengan membawa pulang wang tunai RM2,500.00 berserta hadiah iringan dan SMK Tun Abang Haji Openg mendapat tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000.00 berserta hadiah iringan. Secara keseluruhannya hampir kesemua pasukan yang bertanding, khususnya di peringkat akhir sememangnya menunjukkan persaingan yang cukup sengit.
Ini jelas dinyatakan oleh Ketua Hakim, Hazami Jahari, bahawa kelima-lima pasukan yang berentap di peringkat akhir memenuhi kehendak penilaian. Namun, SMB St. Teresa mempunyai kekuatan dari segi pengawalan vokal. Kesepaduan, kemantapan dan kejituan nada dalam pengucapan di samping gerak yang serentak, teratur, beradab dan terbit memungkinkan mereka mempunyai kelebihan berbanding dengan pasukan lain.
Walaupun demikian, pujian harus diberikan kepada SMK Seni Kuching yang terdiri daripada pelajar tingkat satu dan dua, berupaya membuat persembahan yang cukup istimewa. Kekuatan nilai teater ikal yang mengadunkan gerak dan pengucapan memberi ekspresi bahawa Bicara Berirama begitu anjal untuk dijadikan sebuah persembahan yang berformat baharu.
Walau apa pun, kata kunci bagi Pertandingan Bicara Berirama ini adalah “Bicara” yang memerlukan pengucapan dua hala dengan mainan irama serta alun pengucapan bagi menimbulkan keindahan pengucapan. Barangkali, dengan tuntutan ini, maka SMB St. Teresa dirasakan lebih berhak selaku Johan pertama Pertandingan Bicara Berirama 2008. Yang Berhormat Dr. Abdul Rahman Juanidi, Adun N.4 Pantai Damai selaku tamu kehormat telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Sebenarnya Pertandingan Bicara Berirama ini merupakan pertandingan yang diadakan buat kali kedua di Kuching, Sarawak. Pertama kali pertandingan ini telah diadakan pada tahun 2007, namun pada tahun tersebut Pertandingan Bicara Berirama belum mantap dan masih belum mempunyai format atau bentuk yang benar-benar mampu diketengahkan sebagai pertandingan yang mempunyai ciri-ciri tersendiri.
Pada tahun 2008 ini, Pertandingan Bicara Berirama berasaskan konsep “choral speaking” tetapi mempunyai elemen kelainan yang ketara seperti membenarkan peserta bergerak dan mengadunkan persembahan dengan memasukkan elemen puisi tradisional dan moden seperti seloka, gurindam, pantun, syair serta sajak. Bicara Berirama bermaksud karangan berangkap yang disampaikan dengan nada, intonasi dan irama tertentu.
Bicara Berirama ini mempunyai tiga matlamat ia diadakan. Antaranya ialah, yang pertama untuk mewujud dan menyediakan suasana penggunaan Bahasa Melayu yang indah pada kalangan pelajar sekolah untuk melahirkan satu suasana penggunaan Bahasa Melayu yang baik, indah dan berkesan dari segi sebutan dan gaya
Kedua, Bicara Berirama ini diadakan untuk membina pembelajaran Bahasa Melayu melalui pengungkapan bahasa berirama atau penggabungjalinan antara bahasa puitis dengan nilai-nilai artistik yang merupakan salah satu strategi untuk memperkembangkan penggunaan dan penguasaan bahasa.
Ketiga, Bicara Berirama ini juga bermatlamat untuk membina hubungan antara sesama pelajar, pelajar dan guru serta meningkatkan imej dan sinergi DBP melalui kerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan sekolah-sekolah yang terlibat dalam pertandingan.
Apa pun, diharap melalui kegiatan Bicara Berirama ini akan memberi peluang khususnya kepada para pelajar untuk mengasah bakat mereka berbicara dalam Bahasa Melayu yang indah, baik dan menarik. Tentu sahaja, kita mengharapkan Pertandingan Bicara Berirama ini bukan hanya terhenti di sini atau dilaksanakan di peringkat Negeri Sarawak tetapi juga mampu dipertandingkan di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa, agar Bahasa Melayu setanding bahasa besar lain di dunia.
Monday, August 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment