Wednesday, February 13, 2008

GETUS FIKIR

Pandangan hidup yang disaluti dengan penelitian terhadap sesuatu kejadian selalunya memberi penilaian yang jitu. Walaupun ada waktunya tersasar tetapi masih di landasan yang sama. Namun, pemesongan maksud dalam pengertian yang kita sendiri sukar untuk menterjemahkannya, menjadi satu kerisauan yang amat panjang. Ini menimbulkan kesulitan yang maha menyeksakan, bukan sahaja dalam diri tetapi juga membabitkan orang lain.
Memikirkan keadaan, kita seharusnya akur bahawa kesempurnaan hanya milik yang maha Kuasa. Yang tidak ada cacat celanya. Yang tidak ada buruk busuknya. Semuanya cukup. Semuanya baik. Cuma, kita sebagai hamba tidak mampu berdiri sedemikian rupa. Kita terlalu kerdil. Kita terlalu kecil. Justeru kesilapan demi kesilapan telah, sedang dan akan menerjah dalam hidup kita. Kita menjadi sangsi. Kita menjadi keliru. Persoalan yang mudah menjadi cukup payah untuk kita leraikan.
Kesilapan yang berlaku ada kalanya menjadikan seribu satu kebenaran sekiranya kita bijak mentafsirnya. Pengalaman pun wujud setelah kesilapan kita perbetulkan. Namun, kita sering mengambil jalan singkat untuk memahaminya. Kita lebih gemar bermain dengan suasana yang memungkinkan kemudaratan jiwa berlaku. Lantaran kita lebih rela mencampur emosi dan rasional dalam pinggan yang sama. Lantas kita sajikan dan santapkan demi untuk dalam diri kita. Kita kekenyangan sehingga lupa bahawa kita sebenarnya telah membuka pintu sengketa. Tanpa sedar kita membuka tingkap maharajalela keiblisan jiwa dan pemikiran kita.
Sekali lagi kita ketawa dengan keriangan yang kita sendiri sukar memaknakannya. Kita jadi pemuja keseronokkan melihat sesuatu yang mencacarmarbakan keadaan. Kita anggap itu benar dalam tafsiran kita. Walhal kita sendiri kadang-kadang meragui pentafsiran kita. Tetapi keegoan menjadikan kita menutup sebahagiannya. Kita berlagak kitalah orang yang benar-benar berada di depan dalam mempersoalkan sesuatu. Kita mendabik dada kitalah pembaharuan dalam pemikiran.
Kita sebenarnya lupa, bahawa kejadian yang ada di sekeliling kita adalah kejadian yang sama tetapi dalam corak berbeza. Apa yang kita anggap sesuatu pembaharuan sebenarnya sekadar pengubahsuaian dan penambahbaikan yang sesuai dengan perkembangan manusia itu sendiri. Justeru, kita seolah-seolah meminggirkan penelitian yang lebih bermakna dalam setiap tindak tanduk kita. Kita menerima sesuatu yang hanya menyenangkan dan memudahkan kita. Kita menolak sesuatu yang susah dan memeritkan kita. Sekalipun jelas bahawa kesusahan dan kesulitan itu merupakan hak kita untuk dipertanggungjawabkan.
Liku-liku perjuangan sering kali kita jadikan alasan sebagai satu hambatan. Lantas, kita mengambil jalan singkat untuk mengadaikan nilai perjuangan yang sepatutnya. Kita mengambil jalan pintas untuk meranapkan kebermaknaan perjuangan yang sebenarnya. Impaknya, ia menjadi darah daging bagi sesetengah mereka yang tidak memahaminya. Apakah kita sanggup menanggung beban dosa yang berpanjangan hasil ikutan mereka yang mengganggap kita di pihak yang benar? Apakah kita merelakan kepincangan dan ketidakbenaran itu terus berkembang bagai bunga yang menghembuskan harumannya tetapi mengandungi racun yang cukup bisa?
Apa yang wajar kita risaukan adalah kesan yang memusnahkan nilai yang kita inginkan bersama iaitu kejalinan misi dan perkongsian visi untuk sama-sama menjadikan kehidupan di dunia ini sebagai tempat kita mengali bekal untuk dibawa sepanjang perjalanan kita ke suatu dearah yang abadi. Kalau kita menemui kebaikan, sudah pasti perjalanannya menjadi mudah, kalau sebaliknya pasti kita menyesal tanpa memaknakan apa-apa dalam pengertian hidup ini.
Sampai bilakah, kita mahu menerima keadaan sebegini? Sampai bilakah kita mahu memperbetulkan kembali keadaan yang menimbulkan kekeliruan itu? Sampai bilakah? Persoalan ini pasti berligar-ligar dalam hela perjalanan kita mencari yang pasti. Justeru, kita harus kembali kepada hasrat yang menyimpulkan kita. Bukan meleraikannya dengan resah yang membingungkan. Bahkan ruang keinsafan sentiasa menanti kesedaran bagi mereka yang mahu memperbaiki keadaan.
Mungkin sudah sampai waktunya, untuk kita meneliti kekusutan yang ada sebagai langkah permulaan. Kita cari punca kekalutan yang merebak menjadi nanah yang membusuk. Kita ubati luka yang semakin memerah oleh keegoan kita yang memanjang. Kita taburkan amanah dengan kesaksamaan niat. Kita rujuk pada yang termaktub sebagai pedoman dan penunjuk jalan yang benar. Bukan lagi omongan dan tanggapan semata-mata. Akhirnya, kita melakukan muhasabah diri bagi mencari keperibadian dalam kehidupan yang semakin terpana oleh kebodohan kita sebagai manusia yang masih bahil mengesani tanda yang Dia beri. Wallahualam.

1 comment:

dahirisaini said...

tahniah blog ni mula berfungsi, semoga ia terus berlaku. salam